editormaxinfo@gmail.com
SEPANG – Pelakon dan pelawak, Along Cham mengakui terkejut besar apabila menerima rakaman suara yang didakwa menjadi bukti kepada kecurangan isterinya, Afreena Suhaimi.
Menurut Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad, 42, rakaman itu akan dikemukakan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 3 Julai ini dalam prosiding pengesahan lafaz cerai taklik.
Along berkata, bukti audio itu telah pun melalui semakan awal oleh peguam syarie yang mewakilinya, Muhammad Akmal Amzan, sebelum diputuskan untuk dibentangkan di hadapan hakim.
“Pada awalnya saya sendiri terperanjat bila dengar rakaman itu, tapi benda sebegini tak boleh dibentang sebarangan.
“Peguam saya dah dengar dan nilai dulu sebelum dibawa ke mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas prosiding kedua kes itu di sini, hari ini.
Katanya, pihak Afreena turut terkejut apabila dia menunjukkan bukti terbabit. Malah mereka tidak menyangka Along memiliki maklumat yang lebih luas daripada yang dijangka.
“Mereka sangka saya hanya ada hal berkaitan bekas isteri saya, rupa-rupanya lebih dari itu,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebarnya gambar isterinya bersama lelaki lain ketika mereka masih dalam ikatan perkahwinan, pelakon filem Seratus itu tidak menafikan dan mengesahkan bahawa dia turut menerima bahan bukti sama daripada pelbagai pihak.
Menurutnya, semua maklumat dan bukti yang diterima bukanlah hasil usahanya sendiri, sebaliknya datang daripada individu sekeliling yang pernah mengenali dan rapat dengan Afreena termasuk bekas suami wanita itu.
“Dia lupa, dia kahwin dengan artis. Ramai yang kenal saya, ramai juga yang tampil beri maklumat. Termasuk bekas suami dia sendiri,” katanya.
Along turut meluahkan rasa kesal apabila hanya mengetahui tentang perkara itu selepas rumah tangga mereka mula bermasalah.
“Saya sedikit ralat, kenapa tidak beritahu lebih awal? Kalau saya tahu dari awal, tentu lain jalan cerita rumah tangga kami. Tapi sekarang nasi dah jadi bubur,” katanya dan yakin segala bukti yang ada sangat membantu dalam proses penyelesaian kes di mahkamah.
Along juga menyifatkan setiap perkembangan yang berlaku sebagai takdir dan hikmah tersendiri, sambil menantikan ‘plot twist’ atau tindakan balas daripada pihak Afreena dalam perbicaraan akan datang.
Terdahulu, Afreena mendakwa rumah tangga mereka sudah bermasalah sejak dua bulan selepas pernikahan.
Malah, wanita berkenaan turut mendakwa berlaku lafaz cerai di luar mahkamah sekitar Jun tahun lalu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 4 April 2023 dalam satu majlis tertutup dan perkahwinan itu adalah yang kedua buat Along selepas bercerai dengan penyanyi Zila Seeron pada September 2016.
Hasil perkahwinan pertama, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14 tahun, yang kini berada di bawah jagaannya. -Kosmo! Online

