27.9 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 19, 2026

Muhammad Dhuha, PSM ungguli Anugerah SAM-100PLUS 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perenang muda negara, Muhammad Dhuha Zulfikry, serta Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) muncul antara penerima utama Anugerah Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 hasil pencapaian cemerlang masing-masing sepanjang tahun lalu.

Muhammad Dhuha, 18, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik selepas menunjukkan prestasi luar biasa di pentas kebangsaan dan antarabangsa.

Manakala PSM pula menerima pengiktirafan sebagai Persatuan Sukan Dinamik atas kejayaan menyeluruh dalam aspek pengurusan, pembangunan dan prestasi sukan sepak takraw negara.

Bagi Muhammad Dhuha, tahun 2024 menyaksikan lonjakan besar dalam kariernya sebagai atlet apabila beliau memecahkan rekod kebangsaan acara 1500 meter gaya bebas lelaki yang telah bertahan selama 35 tahun satu pencapaian luar biasa yang direkodkan ketika beraksi di Piala Dunia Renang Akuatik 2024 di Shanghai, China.

Kejayaan itu menjadi titik tolak kepada kecemerlangannya yang berterusan apabila beliau sekali lagi menyerlah di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dengan menyapu enam pingat emas dan mencipta lima rekod kejohanan baharu, menjadikannya antara atlet paling menonjol dalam edisi berkenaan.

Ketekunan, ketenangan serta konsistensi yang ditampilkan oleh Muhammad Dhuha sepanjang tahun menjadi antara faktor utama pemilihannya sebagai Atlet Muda Terbaik dalam anugerah berprestij ini.

Sementara itu, PSM pula membuktikan bahawa pendekatan berani dalam reformasi pentadbiran mampu membawa perubahan ketara kepada landskap sukan negara.

Di bawah kepimpinan Presiden Datuk Sumali Reduan sejak tahun 2022, PSM memperkenalkan pelbagai inisiatif pembaharuan serta program pembangunan yang kini menunjukkan hasil memberangsangkan.

Kejayaan PSM mendapat penarafan empat bintang melalui Penilaian Penarafan Bintang oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan adalah bukti nyata terhadap tahap profesionalisme dan kecekapan pengurusan persatuan itu.

Di peringkat antarabangsa, skuad sepak takraw negara turut mencipta detik gemilang apabila menjuarai kedua-dua acara regu dan doubles dalam Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 sekali gus mengembalikan martabat Malaysia sebagai antara kuasa besar dalam sukan tradisi Asia Tenggara ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2024, Hazreen Mubarak, pemilihan Muhammad Dhuha dan PSM dibuat berdasarkan pencapaian yang konsisten dan impak besar yang telah mereka berikan terhadap pembangunan sukan tanah air.

“Muhammad Dhuha menunjukkan kematangan luar biasa bagi seorang atlet muda dengan kejayaannya memecahkan rekod lama dan terus mendominasi SUKMA, manakala PSM menonjol bukan sahaja atas kejayaan di pentas antarabangsa, tetapi juga kerana keberanian mereka melakukan pembaharuan dalaman secara menyeluruh,” katanya.

Tambahnya, penilaian terhadap semua calon dibuat secara teliti dengan mengambil kira prestasi semasa, sumbangan terhadap pembangunan sukan serta potensi jangka panjang.

“Anugerah SAM-100PLUS bukan sekadar platform meraikan kejayaan semasa, tetapi turut mengiktiraf semangat membina, dedikasi membangunkan bakat serta kecekapan menerajui organisasi sukan,” katanya.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 Julai ini di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya dan akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular