24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 23, 2025

Umum konsert solo mega di Sabah, “Aku Stacy Menggegar Kota U” gegarkan SICC Jun ini

editormaxinfo@gmail.com

KOTA KINABALU – Penyanyi terkenal kelahiran Sabah, Stacy, akhirnya mengumumkan konsert solo mega pertamanya di negeri kelahirannya menerusi sebuah sidang media eksklusif yang berlangsung meriah di Sabah International Convention Centre (SICC).

Muncul anggun dalam persalinan serba putih, Stacy mempersembahkan tiga buah lagu secara akustik “Pelangi Senja”, “Not For Sale” dan “Jahat” berlatarbelakangkan panorama laut serta matahari terbenam di perkarangan luar SICC.

Detik itu mencipta suasana yang cukup magis dan peribadi, menjadikan ia momen yang sukar dilupakan buat semua yang hadir.

Konsert yang diberi judul “Aku Stacy Menggegar Kota U” bakal berlangsung pada 21 Jun 2025, jam 8 malam di SICC, Kota Kinabalu, dengan kerjasama penganjur utama Rhythm & Rhyme Entertainment serta ditaja oleh U Mobile.

Stacy berkata, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik semata-mata, tetapi sebuah dedikasi penuh terhadap seni persembahan dan penghargaan buat peminat, khususnya di Sabah.

“Saya mahu menjadikan konsert ini satu pengalaman yang penuh warna dan tenaga. Ini hadiah istimewa saya untuk orang Sabah.

“Saya sendiri terbabit sepenuhnya dalam konsep, muzik, koreografi dan pemilihan pasukan kreatif.

“Akan ada penari dari Semenanjung digabungkan dengan penari tempatan, lengkap dengan pelbagai gimik dan kejutan. Saya tak sabar nak gegarkan SICC,” katanya penuh bersemangat.

Menambahkan lagi keistimewaan konsert ini, segmen duet bersama suami tersayang, Akim Ahmad, turut disusun khas.

Pasangan ini, yang sering menjadi perhatian peminat dengan persembahan romantis mereka, akan tampil dalam babak istimewa yang dijamin mencuri hati penonton.

“Cuaca hari ini sangat mengizinkan, padahal hampir setiap hari hujan. Syukur Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan,” kata Akim.

Stacy turut berkongsi konsert berkenaan akan membawa penonton mengimbas perjalanan karier seninya bermula daripada lagu ikonik “Aku Stacy” sehingga ke “Menyala”.

Setiap lagu akan dipersembahkan dalam susunan muzik yang segar, dengan koreografi serta rekaan pentas bertaraf antarabangsa.

“Setiap lagu ada cerita tersendiri. Saya mahu semua yang hadir pulang dengan hati yang puas, terhibur dan terinspirasi.

“Saya amat bersyukur kepada U Mobile kerana merealisasikan impian ini. Komitmen mereka terhadap dunia hiburan telah membuka ruang untuk saya mencipta sesuatu yang luar biasa buat peminat,” katanya.

Bagi peminat yang ingin merasai pengalaman konsert ini, tiket telah mula dijual bermula 10 April melalui platform www.ticket2u.com.

Harga tiket ditawarkan dalam beberapa kategori mengikut keselesaan dan pengalaman penonton, antaranya:

-Not For Sale (Seating): RM6,000

-Aku Stacy (Seating): RM399

-Pelangi Senja (Free Standing): RM257

-Gilalah (Free Standing): RM197

-Jahat (Free Standing): RM137

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular