editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan filem seram Islamik Khong Khaek tahun lalu, syarikat produksi dari Thailand, Monwichit Entertainment, kembali dengan naskhah terbaharu yang menggabungkan unsur keagamaan, budaya dan komedi menerusi filem berjudul Isan Nikah.
Berbeza daripada pendekatan seram sebelumnya, Isan Nikah mengetengahkan tema yang jarang dipaparkan dalam arus perdana iaitu kisah perkahwinan campur antara dua insan berlainan agama dan budaya.
Filem ini dijangka menarik perhatian penonton di Malaysia apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 17 Julai 2025 menerusi pengedaran oleh Empire Film Solution Sdn. Bhd.

Diarahkan oleh Kriangkrai Monwichit, filem ini menampilkan elemen Islamik dalam bentuk yang lebih ringan dan menghiburkan.
Menurut pengarahnya, Isan Nikah bukan sekadar kisah cinta yang mencuit hati, malah turut memberi gambaran terhadap realiti sosial yang wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai agama, khususnya di wilayah selatan Thailand.
“Isan Nikah adalah kisah tentang cabaran perkahwinan antara seorang gadis Muslim dengan kekasihnya yang beragama Buddha.
“Saya olah konflik ini menjadi naskhah komedi yang menyentuh hati dan menggambarkan keindahan budaya kampung halaman saya sendiri,” kata Kriangkrai yang juga anak kelahiran selatan Thailand.
Filem ini mengisahkan Sophia, seorang gadis Muslim dari Pattani, yang ingin berkahwin dengan Bak Kai, jejaka dari wilayah Isan yang telah memeluk agama Islam demi memperisterikannya.

Namun hasrat mereka tidak dipersetujui oleh abang Sophia, Bung Lee, yang membawa trauma silam akibat ditinggalkan ibunya yang berkahwin dengan lelaki dari wilayah sama.
Rasa tidak setuju itu mencetuskan pelbagai cubaan lucu oleh Bung Lee untuk menggagalkan perkahwinan adiknya, sekali gus menjadi elemen utama kepada penceritaan filem ini.
Barisan pelakon yang membintangi Isan Nikah terdiri daripada wajah-wajah popular dari Thailand termasuk Nattawut Sanyabut, Chatchai Chinnasri, Kamonporn Sangwatcharasoontorn, Adull Borsu serta influencer terkenal, Amadkuciasree Doloh atau lebih dikenali sebagai Chalee.
Pengarah Urusan Empire Film Solution Sdn. Bhd., Mohamad Zubir Badar Shair berkata, pihaknya yakin terhadap potensi filem ini untuk mendapat sambutan hangat daripada penonton Malaysia.
Katanya, sudah tiba masanya pasaran tempatan menerima naskhah dari Thailand yang lebih bersifat komedi dan Islamik berbanding genre seram yang sering mendominasi layar perak.

“Kami tertarik dengan penceritaan filem ini kerana ia bukan sahaja lucu dan menghiburkan, malah memberi ruang kepada penonton untuk melihat dengan lebih dekat budaya masyarakat Muslim di selatan Thailand yang jarang dipaparkan dalam filem. Ia satu pendekatan yang segar dan menyentuh nilai kemanusiaan,” katanya.
Zubir berkata, pihaknya berharap tayangan Isan Nikah di Malaysia dapat menjadi platform untuk membuka pintu kepada lebih banyak filem Thailand yang mengangkat tema Islamik dan kekeluargaan, sekali gus merapatkan hubungan budaya antara kedua-dua negara.
Dengan pendekatan yang menyatukan elemen keagamaan, budaya dan komedi dalam satu naratif yang menyentuh emosi dan mencuit tawa, Isan Nikah dilihat bukan sahaja sebagai sebuah filem hiburan, tetapi juga sebagai medium pemahaman budaya rentas sempadan yang unik dan menginsafkan.

