29.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 28, 2026

HUAWEI lancar siri Pura 80: Revolusi fotografi mudah alih kini temui pengguna Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HUAWEI sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju inovasi teknologi apabila melancarkan peranti mercu terbaharu mereka, HUAWEI Pura 80 Series, dalam sebuah majlis pelancaran bertaraf global yang berlangsung di Dubai.

Siri ini, yang dijangka merevolusikan landskap fotografi mudah alih, bakal menemui pasaran Malaysia secara rasmi bermula 24 Julai 2025.

Pelancaran ini menandakan komitmen berterusan HUAWEI dalam membawa inovasi bertaraf dunia kepada pengguna tempatan, dengan menawarkan gabungan sempurna antara reka bentuk ikonik dan keupayaan kamera luar biasa, terutama dalam penggambaran telefoto dalam keadaan cahaya rendah.

Reka Bentuk Ikonik dan Inovatif

Model utama dalam siri ini, HUAWEI Pura 80 Ultra dan HUAWEI Pura 80 Pro (dalam rona Glazed Red yang memukau), menampilkan rekaan Dazzling Forward Symbol yang diinspirasikan daripada motif sinar matahari pada jam tangan mewah dan perhiasan halus.

Corak radiasi cahaya ini mencipta permainan visual yang menawan, manakala lingkaran emas yang mengelilingi lensa Pura 80 Ultra menyerlahkan simbol kemajuan yang menjadi lambang aspirasi HUAWEI terhadap inovasi berterusan.

Kehebatan Fotografi Bertaraf Sinematik

HUAWEI Pura 80 Ultra memperkenalkan teknologi Switchable Dual Telephoto Camera pertama di industri, membolehkan pengguna merakam potret sinematik serta gambar jarak jauh yang tajam dan penuh kedalaman ruang menerusi kanta 3.7x dan 9.4x.

Sistem ini digabungkan dengan sensor bersaiz besar (1/1.28-inci) dan mekanisme penukaran laluan optik, menawarkan fleksibiliti tinggi dalam setiap rakaman.

Sementara itu, HUAWEI Pura 80 Pro menampilkan kamera Ultra Lighting bersaiz 1-inci yang mampu menangkap butiran menakjubkan dalam keadaan pencahayaan rendah, disokong oleh teknologi Ultra Chroma untuk penghasilan warna yang tepat dan semula jadi menjadikan landskap malam kelihatan hidup dan terang seperti realiti.

Sistem HUAWEI XMAGE: Menembusi Had Imajan

Dengan peningkatan dalam sistem pengimejan HUAWEI XMAGE, siri Pura 80 menggabungkan sensor telefoto terbesar dalam industri bersama algoritma canggih yang membolehkan rakaman imej yang jelas dan terang walaupun dalam keadaan pencahayaan mencabar.

Dari seni bina yang kompleks hingga panorama bandar pada waktu malam, siri ini mempersembahkan warna yang kaya, saturasi semula jadi serta kebolehan luar biasa untuk merakam persembahan pentas secara jelas dari jarak jauh.

Kemampuan video 4K yang dibawakan turut menjadikan setiap rakaman kelihatan hidup dan realistik, memaparkan pengalaman yang benar-benar imersif.

Inovasi Dipacu AI dan Kawalan Pintar

Melangkaui keupayaan kamera, kedua-dua model turut dilengkapi butang AI Smart Controls, membolehkan pengguna mengakses ciri kegemaran seperti kamera, lampu suluh atau kanta AI hanya dengan satu sentuhan.

Tambahan ciri pengimbas cap jari pada butang ini memberi jaminan keselamatan dan pengalaman penggunaan yang lancar.

Teknologi AI Noise Cancellation juga mempertingkatkan mutu komunikasi suara, dengan fungsi penyaringan hingar dua hala yang memastikan suara lebih jelas meskipun berada dalam persekitaran bising.

Prestasi Bertenaga, Pengalaman Pengguna Diperkasa

Dari segi prestasi, HUAWEI Pura 80 Ultra dan Pura 80 Pro dilengkapi bateri berkapasiti 5,170mAh yang menyokong pengecasan pantas berwayar 100W dan pengecasan tanpa wayar 80W menggunakan teknologi HUAWEI SuperCharge. Gabungan ini memastikan peranti kekal berfungsi sepanjang hari dengan kecekapan yang konsisten.

Ketahanan Maksimum, Rekaan Tahan Lasak

Satu lagi kelebihan utama terletak pada daya ketahanan peranti. HUAWEI Pura 80 Ultra disempurnakan dengan kaca 2nd-Gen Crystal Armour Kunlun, yang menawarkan daya tahan calar 16 kali ganda lebih baik serta ketahanan jatuh 25 peratus lebih tinggi berbanding versi terdahulu, menjadikannya teman harian yang kukuh dan tahan lasak.

Pelancaran Rasmi di Malaysia

Pengguna di Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk merasai sendiri pengalaman penggunaan siri telefon pintar canggih ini.

HUAWEI Pura 80 Series akan mula dipasarkan secara rasmi di seluruh negara pada 24 Julai 2025. Pembeli awal juga berpeluang menikmati pelbagai ganjaran eksklusif bernilai sehingga RM1,428, termasuk fon telinga HUAWEI FreeBuds Pro 4 serta langganan HUAWEI Care+ selama setahun.

Tempahan awal boleh dibuat menerusi HUAWEI Experience Stores, laman rasmi HUAWEI, serta kedai rasmi HUAWEI di Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Dengan pelancaran ini, HUAWEI bukan sahaja menawarkan peranti berteknologi tinggi, tetapi juga menetapkan penanda aras baharu dalam dunia fotografi mudah alih dan gaya hidup digital moden menyatukan seni, inovasi dan kepraktisan dalam satu peranti yang luar biasa.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular