24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, December 17, 2025

Demi permintaan anak tiri, Nora Ariffin tekad minta cerai dari suami

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Datuk Nora Ariffin, 53, kini berada dalam situasi yang penuh emosi apabila memaklumkan melalui Instagram bahawa dia telah beberapa kali memohon agar suaminya, Rushdi Ramli, menceraikannya, demi memenuhi permintaan anak tirinya.

Menurut penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu, ini bukanlah permintaan pertama, sebaliknya sudah lebih 10 kali dia meminta supaya suaminya yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Malaya, menceraikan dirinya.

Namun, sehingga kini, permintaan berkenaan tidak dipenuhi.

“Sudah lebih 10 kali saya meminta suami lepaskan saya kerana ingin tunaikan kehendak ustazah dan anak-anak, tetapi ustaz tak nak lepaskan.

“Saya akan penuhi permintaan Alia dari dulu lagi untuk kami bercerai. Insya-Allah Ustazah Rose akan kembali monogami seperti yang diinginkan,” tulis Nora dalam hantaran Instagram story miliknya.

Nora yang juga ibu kepada empat orang anak berkata, dia sedang berusaha memujuk Rushdi untuk menceraikannya sekali lagi, bagi mengelakkan kata-kata fitnah, cacian, dan penghinaan yang boleh menjejaskan reputasi dan nama baiknya di media sosial.

Selain itu, Nora turut memohon maaf kepada pihak keluarga suaminya atas keputusannya yang menerima lamaran dan berkahwin dengan Rushdi.

Nora turut memberitahu bahawa dia telah memadamkan semua gambar bersama suaminya di media sosial, dan hanya meninggalkan gambar bersama keluarga.

“Saya minta maaf kerana terima dan rujuk kembali. Saya minta maaf kerana memuat naik gambar bersama ustaz.

“Saya sudah padamkan semua gambar kami berdua, yang ada hanya gambar beramai-ramai,” katanya lagi.

Sejak tahun 2019, Nora berkata dia sudah lama diganggu dengan pelbagai tuduhan di media sosial, namun tidak pernah memberi reaksi terhadap kata-kata terbabit.

Namun, kali ini, Nora mengambil pendirian untuk mengambil tindakan undang-undang setelah apa yang berlaku.

“Sejak 2019, saya tidak pernah bersuara atau memberi respon terhadap semua kata-kata yang ditujukan pada saya dalam media sosial.

“But now, damage has been done. Biar undang-undang yang menentukan,” tegasnya.

Pada Ogos tahun lalu, Nora memuat naik video yang menunjukkan Rushdi menceraikannya dengan talak satu, tetapi beliau menjelaskan perceraian berkenaan berlaku sebelum video itu dimuat naik.

Pada 14 September 2024, Nora mengesahkan bahawa dia dan Rushdi sudah merujuk semula selepas bercerai pada tahun lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 2021, dan Rushdi adalah sahabat baik kepada bekas suami Nora, Allahyarham Johan Nawawi, yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular