KUALA LUMPUR – Kehebatan generasi muda Malaysia sekali lagi menyerlah di pentas antarabangsa apabila pasukan Tiny Techies Malaysia merangkul empat pingat emas dalam Global Robotics Competitions (GRC) 2025 yang berlangsung di Bangkok, Thailand dari 30 Oktober hingga 2 November lalu.
Pencapaian membanggakan ini dilakar oleh kumpulan pelajar berbakat dari Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) FELDA Linggiu, Johor dan NADI FELDA Gunung Besout 1, Perak yang berjaya mengharumkan nama negara melalui pelbagai kategori termasuk Sumo Robot dan Creative Project.
Antara wira muda yang mengharumkan nama Malaysia ialah Muhammad Afiq Mohd Nazre dan Mohamad Ariff Danial Mohammad Rizal dari NADI FELDA Linggiu bagi kategori Senior, manakala kategori Junior diwakili oleh Nur Damia Khalisya Mohd Rizalman dan Deeniya Irdhina Muhammad Sobri dari NADI FELDA Gunung Besout 1.
Mereka masing-masing dibimbing oleh petugas NADI berpengalaman, Nur Fadzlin Maarus dan Suhaila Suliman.

Pengarah Program Tiny Techies, Areehan Abdullah berkata, kejayaan luar biasa ini disertai dengan pencapaian lain termasuk satu perak, dua gangsa dan dua tempat keempat dalam kategori Sumo Robot dan Creative Project.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa semangat ingin belajar, inovasi dan kerja berpasukan mampu membawa generasi muda kita ke peringkat antarabangsa.
“Tiny Techies akan terus komited melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif, berdaya saing dan mahir dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Beliau berkata, kejayaan pasukan ini adalah bukti bahawa pelajar dari kawasan FELDA juga mampu berdiri sama tinggi dengan pelajar antarabangsa apabila diberi ruang, bimbingan dan peluang yang betul.
Program Tiny Techies adalah inisiatif pendidikan digital yang dilaksanakan bersama pusat NADI di seluruh negara dengan objektif memperkasakan pelajar melalui kemahiran STEM, robotik dan pengaturcaraan.
Inisiatif ini turut membuka peluang kepada pelajar luar bandar untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa dan membina keyakinan diri dalam bidang teknologi masa depan.

Sementara itu, Pengurusan NADI FELDA Linggiu dan NADI Gunung Besout 1 turut melahirkan rasa syukur dan bangga atas semangat juang tinggi serta dedikasi pelajar dan tenaga pengajar yang membimbing pasukan Tiny Techies hingga mencapai kejayaan besar ini.
“Penguasaan ilmu STEM dan elemen robotik amat bermakna kepada pelajar kami. Ia bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi tentang keberanian mereka untuk bersaing dan meneroka potensi diri,” kata wakil pengurusan NADI.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) berkata, pihaknya akan terus menyokong usaha murni yang memperkasa pelajar FELDA, masyarakat Orang Asli dan kelompok B40 dalam bidang STEM dan robotik.
“Tiada yang mustahil untuk dicapai. Kejayaan pelajar dari kawasan FELDA di peringkat antarabangsa membuktikan bahawa bakat dan kemampuan mereka setanding pelajar bandar apabila diberi peluang dan panduan yang betul,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas NADI, jurulatih, tenaga pengajar serta ibu bapa atas sokongan berterusan yang menjadi tunjang kejayaan pasukan Tiny Techies.
Kejayaan pasukan Tiny Techies Malaysia di Global Robotics Competitions 2025 bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus meneroka bidang sains dan teknologi.
Semangat inovasi, disiplin dan kerja berpasukan yang ditunjukkan peserta menjadi bukti bahawa pelajar Malaysia walau dari mana pun asal mereka mampu bersaing di persada dunia apabila diberi peluang dan bimbingan yang betul.
“Kecil-kecil cili padi, tetapi semangat dan kebijaksanaan mereka besar nilainya untuk masa depan negara,” kata Areehan penuh bangga.

