25.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 13, 2026
Home Blog Page 66

HONOR bakal lancar MagicPad 3 dan MagicBook Art 14: Peranti flagship serba baharu untuk produktiviti dan gaya

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR, jenama peranti pintar yang kini mengungguli pasaran tablet Android di Malaysia selama 12 bulan berturut-turut, bakal melakar pencapaian baharu apabila memperkenalkan dua peranti flagship terkini iaitu HONOR MagicPad 3 dan HONOR MagicBook Art 14 2025 secara rasmi pada 20 Ogos ini.

Pengenalan dua peranti ini mengukuhkan lagi kedudukan HONOR sebagai peneraju dalam ekosistem peranti berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang semakin mendapat tempat dalam kehidupan digital harian pengguna.

Dengan pendekatan yang mengutamakan sambungan lancar antara peranti dan prestasi tinggi, HONOR sekali lagi tampil dengan inovasi yang menjanjikan pengalaman teknologi yang lebih bersepadu, cekap dan bergaya.

HONOR MagicPad 3: Tablet Flagship Serba Lengkap

HONOR MagicPad 3 diangkat sebagai tablet flagship terbaik tahun ini, menggabungkan reka bentuk bergaya dengan prestasi berkuasa tinggi.

Menerusi kemas kini di media sosial, HONOR telah mengacah rekaan peranti ini yang tampil rapi dan moden, sekali gus mencetus keterujaan dalam kalangan peminat teknologi tempatan.

Direka bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, MagicPad 3 dilihat mampu menggantikan komputer riba tradisional dengan keupayaan untuk menyokong tugasan produktiviti, penciptaan kandungan kreatif, malah permainan video berintensiti tinggi.

Tablet ini dilengkapi paparan bersaiz 13.3 inci dengan resolusi 3.2K dan kadar segar semula 165Hz tertinggi dalam industri tablet setakat ini.

Ciri paparan Keselesaan Mata HONOR memastikan pengalaman visual yang tajam dan lancar, menjadikannya sesuai untuk suntingan video, lukisan digital mahupun sesi permainan jangka panjang.

Dari segi prestasi dalaman, MagicPad 3 dikuasakan oleh cip pemproses Snapdragon 8 Gen 3, lengkap dengan pensijilan IMAX Enhanced serta sistem audio lapan pembesar suara untuk pengalaman multimedia yang imersif.

Tambahan aksesori seperti papan kekunci pad sentuh Bluetooth pintar dan pensel pintar menjadikan peranti ini lebih daripada sekadar tablet ia adalah peralatan kerja profesional dan studio bergerak untuk para kreatif, usahawan serta pelajar masa kini.

HONOR MagicBook Art 14 2025: Apabila Gaya Bertemu Kuasa

Turut dilancarkan dalam acara yang sama ialah HONOR MagicBook Art 14 2025, model komputer riba baharu yang meneruskan legasi inovasi privasi dan rekaan elegan.

Versi terdahulu MagicBook Art 14 pernah mencipta penanda aras tersendiri apabila menjadi komputer riba pertama dalam industri memperkenalkan kamera magnetik sebagai inovasi privasi pengguna.

Model terbaharu ini mengekalkan keistimewaan tersebut, namun kini hadir dengan pemproses yang dipertingkat untuk prestasi lebih pantas dan responsif.

Dengan warna baharu yang diinspirasikan daripada ‘Color of the Year 2025’, MagicBook Art 14 bukan sahaja berfungsi sebagai peranti kerja yang cekap, malah menyerlahkan sisi fesyen digital pengguna moden.

Ia dilihat sebagai “aksesori” teknologi yang bukan sahaja berguna, tetapi juga menarik perhatian dari segi estetika.

Pelancaran Rasmi pada 20 Ogos

Kedua-dua HONOR MagicPad 3 dan MagicBook Art 14 2025 dijangka mendefinisikan semula standard dalam kategori masing-masing bukan sekadar dari segi fungsi dan prestasi, tetapi juga melalui pendekatan rekaan dan gaya hidup yang diperkenalkan.

Pelancaran rasmi pada 20 Ogos 2025 akan menyaksikan pengumuman penuh berkaitan spesifikasi teknikal, harga dan ketersediaan peranti di pasaran tempatan.

AIM24 umum 5 Finalis bagi 26 kategori, tawar ganjaran RM700,000 untuk pemenang terpilih

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Anugerah Industri Muzik Ke-24 (AIM24), yang dikuasakan oleh Samsung Galaxy A56 dan A36 5G serta mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi, kini memasuki fasa paling dinantikan apabila Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan senarai lima finalis bagi 26 kategori yang dipertandingkan tahun ini.

Pengerusi RIM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM24, Rosmin Hashim berkata, sebanyak 130 pencalonan telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik merentasi semua kategori utama.

Katanya, pemilihan dilakukan melalui proses penjurian telus dan profesional oleh panel juri yang berkelayakan, dengan pemarkahan diaudit oleh firma pengauditan bertauliah Mazars, manakala pengurusan penjurian dikendalikan oleh badan bebas Macomm Management Services Sdn. Bhd.

“Apa yang menjadikan edisi kali ini lebih istimewa ialah suntikan dana berjumlah RM700,000 yang diperuntukkan menerusi Dana Kandungan Kreatif (DKK) oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV), bagi menyokong penghasilan kandungan muzik berkualiti tinggi oleh pemenang terpilih.

“Sebanyak 11 kategori utama akan menerima ganjaran dana, termasuk kategori Album Terbaik yang bakal membawa pulang dana sebanyak RM200,000,” katanya.

Manakala sepuluh kategori lain, termasuk Artis Baru Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Terbaik, serta Video Muzik Terbaik, masing-masing akan menerima dana sebanyak RM50,000.

Rosmin turut menyuarakan keterujaannya terhadap senarai finalis yang diumumkan, yang menurutnya merangkumi gabungan mantap antara artis-artis ternama dan bakat-bakat baharu yang semakin menyerlah di persada muzik tanah air.

“Saya percaya dengan sokongan dana kreatif berkenaan, pemenang bukan sahaja mampu memperkukuh kedudukan di pasaran tempatan, malah berpotensi melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Majlis pengumuman itu turut dihadiri beberapa tokoh penting industri dan wakil penaja, termasuk Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman; Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi, Noreen Iszani Yusak; Ketua Bahagian Jenama, Media dan Pemasaran Digital Samsung Malaysia Electronics, Agnes Wong; serta Pengurus Media Samsung Malaysia, Dinie Zulfadhli.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif RIM, Caren Lau, serta barisan ahli lembaga pengarah RIM dan finalis AIM24.

AIM24 menerima sebanyak 682 pencalonan bagi karya muzik yang diterbitkan dalam tempoh kelayakan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024.

Proses penjurian fasa pertama dimulakan pada 14 dan 15 Julai lalu bagi kategori teknikal seperti Rakaman Lagu Terbaik dan Rakaman Album Terbaik di Timeless Studio, disusuli sesi penjurian kategori lain di Hotel Majestic Kuala Lumpur dari 21 hingga 23 Julai.

Kategori berprestij Lagu Terbaik pula dinilai pada 29 Julai 2025, turut berlangsung di Timeless Studio.

Panel juri AIM24 terdiri daripada profesional berpengalaman luas dalam industri muzik, termasuk komposer, penulis lirik, penyanyi, penerbit, pemuzik, pengarah video, guru vokal, jurutera rakaman, pereka grafik, jurufoto dan perunding imej.

Penjurian diketuai oleh Pengarah Muzik tersohor, Datuk Mokhzani Ismail selaku Ketua Juri.

Malam kemuncak AIM24 bakal berlangsung dengan penuh gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada Sabtu, 13 September 2025 bermula jam 9 malam, dengan siaran langsung dibawakan oleh RTM selaku penyiar rasmi melalui saluran TV2 dan platform RTM Klik. Acara karpet merah akan berlangsung seawal jam 8 malam.

Sebanyak 30 kategori keseluruhan akan dipertandingkan pada AIM24, termasuk empat kategori baharu yang diperkenalkan buat julung kali, iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik.

Daripada jumlah ini, enam kategori akan diumumkan lebih awal melalui Majlis Pra-Anugerah pada 12 September, antaranya Kulit Single/Album Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu, Lagu Paling Tinggi Distrim, dan Video Muzik Rasmi Paling Tinggi Ditonton di YouTube.

Selain Samsung Galaxy A56 dan A36 5G serta Kementerian Komunikasi sebagai penyokong utama, AIM24 turut mendapat tajaan daripada Resorts World Genting sebagai Lokasi Rasmi acara.

Beberapa rakan strategik turut bersama menjayakan edisi kali ini, termasuk Premiera Hotel Kuala Lumpur, F&N Beverages & Marketing, RCD Concept Sdn. Bhd., serta Timeless Studio.

Anugerah Industri Muzik telah mula dianjurkan sejak tahun 1993, di mana lagu “Dekat Padamu” nyanyian Ning Baizura pernah memenangi kategori Album Terbaik, manakala lagu ikonik “Satu” nyanyian Tan Sri SM Salim dan Datuk Zainalabidin diumumkan sebagai Lagu Terbaik.

Malaysia bakal jadi hab kecantikan Asia Tenggara menerusi penganjuran barber, Salon dan Beauty Expo Mega 2025

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Industri rambut, salon dan kecantikan di Asia Tenggara bakal melakar sejarah tersendiri apabila tiga pameran utama iaitu Barber Expo Asia, Salon Expo Asia dan Beauty Expo Asia 2025 digabungkan dalam satu acara mega yang akan berlangsung pada 6 hingga 8 September 2025 bertempat di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Seri Kembangan, Selangor.

Mengambil tempat di ruang seluas 91,000 kaki persegi empat kali ganda lebih besar berbanding edisi tahun sebelumnya, acara ini dijangka menjadi platform sehenti terbesar yang menghimpunkan penggiat industri dari seluruh rantau Asia.

Dengan sasaran kehadiran antara 10,000 hingga 15,000 pengunjung dari lebih 15 negara serta penyertaan lebih 200 jenama tempatan dan antarabangsa, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai pusat tumpuan utama industri grooming dan kecantikan di rantau ini.

Expo ini bukan sekadar pameran produk dan teknologi terkini dalam bidang rambut dan kecantikan, bahkan turut menampilkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi yang bakal mencuri tumpuan.

Antaranya termasuk pertandingan Barberlympix Asia 2025, demonstrasi secara langsung oleh ikon industri antarabangsa, bengkel interaktif “hands-on”, pertunjukan gaya rambut, sesi pendidikan khas serta persembahan pentas penuh gaya yang dijangka menarik minat khalayak pelbagai latar belakang.

Pengarah Urusan Retrobee Global Sdn Bhd merangkap penganjur acara, Firdaus Aziz berkata, salah satu tarikan utama penganjuran tahun ini adalah Forum Sphere, sebuah pentas perkongsian ilmu dan inspirasi yang akan menampilkan beberapa tokoh terkenal dalam dunia perniagaan dan keusahawanan tempatan.

Antara nama besar yang dijadualkan hadir ialah Christy Ng, Pengasas Christy Ng Shoes; Datuk Ameer, Pengarah Urusan Mydin Holdings; Ardy Damis, Pengasas Nimroc Barbershop; dan Asyraf Kamal, Pengasas Kopi Saigon.

“Mereka akan berkongsi pandangan berkaitan strategi perniagaan, kisah kejayaan serta peluang pembangunan kerjaya dalam industri yang semakin berkembang ini.

“Acara ini juga dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua segmen pelawat iaitu pemain industri (B2B) dan pengguna akhir (B2C).

“Bagi peserta B2B, penganjuran ini adalah platform strategik untuk membina rangkaian perniagaan, membuka peluang kerjasama baharu serta mengukuhkan kehadiran jenama di pasaran serantau,” katanya.

Sementara itu, pengunjung B2C pula berpeluang merasai pengalaman eksklusif mencuba produk baharu, meneroka trend terkini dan berinteraksi secara langsung dengan jenama pilihan mereka.

Dengan sokongan padu daripada penaja utama seperti myBarber dan Dyson, penganjuran Barber Expo Asia, Salon Expo Asia & Beauty Expo Asia 2025 dilihat sebagai pemacu utama kepada perkembangan industri rambut dan kecantikan di Asia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Pendaftaran booth kini dibuka kepada usahawan, pengusaha dan jenama yang berminat untuk menyertai pameran ini. Tempat adalah terhad.

Untuk maklumat lanjut serta pengumuman berkaitan tiket dan penyertaan, orang ramai boleh melayari laman rasmi di www.barbersalonexpo.asia dan www.beautyexpoasia.com.

Hari Usahawan Negara 2025 gabung usahawan tempatan dan antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 bakal mencipta sejarah tersendiri apabila acara kali ini dianjurkan secara besar-besaran buat kali pertama membabitkan penyertaan usahawan dari dalam dan luar negara.

Majlis prapelancaran rasmi dihadiri ratusan usahawan, sekali gus membuka tirai kepada sambutan penuh yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 16 September 2025 bertempat di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Acara ini bakal menghimpunkan lebih 1,000 lot pameran merangkumi pelbagai kategori keusahawanan daripada perniagaan mikro dan kecil, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sehinggalah ke syarikat-syarikat eksport dan multinasional.

Ia turut disertai delegasi antarabangsa antaranya dari China, Vietnam, Thailand, Pakistan, Timur Tengah serta negara serumpun seperti Indonesia.

Presiden DPUM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor berkata, penyertaan terbesar daripada luar negara kali ini adalah dari China dengan penyediaan sekitar 200 lot pameran, menampilkan pelbagai kluster produk seperti barangan binaan, aksesori dalaman, peralatan mesin, serta produk pengguna umum.

Manakala usahawan dari Indonesia pula dijangka hadir dengan 20 hingga 30 penyertaan, membawakan produk seperti kosmetik, pakaian dan aksesori wanita.

“Uniknya Hari Usahawan Negara ini, semua kategori usahawan diberi peluang untuk tampil bersama, tidak kira sama ada mereka usahawan warung kecil atau eksport antarabangsa.

“Ini adalah satu platform inklusif yang menyatukan seluruh ekosistem keusahawanan dalam satu acara,” katanya.

Beliau berkata, zon pameran akan disusun mengikut kategori iaitu zon antarabangsa, zon lokal serta zon mikro dan kecil, bagi memberi peluang setara kepada setiap peserta mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Antara produk yang akan ditampilkan termasuk makanan teknologi retort, kraftangan tempatan, teknologi pembungkusan, mesin pemprosesan dan pelbagai lagi inovasi usahawan.

Penganjuran tahun ini dianggap sebagai edisi pertama berskala penuh dan bersifat antarabangsa, selepas percubaan pada tahun-tahun sebelumnya terhad kepada penyertaan tempatan disebabkan kekangan pandemik Covid-19.

“Sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan lot pameran telah disahkan setakat ini, dengan permintaan semakin meningkat daripada pelbagai negara serta agensi tempatan.

“Beberapa kementerian dan agensi kerajaan turut menyatakan komitmen dalam menjayakan Hari Usahawan Negara ini, termasuk Kementerian Pelancongan yang akan mengetengahkan segmen perniagaan berkaitan pelancongan, seperti perkhidmatan agensi pelancongan, kraftangan tempatan dan produk eksport-ready.

“Agensi lain yang terbabit termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pelbagai agensi pembangunan keusahawanan lain,” katanya.

Abu Hasan berkata, dengan sokongan strategik daripada sektor swasta dan kerajaan, Hari Usahawan Negara 2025 bukan sahaja menjadi pentas promosi perniagaan, tetapi turut berfungsi sebagai pemangkin untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya di masa hadapan.

“Kami berharap agar Hari Usahawan Negara ini dapat dimaktubkan sebagai acara tahunan rasmi negara, sebaris dengan sambutan Hari Guru dan Hari Tentera.

“Kita mahu beri peluang kepada peniaga kecil seperti penjual char kuey teow di tepi jalan untuk berkembang, mungkin satu hari nanti mereka mampu buka kilang sendiri atau cipta mesin memasak sendiri. Hari Usahawan ini adalah titik mula kepada transformasi itu,” katanya lagi.

Dengan struktur dan kemudahan pameran yang fleksibel dari ruang paling asas dengan sewa bernilai RM1,500 sehingga pavilion premium mencecah RM20,000 acara ini dijangka menarik penyertaan besar-besaran dari pelbagai peringkat usahawan.

Hari Usahawan Negara 2025 dijangka menjadi medan perkongsian ilmu, pendedahan pasaran antarabangsa, serta peluang jaringan perniagaan terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.

Usahawan, pelabur dan pengunjung dari seluruh negara dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan sambutan ini, yang bakal berlangsung selama enam hari penuh inspirasi.

NCF2025 bantu jenama tempatan rebut peluang strategik, elak kerugian nilai pasaran berbilion ringgit

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar, jenama-jenama tempatan diingatkan supaya tidak leka dan perlu segera melabur dalam strategi jangka panjang sekiranya mahu kekal relevan dan kompetitif.

Ini susulan dapatan kajian oleh Interbrand pada tahun 2024 yang mendedahkan kerugian nilai belum direalisasi berjumlah lebih USD200 bilion (RM947 bilion) di peringkat global dalam tempoh dua tahun akibat strategi pemasaran yang bersifat sementara dan tidak mampan.

Malaysia, yang mencatat kedudukan ke-36 dalam Global Soft Power Index 2025 dengan skor 46.1, berdepan cabaran untuk meningkatkan pengaruh dan kekuatan jenama negara di peringkat antarabangsa.

Justeru, National CEO Forum 2025 (NCF2025) tampil sebagai platform penting dalam merangka semula pendekatan jenama berasaskan data dan nilai.

Forum eksklusif anjuran Muslim Insiders Chamber of Commerce dengan kerjasama KNKV Group itu turut disokong oleh CTOS Data Systems.

Lebih 200 tokoh perniagaan, ketua pegawai eksekutif, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pembuat dasar berkumpul untuk membincangkan tema utama “Brand Growth and Focus 2026” dalam usaha merangka hala tuju strategik jenama menjelang tahun hadapan.

Ketua Pegawai Operasi CTOS, Lee Shin Mei berkata, perubahan nilai jenama berlaku pantas mengikut pasaran dan inilah masanya untuk syarikat-syarikat menggunakan data serta maklumat yang sahih bagi membina strategi yang lebih kukuh dan tahan lama.

“Kami di CTOS berperanan sebagai penyedia kecerdasan pasaran yang membantu pemilik jenama memahami kedudukan mereka dan merancang masa depan dengan lebih bijak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Prof. Adj. Adam Richman berkata, jenama yang tidak berubah akan ketinggalan.

Katanya, perlu untuk memperbaharui pendekatan naratif jenama yang lebih menjiwai nilai masyarakat serta membina hubungan emosional dengan pengguna.

“Jenama tidak boleh hanya menjual produk mereka mesti menjual cerita dan perjuangan. Naratif yang jujur dan relevan mampu menanam kepercayaan jangka panjang dalam minda pengguna,” katanya.

Antara jenama yang mengambil bahagian dalam forum ini termasuklah Tabung Haji, Beras Jasmine, Kino Himitsu, Saudi Airlines dan Seri Sutera Travels.

Kehadiran syarikat-syarikat ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap pentingnya kepimpinan strategik dan keupayaan berinovasi dalam dunia perniagaan moden.

Forum ini turut disokong oleh SIRIM QAS International sebagai Rakan Inovasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai Rakan Strategik, serta firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) sebagai Rakan Guaman Rasmi.

Antara intipati utama forum termasuk sesi taklimat pasaran oleh CTOS berkaitan status kesihatan jenama, analisis trend kredit, serta prospek keyakinan pengguna bagi tahun 2026.

Turut diadakan sesi meja bulat tertutup bersama CEO mengikut sektor industri, selain sesi jaringan yang memberi ruang kepada peserta bertukar pandangan dan membuka peluang kolaborasi baharu.

Dalam perancangan susulan, KNKV Group akan meneruskan siri pemantauan dan sokongan berstruktur terhadap jenama-jenama yang menyertai forum, bagi memastikan kemajuan berterusan dan keberkesanan strategi yang dibangunkan.

Prof. Adam berkata, daya tahan perniagaan masa kini bergantung kepada semangat kolaborasi dan pendekatan berkumpulan.

“Kita akan bergerak lebih jauh jika kita bergerak bersama. Perkongsian pintar dan naratif yang bersepadu adalah kunci kepada kejayaan perniagaan masa kini,” katanya lagi.

Orang ramai, khususnya pemilik perniagaan tempatan, digalakkan untuk mendapatkan khidmat rundingan jenama serta strategi kandungan melalui laman rasmi KNKV Group di www.knkvgroup.com.

Empat institusi jalin kerjasama strategik perkasa pendidikan TVET dan kemahiran belia

editormaxinfo@gmail.com

KELANA JAYA – Usaha memperkasa pendidikan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) di negara ini terus mendapat suntikan baharu apabila empat institusi berpengaruh menandatangani perjanjian kerjasama strategik yang bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan serta memperluaskan akses kepada pembelajaran sepanjang hayat, khususnya dalam kalangan belia.

Majlis menandatangani Letter of Intent (LOI) yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) itu membabitkan Akademi Kemahiran YBK (AKYBK), Akademi Persilatan Sedunia (APS), Karisma Empire Associates Sdn. Bhd. (KEASB) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Kerjasama ini menandakan langkah proaktif ke arah melahirkan generasi berkemahiran tinggi sejajar dengan tuntutan industri dan aspirasi pembangunan negara.

AKYBK, sebuah pusat latihan kemahiran milik penuh YBK, kini menawarkan kursus pendawai fasa tunggal dengan Endorsan Pengujian PW2 yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), selari dengan kehendak semasa pasaran kerja.

Akademi Persilatan Sedunia pula dikenali sebagai entiti yang memartabatkan seni silat di peringkat antarabangsa dan kini memperluaskan peranannya dengan mengintegrasikan elemen kemahiran teknikal dalam pembangunan belia.

Sementara itu, KEASB berperanan sebagai penyedia latihan kemahiran tinggi, memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan berkualiti yang berdaya saing.

UTeM pula adalah universiti awam teknikal pertama di Malaysia yang unggul dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan TVET.

Melalui jalinan kerjasama ini, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk program persijilan profesional, latihan teknikal, pembangunan akademik dan kerjasama industri dalam bidang-bidang strategik seperti elektrik, tenaga dan teknologi.

Inisiatif ini turut selari dengan hasrat Kerajaan Malaysia untuk menjadikan pendidikan TVET sebagai teras utama pembangunan negara, di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyediakan laluan kerjaya yang lebih luas kepada generasi muda.

Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Pengerusi YBK, Dato’ Zainal Abidin Sakom dan turut dihadiri oleh barisan pemimpin institusi yang terbabit.

Antara yang hadir ialah Penasihat Pentadbiran YBK merangkap Pengarah APS, Datin Dr. Hartini Osman; Pengerusi Bahagian Kemahiran Tinggi dan Pendidikan KEASB, Datin Dr. Norli Alias; Timbalan Naib Canselor UTeM merangkap Ahli Lembaga Pengarah APS, Dato’ Profesor Dr. Mohamed Nasir Saludin; serta Pensyarah Kanan UTeM, Ts. Dr. Mohd Hatta Jopri.

Kesemua pihak yang terbabit menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama erat dalam memperkukuh ekosistem pendidikan kemahiran negara.

Sementara itu, Dr Hartini berkata, pihaknya bersyukur atas kerjasama yang terjalin dan ini adalah satu lagi langkah besar yang diambil dalam usaha memperkasa pelajar TVET dan pesilat-pesilat tanah air melalui perjanjian rasmi yang dijalankan.

“Dengan kerjasama ini, kami yakin ia akan menyumbang secara signifikan dalam membasmi kemiskinan melalui pendidikan teknikal dan vokasional yang diiktiraf.

“Insya-Allah, ini adalah satu permulaan yang baik untuk memperluaskan usaha dan perjuangan kita bukan sahaja dalam membina jati diri pesilat, tetapi juga dalam meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Melalui pendekatan inklusif dan bersepadu ini, kerjasama itu diyakini mampu menyumbang ke arah mencapai aspirasi Malaysia MADANI khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan menerusi ilmu, latihan teknikal dan pembangunan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa industri.

HUAWEI perkenal MatePad 11.5 PaperMatte Edisi 2025, gabungan kuasa, mobiliti dan paparan bertaraf flagship

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HUAWEI sekali lagi mencetuskan inovasi dalam dunia teknologi dengan pelancaran terkini tablet serba canggih, HUAWEI MatePad 11.5 PaperMatte Edition 2025, yang bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Dihasilkan untuk memenuhi keperluan pengguna moden yang sentiasa bergerak, tablet ini tampil sebagai peranti serba boleh yang menyatukan keupayaan paparan bertaraf flagship, produktiviti setaraf PC dan jangka hayat bateri yang mengagumkan.

Menepati gaya hidup era digital yang semakin menuntut, HUAWEI MatePad 11.5 PaperMatte 2025 direka khas untuk mereka yang terbabit dalam pembelajaran digital, tugasan profesional mahupun aktiviti kreatif di mana-mana sahaja.

Sama ada digunakan untuk mencatat idea semasa mesyuarat, menyunting kandungan multimedia atau menonton siri kegemaran sewaktu dalam perjalanan, tablet ini menjanjikan prestasi yang lancar dan menyeluruh.

Menampilkan paparan 11.5 inci 2.5K FullView PaperMatte, skrin tablet ini menawarkan nisbah skrin-ke-badan sehingga 86 peratus, kadar segar semula 120Hz yang halus, serta kecerahan maksimum 600 nits.

Permukaan anti-silau nano-ukirannya pula mampu mengurangkan pantulan cahaya sebanyak 60 peratus, memberikan keselesaan visual sepanjang masa ciri yang amat penting dalam dunia yang dipenuhi skrin.

Ciri ini turut diperakui oleh pensijilan SGS dan TÜV Rheinland bagi perlindungan mata.

Rekaan nipis hanya 6.1 mm dan seberat 515 gram menjadikan MatePad 11.5 PaperMatte mudah dibawa ke mana-mana, manakala binaan logam unibody yang ditawarkan dalam warna Violet dan Space Gray menyerlahkan gaya premium.

Tambahan pula, sistem antena dwi yang terletak dalam rekaan “Star Ring” di sekitar kamera meningkatkan penerimaan isyarat sehingga 30 peratus, sesuai untuk kekal berhubung sepanjang masa.

Bagi menyokong gaya hidup aktif, bateri berkapasiti 10,100 mAh memastikan tablet ini mampu memainkan video lebih daripada 14 jam secara berterusan.

Ia juga menyokong pengecasan pantas 40W HUAWEI SuperCharge, pengecasan PD 3.1, serta pengecasan tanpa wayar untuk aksesori.

Dikuasakan oleh sistem operasi HarmonyOS 4.3, MatePad 11.5 PaperMatte 2025 bertindak sebagai alat produktiviti yang mantap.

Ia menyokong aplikasi WPS Office setaraf PC, fungsi Multi-Window terapung untuk pelbagai tugasan serentak, serta serasi dengan HUAWEI M-Pencil generasi ketiga.

Stylus ini menawarkan kadar pensampelan 240Hz, lengah masa ultra rendah, dan pengecasan tanpa wayar sesuai untuk tugasan berketepatan tinggi mahupun eksplorasi kreatif.

Pengalaman pengguna turut dipertingkatkan menerusi sistem bunyi empat pembesar suara yang menyokong teknologi Histen 9.0, kamera belakang 13MP dan kamera hadapan 8MP, serta akses kepada lebih sejuta aplikasi selamat menerusi HUAWEI AppGallery.

Dengan gabungan reka bentuk bergaya, keupayaan teknikal canggih, serta fleksibiliti maksimum, HUAWEI MatePad 11.5 PaperMatte Edition 2025 bukan sekadar tablet untuk tahun ini ia dibina untuk masa depan.

Pelancaran rasmi produk ini di Malaysia bakal berlangsung tidak lama lagi.

Bagi mereka yang ingin menjadi antara yang terawal memiliki peranti revolusioner ini, pra-tempahan boleh dibuat bermula 12 hingga 18 Ogos 2025.

Pengguna hanya perlu membayar deposit RM50 secara dalam talian atau RM100 di kedai fizikal melalui HUAWEI Experience Store, laman rasmi HUAWEI, kedai rasmi HUAWEI di Shopee, Lazada dan TikTok Shop untuk menerima hadiah eksklusif bernilai sehingga RM698.

Tablet ini bukan sekadar peranti, ia adalah kunci kepada produktiviti dan kreativiti tanpa had bila-bila masa, di mana jua.

Piala JAZRO 2025 perkukuh usaha sektor awam dan swasta menerusi pendidikan robotik di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Semangat kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memperkasa pendidikan teknologi diterjemahkan menerusi sokongan padu terhadap Piala JAZRO 2025, sebuah pertandingan robotik yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia.

Anjuran JAZRO Robotic Academy, pertandingan ini bukan sahaja menjadi medan pengembangan bakat dalam bidang robotik dan pengekodan, malah turut berperanan sebagai pemangkin kepada penyertaan inklusif pelajar dari pelbagai latar belakang geografi dan sosioekonomi.

Dengan sokongan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, Piala JAZRO 2025 menerima penajaan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Cyberview, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui inisiatif MyDigitalMaker, MRANTI, Petrosains serta PETRONAS Innovation Garage (PING).

Tidak ketinggalan, beberapa syarikat swasta turut menyumbang, antaranya Muslim Pro dan Yayasan Mr DIY, manakala Gobi Partners, pelabur utama JAZRO, tampil sebagai penaja utama pertandingan.

Pertandingan yang bermula sejak awal Julai ini telah berjaya menarik penyertaan 1,138 pelajar dari 141 sekolah di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 656 peserta datang dari kawasan bandar, manakala 482 lagi adalah pelajar dari sekolah luar bandar satu petanda positif terhadap matlamat jangka panjang JAZRO untuk merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Ketua Pegawai Eksekutif JAZRO Robotic Academy, Ir. Dzulfarqeish Zainuddin berkata, pihaknya teruja terhadap sambutan luar biasa yang diterima.

Menurutnya, penglibatan sektor awam dan swasta dalam mendukung pertandingan ini mencerminkan komitmen bersama untuk melahirkan generasi muda yang bersedia menghadapi cabaran masa depan yang dipacu teknologi.

“Dengan lebih 1,100 pelajar dari seluruh negara mengambil bahagian, kami amat berbangga melihat Piala JAZRO berkembang menjadi sebuah platform pendidikan yang benar-benar inklusif.

“Ia bukan sekadar tentang pertandingan, tetapi ruang pembinaan karakter, daya cipta dan semangat inovasi dalam kalangan pelajar,” katanya.

Sementara itu, Muslim Pro, salah satu penaja sektor swasta, melihat penglibatan mereka sebagai sebahagian daripada tanggungjawab memperkasa pendidikan peringkat akar umbi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Muslim Pro, Nafees Khundker berkata, ilmu pengetahuan dan nilai kepercayaan tidak harus dipisahkan dalam membentuk generasi akan datang.

“Kami percaya bahawa sains dan kepercayaan bukanlah jalan yang berasingan, malah saling melengkapi.

“Menyokong platform seperti JAZRO yang membuka peluang kepada minda muda untuk menerokai bidang STEM dan robotik adalah selari dengan nilai kami dalam memupuk rasa ingin tahu, pengetahuan dan inovasi yang bermanfaat,” katanya.

Piala JAZRO 2025 meliputi enam wilayah utama iaitu Sabah, Sarawak, Pantai Timur, Utara, Selatan dan Tengah, dengan dua kategori utama dipertandingkan; pengekodan dan bukan pengekodan.

Kemuncak acara akan berlangsung dalam Grand Finale peringkat kebangsaan pada 15 Ogos 2025 di Rekascape, Cyberjaya, di mana inovator muda terbaik negara akan bersaing untuk merebut gelaran tertinggi.

Dengan pendekatan yang menyeluruh dan sokongan pelbagai pihak, Piala JAZRO bukan sahaja memperkukuh usaha pendidikan STEM di Malaysia, malah membuktikan bahawa pelaburan dalam ilmu pengetahuan merupakan satu langkah strategik dalam membentuk masa depan negara yang lebih cerah dan berdaya saing.

Cahaya hidayah menyinar di sebalik tembok penjara Pengkalan Chepa

editormaxinfo@gmail.com

KOTA BHARU – Dalam lawatan kerjanya ke Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berpeluang menyaksikan sendiri satu momen yang menyentuh hati bagaimana penghuni penjara memperlihatkan keazaman dalam mencari dan mendekatkan diri kepada hidayah Ilahi.

Salah satu detik paling mengesankan sepanjang lawatan berkenaan adalah ketika sekumpulan penghuni penjara melantunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Bacaan mereka bukan sahaja jelas dan lancar, malah penuh penghayatan, seolah-olah lahir daripada hati yang benar-benar ikhlas menginginkan perubahan.

Saifuddin Nasution, yang turut menyertai sesi bacaan itu, nyata terkesima melihat keyakinan dan ketenangan yang terpancar daripada wajah-wajah mereka.

Beliau menyifatkan pengalaman itu sebagai satu bukti nyata bahawa cahaya hidayah Allah SWT tidak pernah mengenal batas.

Menurutnya, walau di mana seseorang berada, termasuk di sebalik tembok penjara, rahmat dan kasih sayang Allah tetap mampu menyentuh dan membimbing jiwa-jiwa yang mahu kembali kepada fitrah.

“Ini adalah satu peringatan buat kita semua bahawa pintu taubat sentiasa terbuka dan hidayah itu milik Allah.

“Di tempat yang mungkin dilihat sebagai gelap oleh masyarakat luar, ada cahaya yang sedang menyinar, membimbing insan-insan ini kembali ke jalan yang benar,” katanya.

Lawatan ke institusi pemulihan seperti Penjara Pengkalan Chepa bukan sahaja memberikan perspektif baharu terhadap keberkesanan program rehabilitasi, tetapi turut memperlihatkan bagaimana aspek kerohanian memainkan peranan besar dalam proses pemulihan banduan.

Ia membuktikan bahawa apabila peluang diberikan dan bimbingan disediakan, perubahan ke arah kebaikan bukanlah sesuatu yang mustahil.

Saifuddin turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan penjara, kakitangan agama, serta fasilitator yang sabar dan komited dalam membimbing penghuni kembali ke pangkal jalan.

Usaha sedemikian bukan sahaja membantu dalam proses pemulihan individu, malah menjadi sebahagian daripada pendekatan menyeluruh untuk membentuk masyarakat yang lebih harmoni dan selamat.

Lawatan ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap kesilapan, ada peluang untuk kembali.

Di sebalik setiap tembok, ada hati yang sedang berusaha mencari cahaya.