26.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 23, 2025

Selepas 28 tahun, Tun Dr Mahathir sebak buka kapsul masa Wawasan 2020

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suasana penuh emosi menyelubungi Menara Kuala Lumpur apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berpeluang membuka kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanamnya sendiri lebih 28 tahun lalu.

Dalam majlis khas yang berlangsung hari ini, Tun Dr Mahathir meluahkan rasa syukur dan sebak kerana diberi kesempatan untuk menyaksikan semula kandungan kapsul yang sarat dengan aspirasi serta harapan negara menuju status negara maju.

Kapsul yang ditanam pada 1 Oktober 1996 itu adalah simbol penting kepada gagasan Wawasan 2020 sebuah visi jangka panjang yang diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir ketika era kepimpinannya untuk membentuk Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Kapsul berkenaan mengandungi pelbagai barangan kenangan termasuk kad pengenalan, gambar, telefon, kenyataan media dan sebuah sajak yang dikarang sendiri oleh beliau.

“Saya tak menyangka masih boleh lihat barang-barang ini. Saya fikir masa itu saya dah tak ada.

“Tapi alhamdulillah, saya masih diberi peluang buka, baca dan tengok isi kandungan kapsul ini sendiri.

“Ini satu perkara yang saya amat syukuri,” katanya pada sidang media selepas majlis pembukaan kapsul itu.

Tun Dr Mahathir turut berkongsi ketika kapsul itu ditanam, beliau sama sekali tidak menjangka akan hidup cukup lama untuk menyaksikan momen bersejarah berkenaan.

Beliau mengakui tidak meletakkan harapan untuk berada di hadapan kapsul yang digali semula, memandangkan usia yang sudah lanjut menjelang tahun 2020.

Namun, dengan nada sebak, beliau menyatakan rasa syukur kerana masih diberi kesempatan untuk membuka dan meneliti kembali simbol perjuangan negara itu.

Majlis bersejarah itu diadakan bersempena program “Raikan Raya Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad” anjuran Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), yang turut meraikan sumbangan beliau dalam pembangunan mercu tanda penting negara itu.

Pembukaan kapsul bukan sahaja membangkitkan nostalgia, tetapi turut menjadi peringatan tentang visi besar yang pernah digariskan untuk negara.

Dalam ucapannya, Tun Dr Mahathir memuji pengurusan Menara Kuala Lumpur yang menurutnya kekal berfungsi sebagai simbol kemajuan negara sejak mula didirikan.

Beliau mengimbas kembali keadaan Kuala Lumpur pada waktu pembinaan menara berkenaan yang ketika itu belum dipenuhi bangunan pencakar langit.

“Masa menara ini didirikan, belum ada bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

“Tapi sekarang, Kuala Lumpur sudah seperti New York, penuh bangunan tinggi,” katanya.

Beliau berharap, ibu kota negara terus berkembang sebagai sebuah pusat metropolitan yang penting di rantau ini.

“Insya-Allah, saya harap Kuala Lumpur terus berkembang sebagai pusat metropolitan yang menjadi lokasi aktiviti ekonomi, politik dan sosial serta menyumbang kepada dunia,” katanya.

Pembukaan kapsul masa ini bukan sahaja mencetuskan emosi dalam kalangan hadirin, malah menjadi peringatan kolektif kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai pentingnya mengekalkan semangat perjuangan, cita-cita dan harapan demi kemajuan masa depan negara.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular