27.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

Hael Husaini curi tumpuan di Milan & Paris Fashion Week 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi, komposer, dan ikon fesyen Malaysia, Hael Husaini baru-baru ini mencuri tumpuan dunia fesyen antarabangsa dengan kemunculannya di Milan & Paris Fashion Week FW25.

Dikenali dengan gaya yang penuh karisma dan percaya diri, Hael membuatkan ramai terpesona dengan penampilannya di pertunjukan fesyen jenama-jenama mewah terkemuka seperti Dolce & Gabbana, Emporio Armani, Zegna, Amiri, dan Kenzo.

Hael memulakan pengembaraan fesyennya di Milan dengan tampil anggun di pertunjukan fesyen Dolce & Gabbana.

Mengenakan rekaan yang elegan dan berani, Hael dengan penuh keyakinan melangkah di hadapan kamera dan media, mencuri perhatian ramai.

Dalam acara itu, Hael turut beramah mesra dengan selebriti terkenal Korea seperti Jung Hae-in, Nam Yoon-su, dan Noh Sang-hyun, menjadikan momen berkenaan viral di kalangan peminat fesyen dunia.

Tidak sekadar tampil bergaya, Hael turut mendapat peluang berharga untuk bertemu dengan pereka fesyen legenda, Giorgio Armani, di pertunjukan Emporio Armani.

Hael yang teruja dengan pengalaman itu berkata, bertemu dengan Giorgio Armani adalah satu pengalaman yang tidak ternilai.

“Beliau adalah seorang maestro dalam dunia fesyen yang memberi impak besar. Saya rasa sangat bertuah dapat belajar daripadanya,” katanya.

Seterusnya, Hael melangkah ke pertunjukan fesyen Zegna yang glamor, di mana beliau berkesempatan bertemu dengan pelakon terkenal Hollywood, Mads Mikkelsen.

Dengan penampilan yang memukau dan gaya yang unik, Hael semakin dikenali sebagai figura yang semakin menyerlah dalam dunia fesyen antarabangsa.

Kejayaan Hael di Milan berterusan apabila beliau melangkah ke Paris untuk menghadiri pertunjukan fesyen jenama mewah Amiri.

Di acara ini, Hael dilihat bersama personaliti terkenal seperti Ed Westwick dari Gossip Girl, Sunwoo dari kumpulan The Boyz, dan pelakon Thailand Bible Sumetikkul.

Tidak berhenti di situ, Hael terus mencuri perhatian di pertunjukan fesyen Kenzo, di mana beliau duduk sebaris dengan ikon fesyen Filipina, Heart Evangelista, dan rapper antarabangsa, NLE Choppa.

Lebih dari sekadar penyanyi berbakat, Hael kini semakin diiktiraf sebagai ikon fesyen yang menginspirasi ramai.

Kehadirannya di Milan & Paris Fashion Week FW25 bukan sahaja menarik perhatian media fesyen, tetapi juga memberi inspirasi kepada golongan muda untuk berani mengejar impian mereka.

“Ini bukan sekadar tentang penampilan, tetapi juga peluang untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai bakat yang boleh bersaing di peringkat global, dalam muzik atau fesyen,” katanya.

Di samping kerjayanya dalam dunia fesyen, Hael kini sedang giat membuat persiapan untuk Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), dengan perancangan persembahan sudah mencapai 70 peratus siap.

“Saya ingin memberikan persembahan yang penuh emosi dan makna.

“Ini adalah peluang untuk saya berkongsi cerita melalui muzik dan memberikan yang terbaik kepada peminat,” kata Hael dengan penuh dedikasi.

Dengan pesona dan penampilannya yang memikat, Hael Husaini membuktikan bahawa kejayaan besar memerlukan usaha keras, ketekunan, dan keberanian untuk maju ke hadapan.

Kehadirannya di Milan & Paris Fashion Week FW25 bukan hanya membanggakan negara, tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian mereka dengan penuh keyakinan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular