32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Juicy Luicy gegarkan RIF 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peminat muzik tanah air, khususnya dalam kalangan generasi muda, bakal disajikan dengan sebuah pengalaman konsert yang luar biasa menerusi penganjuran Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025, yang dijadual berlangsung pada 17 Ogos 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Festival yang buat julung kalinya dianjurkan oleh Expoindo dengan kerjasama penganjur tempatan, Thrive, membawa pendekatan segar dalam penganjuran acara muzik menggabungkan persembahan bertenaga dengan elemen perkongsian kisah inspiratif di sebalik karya-karya artis terbabit.

Sebagai daya tarikan utama edisi kali ini, kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy, diumumkan sebagai artis fasa pertama yang bakal menggegarkan pentas RIF 2025.

Kumpulan yang cukup dikenali dalam kalangan peminat muzik Malaysia menerusi lagu-lagu hits seperti Lantas, Lampu Kuning, Sialan dan banyak lagi ini dijangka menghidupkan suasana dengan persembahan yang penuh emosi dan dekat di hati pendengar.

Mewakili Expoindo, Bram Tulong berkata, pemilihan Juicy Luicy sebagai artis utama adalah berdasarkan impak besar yang ditinggalkan oleh lagu-lagu mereka dalam kalangan anak muda di Malaysia.

“Juicy Luicy adalah antara artis yang paling digemari di sini. Lagu-lagu mereka sarat dengan emosi dan sering mencerminkan pengalaman hidup pendengar, menjadikan mereka sangat relevan untuk mengetuai festival ini.

“RIF bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah platform untuk menyampaikan inspirasi melalui muzik,” katanya.

Tidak seperti konsert konvensional yang hanya menampilkan persembahan lagu, RIF 2025 bakal menampilkan kelainan dengan memberi ruang kepada artis untuk berkongsi kisah perjalanan peribadi mereka dalam dunia muzik.

Pendekatan ini dijangka mencipta pengalaman yang lebih intim dan bermakna buat penonton.

“Kami mahu penonton bukan sekadar menonton dari jauh, tetapi merasa lebih dekat dengan artis melalui perkongsian kisah dan nilai inspiratif.

“Setiap detik di RIF dicipta untuk menjadi peribadi, menyentuh dan memberi makna,” kata Bram.

Penganjuran RIF 2025 di Kuala Lumpur juga menandakan permulaan kepada inisiatif lebih besar oleh Expoindo untuk membawa festival ini ke bandar-bandar utama lain di Malaysia.

Usaha ini dilihat sebagai satu langkah untuk mengukuhkan semangat komuniti melalui muzik serta memperkukuh hubungan antara industri hiburan Indonesia dan Malaysia.

Sementara itu, wakil BBO Events, Johnathon Wong berkata, pihaknya berharap RIF menjadi jambatan budaya serantau yang bukan sahaja mempertemukan artis dari kedua-dua negara, malah menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.

Menariknya, RIF 2025 akan menampilkan dua sesi persembahan dalam satu hari iaitu pada sebelah tengah hari dan malam.

Harga tiket untuk persembahan tengah hari telahpun diumumkan melalui akaun rasmi Instagram dan TikTok @rifest.my, manakala tiket untuk sesi malam yang menampilkan Juicy Luicy telah mula dijual sejak 3 Julai 2025.

Harga tiket bagi persembahan malam adalah seperti berikut:

-RM528 (Presale VVIP – Seated)

-RM328 (Presale VIP – Seated)

-RM158 (Presale Platinum – Standing)

-RM258 (Presale Gold – Seated)

-RM128 (Presale Silver – Seated)

Tiket boleh didapati melalui aplikasi BBO Events atau menerusi laman web rasmi ri-fest.com/kualalumpur.

Penganjur turut memaklumkan pengumuman bagi artis fasa kedua akan dibuat tidak lama lagi, sekali gus menjadikan RIF 2025 sebagai festival yang sangat dinanti-nantikan.

Untuk sebarang berita dan maklumat terkini mengenai festival ini, orang ramai boleh ikuti akaun rasmi RIF di Instagram dan TikTok melalui @rifest.my.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular