29.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 10, 2026

Polis siasat dakwaan Shila Amzah diserang artis legenda ketika latihan konsert

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka satu kertas siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh penyanyi popular, Shila Amzah, yang mendakwa dirinya diserang secara terbuka oleh seorang artis legenda ketika menjalani sesi latihan konsert, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, dalam satu kenyataan berkata, laporan terbabit telah dibuat oleh Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah pada 10 Julai lalu, kira-kira jam 5.31 petang di Balai Polis Dang Wangi.

Menurut beliau, hasil daripada laporan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu berhubung ugutan jenayah.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang sentuhan fizikal berlaku dalam insiden berkenaan dan tiada kecederaan dilaporkan oleh mangsa.

“Setakat ini, dua rakaman percakapan telah diambil bagi membantu siasatan.

“Siasatan sedang dijalankan dan polis dalam usaha mendapatkan keterangan daripada individu yang didakwa terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini dan individu yang didakwa menyerang Shila Amzah masih belum dipanggil untuk memberikan kenyataan.

Bagaimanapun, pihak polis kini sedang mengambil langkah untuk menghubungi individu terbabit bagi melengkapkan proses siasatan.

Kes berkenaan kini sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Terdahulu, insiden itu menjadi perhatian umum selepas Shila memuat naik satu kenyataan di laman media sosial miliknya yang merujuk kepada kejadian serangan secara terbuka oleh seorang artis lelaki semasa sesi latihan konsert yang sedang dijayakannya.

Dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh pengurusnya, Aini, pihak Shila Amzah memaklumkan bahawa mereka tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut berhubung insiden terbabit memandangkan kes masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Mohon maaf Shila tidak dapat memberikan sebarang komen atas nasihat pihak polis dan menghormati penganjur acara malam ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular