editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Di sebalik tirai pementasan teater yang kini kembali mengisi pentas selepas hampir tiga dekad, tersingkap kisah inspirasi seorang pendidik yang menjadikan dunia lakonan sebagai medium membentuk keyakinan dan jati diri pelajarnya.
Bagi Cikgu Mohd Azam Rezali, Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit, penglibatan pelajar-pelajarnya dalam pementasan Karmabakalala bukan sekadar aktiviti seni, sebaliknya satu perjalanan membina keberanian dan peluang untuk mereka mengenali potensi diri yang selama ini tersembunyi.
“Saya melihat diri saya pada mereka. Dahulu saya juga pemalu, tidak berani dan ragu-ragu untuk berdiri di hadapan orang.
“Teater telah mengubah saya menjadi lebih yakin, dan saya mahu anak-anak SBJK merasai perubahan yang sama,” katanya penuh semangat.
Perjalanan Cikgu Azam dalam dunia teater bermula sejak zaman kolej apabila beliau terinspirasi dengan karya dan bimbingan penulis serta penggiat seni terkenal, Subroto Katimin, yang kini menerajui Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA).

“Saudara Subroto bukan orang asing bagi saya. Kami sama-sama belajar di ITSM dan saya pernah menawarkan diri untuk tinggal serumah dengannya semata-mata ingin belajar daripadanya,” katanya sambil tersenyum mengimbau kenangan lama.
Ketika naskhah Karmabakalala mula dipentaskan sekitar tahun 1996, beliau tidak berpeluang menontonnya.
Oleh itu, apabila karya itu dipentaskan semula hampir 30 tahun kemudian, Cikgu Azam menjadi antara yang pertama menawarkan diri untuk turut serta membawa semangat baharu kepada pementasan terbabit.
Mengimbangi dua dunia iaitu sebagai guru dan pelakon bukan sesuatu yang mudah. Namun, bagi Cikgu Azam, pengalaman itu menjadikan hubungan beliau dengan pelajar semakin akrab dan bermakna.

“Di sekolah saya mentadbir mereka, tetapi di pentas mereka menonton saya. Ia menjadikan kami lebih rapat kerana mereka mula berbual, bertanya dan berminat untuk tahu lebih banyak tentang teater,” katanya.
Beliau juga bersyukur kerana lokasi SBJK di kawasan Chow Kit, berhampiran dengan beberapa pusat pementasan utama di ibu kota, membuka ruang luas untuk beliau mengimbangi minat terhadap seni dan tanggungjawab sebagai pendidik.
Membimbing pelajar yang tidak pernah menjejakkan kaki ke pentas teater sememangnya mencabar, namun bagi Cikgu Azam, kepercayaan kepada potensi pelajar adalah kunci utama.
“Cabaran terbesar adalah mengubah cara mereka melihat diri sendiri. Ramai antara mereka datang dari latar belakang yang jauh dari dunia teater. Tapi saya selalu pesan perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama,” katanya.

Menariknya, SBJK turut menawarkan subjek kemahiran teater, memberi peluang kepada pelajar mempelajari asas lakonan di bilik darjah sebelum menjalani latihan profesional selepas waktu persekolahan.
“Bagi pelajar yang mengambil subjek Teater, saya gunakan masa di kelas untuk latihan asas. Manakala sesi bersama pelakon profesional diadakan selepas sekolah.
“Dari situ, mereka belajar bahawa teater memerlukan disiplin dan usaha berterusan,” katanya.
Bagi Cikgu Azam, teater bukan hanya tentang lakonan di pentas, tetapi tentang nilai kehidupan yang dipelajari sepanjang prosesnya.
“Sejak sesi pertama pembacaan skrip lagi, pelajar belajar tentang disiplin, kerjasama, keyakinan diri dan rasa hormat terhadap ahli kumpulan lain.
“Ia membentuk mereka bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi sebagai manusia yang lebih baik,” katanya.
Baginya, teater adalah sekolah kehidupan tempat di mana anak-anak SBJK bukan sekadar menghafal dialog, tetapi menulis semula kisah keberanian, kepercayaan dan harapan baharu dalam hidup mereka.
Saksikan mereka dalam Teater Karmabakalala, karya yang mengajak penonton menyelami sisi terdalam jiwa manusia di antara cinta dan dosa, setia dan derita, karma dan penebusan.
Itulah Karmabakalala, sebuah teater epik garapan Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Putrajaya (PEWIRA) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang bakal dipentaskan pada 14 hingga 16 November 2025 di Auditorium DBP, Kuala Lumpur.
Karya yang ditulis, diarahkan dan diterbitkan oleh Subroto Katimin ini bukan sekadar pementasan, tetapi renungan mendalam terhadap makna kemanusiaan.
Menggabungkan elemen sejarah, falsafah dan spiritual, Karmabakalala mengetuk pintu hati untuk menyoal kembali apa yang kita faham tentang karma dan takdir.

