28.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 22, 2025

“First Wives” tampil kisah persahabatan wanita dan pengkhianatan rumah tangga

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR –  Selepas kejayaan siri premium One Cent Thief 2 yang mengangkat kisah berdasarkan jenayah siber sebenar, Astro Originals kini tampil dengan sebuah lagi naskhah istimewa bertajuk First Wives.

Drama premium lapan episod ini menyelami realiti getir wanita yang diuji dengan pengkhianatan dalam rumah tangga, namun dipersembahkan dengan gabungan drama dan unsur humor yang menjadikan ia sebuah tontonan yang sarat emosi tetapi tetap menghiburkan.

Mengangkat tema solidariti wanita dan kecekalan dalam menghadapi dugaan, First Wives memaparkan kisah dua sahabat baik sejak kecil, Diyana dan Michelle, yang diuji dalam perkahwinan masing-masing.

Diyana, lakonan Mimi Lana, dikhianati suaminya Azzim (Malek Mccrone) apabila mendapati dia telah berkahwin lain secara rahsia.

Watak ini menandakan percubaan pertama Mimi Lana membawakan karakter berunsur komedi.

Sementara itu, Melissa Campbell memegang watak Michelle, seorang wanita yang terpaksa menanggung hutang akibat suaminya Roshan (Charles Roberts) terbabit dalam aktiviti perjudian.

Demi menyelamatkan nyawa sahabatnya dan membalas dendam terhadap suami yang curang, Diyana mencadangkan satu langkah nekad iaitu mencuri wang daripada perniagaan pasar raya milik Azzim, Azzimart, bagi melunaskan hutang Michelle.

Namun, rancangan itu tidak berjalan seperti yang dirancang apabila mereka tertangkap, lalu mencetuskan pendedahan yang lebih besar iaitu aktiviti pengubahan wang haram Azzim yang akhirnya membawa kepada penyiasatan polis dan mengancam keselamatan mereka sendiri.

Diserikan dengan barisan pelakon berpengalaman dan pelapis baru termasuk Andy Teh, Carmen Soo, Theebaan G, Zeera Azizi dan Sathisvaran, First Wives dijangka menjadi antara naskhah paling mencuri perhatian tahun ini.

Drama ini diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Infinitus Productions, diarah oleh Imri Nasution dan ditulis oleh gabungan penulis skrip Catalina Mae Hubbard, Ilya Karnain, Luqman Sheikh Ghazali dan Dee Dee Peter.

Ketua Astro Shaw merangkap Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara Astro, Raja Jastina Raja Arshad, berkata drama ini bukan sekadar hiburan semata-mata, malah menyampaikan mesej yang cukup kuat mengenai kekuatan dan ketabahan wanita.

“Jangan pandang rendah pada wanita mesej ini menjadi nadi kepada First Wives.

“Kita ingin meraikan wanita yang bangkit memperjuangkan hak mereka, menuntut keadilan dan membina kehidupan baru meskipun pernah dikhianati.

“Jalan cerita ini bukanlah sepenuhnya rekaan, tetapi adalah cerminan realiti masyarakat hari ini,” katanya.

First Wives mula bersiaran pada 11 April 2025 menerusi platform On Demand, Astro GO dan sooka seawal jam 12 tengah malam.

Penonton juga boleh menyaksikannya di Astro Citra (saluran 108) setiap Jumaat, jam 9 malam, dan di Astro Ria (saluran 104) setiap Isnin, jam 9 malam.

Sebagai sebahagian daripada promosi strategik, First Wives turut menjalin kerjasama dengan jenama ikonik tempatan, Goodday Charge susu diperkaya pertama di Malaysia dengan 10 nutrien penting.

Kerjasama ini membabitkan inisiatif pemasaran bersama termasuk penempatan produk serta penghasilan video khas berdurasi 30 saat sempena pelancaran siri ini.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular