31.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 23, 2025

Perkhidmatan Van Rapid KL On-Demand di PPS Masjid Putra Heights tamat hari ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan penamatan perkhidmatan van Rapid KL On-Demand secara percuma yang telah disediakan khusus untuk mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.

Penamatan perkhidmatan ini berikutan penutupan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Masjid Putra Heights yang telah menempatkan mangsa sejak awal insiden berlaku.

Perkhidmatan mobiliti sementara yang bermula pada 3 April 2025 itu telah memberi manfaat besar kepada lebih 1,100 individu termasuk mangsa, sukarelawan, serta petugas daripada pelbagai agensi kerajaan.

Van Rapid KL On-Demand telah memainkan peranan penting dalam membantu komuniti terkesan mendapatkan barangan keperluan dan dokumen penting, selain memudahkan urusan pembersihan kediaman mereka di kawasan Putra Heights, Kampung Puchong Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat Prasarana melalui Prasarana Prihatin, dengan pengoperasian 10 buah van serta lebih 50 petugas yang terdiri daripada kapten bas, pegawai pengawal trafik kanan, pasukan penguat kuasa dan anggota polis bantuan.

Kesemua petugas telah digerakkan secara sistematik bagi memastikan kelancaran operasi tanpa sebarang gangguan.

Selain itu, Prasarana turut memperluas perkhidmatan ini dengan menyediakan van khas untuk menghantar anak-anak mangsa ke sekolah.

“Sebanyak lima van telah digunakan bagi tujuan ini, beroperasi setiap hari dari Isnin hingga Jumaat, merangkumi perjalanan ke 19 buah sekolah di sekitar Putra Heights, USJ, Seafield dan Shah Alam.

“Seramai 103 pelajar telah menerima manfaat daripada kemudahan ini, yang disambut baik oleh ibu bapa dan penjaga, sekali gus memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak mereka tidak terganggu sepanjang tempoh penempatan sementara,” kata Prasarana dalam satu kenyataan.

Prasarana berkata, sambutan yang diterima daripada komuniti setempat amat menggalakkan, dengan ramai mangsa menzahirkan rasa syukur terhadap bantuan mobiliti yang disediakan.

Pihak berkuasa tempatan turut memberi maklum balas positif terhadap kecekapan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Prasarana dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat terjejas.

Sebagai penyedia utama perkhidmatan pengangkutan awam negara, Prasarana merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah berganding bahu menjayakan inisiatif ini.

Antara yang terbabit termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasukan Selangor Volunteer (SERVE), serta anggota keselamatan dan sukarelawan.

Komitmen Prasarana untuk terus menabur bakti kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat adalah selaras dengan aspirasinya sebagai rakan mobiliti rakyat yang prihatin dan proaktif dalam menyokong komuniti ketika waktu memerlukan.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular