editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Hasrat pelakon dan pelawak terkenal, Along Cham, untuk memfailkan lafaz cerai taklik terhadap isterinya, Afreena Suhaimi, di Mahkamah Syariah Putrajaya hari ini tidak dapat direalisasikan.
Ini kerana alamat kediaman mereka berada di bawah mukim Sepang, menyebabkan proses berkenaan perlu dilaksanakan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Sepang, Selangor.
Meskipun demikian, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, tetap dengan tekadnya untuk menfailkan lafaz cerai taklik kerana mendakwa isterinya telah melanggar tiga perjanjian taklik yang mereka persetujui pada tahun lalu.
Antara perjanjian itu adalah dakwaan bahawa Afreena tidak mematuhi dan membelakangkan suami.
“Dia langgar taklik itu beberapa bulan yang lalu, iaitu tahun lepas. Buat masa ini, saya tak boleh cerita lanjut kerana proses ini masih belum selesai,” kata Along.
Along turut mendedahkan dia sepatutnya memfailkan lafaz cerai taklik itu pada 16 Disember tahun lalu.
Namun, segala perancangan tergendala apabila beliau ditahan pihak polis pada 14 Disember atas dakwaan memiliki dadah.
Selain itu, Along juga mengungkapkan dia mendapat berita tentang kehamilan Afreena ketika berada dalam tahanan, namun diberitahu bahawa kandungan terbabit telah gugur.
Pelakon yang terkenal dengan watak dalam Adnan Sempit ini turut meminta orang ramai agar tidak mengaitkan isu perceraian mereka dengan kes penahanan dadah yang membabitkan sebelum ini.
“Isu perceraian ini tiada kena mengena dengan penahanan kes dadah saya sebelum ini.
“Saya juga tidak menafikan wujudnya orang ketiga, dan saya sendiri tidak menyangka perkahwinan yang baru dibina selama sembilan bulan ini sudah mengalami masalah,” katanya.
Along dan Afreena, 32, mendirikan rumah tangga pada 4 April 2024 selepas lapan tahun menduda.
Sebelum ini, Along pernah berkahwin dengan bekas Bintang Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Zila Seeron, pada 23 Januari 2010.
Namun, perkahwinan mereka tidak bertahan lama dan bercerai pada 13 Ogos 2016.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel Muhammad Nizamudin, yang kini berusia 14 tahun.
Sementara itu, semalam, Along turut membuat sujud syukur di kandang tertuduh selepas Mahkamah Sesyen melepaskan beliau tanpa membebaskan (DNAA) daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis.
Along juga dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dua pertuduhan lain berkaitan pemilikan dan penggunaan dadah.
Hakim membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu perbicaraan.

