editormaxinfo@gmail.com
KELANA JAYA – Usaha memperkasa pendidikan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) di negara ini terus mendapat suntikan baharu apabila empat institusi berpengaruh menandatangani perjanjian kerjasama strategik yang bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan serta memperluaskan akses kepada pembelajaran sepanjang hayat, khususnya dalam kalangan belia.
Majlis menandatangani Letter of Intent (LOI) yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) itu membabitkan Akademi Kemahiran YBK (AKYBK), Akademi Persilatan Sedunia (APS), Karisma Empire Associates Sdn. Bhd. (KEASB) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Kerjasama ini menandakan langkah proaktif ke arah melahirkan generasi berkemahiran tinggi sejajar dengan tuntutan industri dan aspirasi pembangunan negara.

AKYBK, sebuah pusat latihan kemahiran milik penuh YBK, kini menawarkan kursus pendawai fasa tunggal dengan Endorsan Pengujian PW2 yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga (ST), selari dengan kehendak semasa pasaran kerja.
Akademi Persilatan Sedunia pula dikenali sebagai entiti yang memartabatkan seni silat di peringkat antarabangsa dan kini memperluaskan peranannya dengan mengintegrasikan elemen kemahiran teknikal dalam pembangunan belia.
Sementara itu, KEASB berperanan sebagai penyedia latihan kemahiran tinggi, memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan berkualiti yang berdaya saing.
UTeM pula adalah universiti awam teknikal pertama di Malaysia yang unggul dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan TVET.
Melalui jalinan kerjasama ini, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan termasuk program persijilan profesional, latihan teknikal, pembangunan akademik dan kerjasama industri dalam bidang-bidang strategik seperti elektrik, tenaga dan teknologi.
Inisiatif ini turut selari dengan hasrat Kerajaan Malaysia untuk menjadikan pendidikan TVET sebagai teras utama pembangunan negara, di samping meningkatkan kebolehpasaran graduan dan menyediakan laluan kerjaya yang lebih luas kepada generasi muda.

Majlis bersejarah ini telah disempurnakan oleh Pengerusi YBK, Dato’ Zainal Abidin Sakom dan turut dihadiri oleh barisan pemimpin institusi yang terbabit.
Antara yang hadir ialah Penasihat Pentadbiran YBK merangkap Pengarah APS, Datin Dr. Hartini Osman; Pengerusi Bahagian Kemahiran Tinggi dan Pendidikan KEASB, Datin Dr. Norli Alias; Timbalan Naib Canselor UTeM merangkap Ahli Lembaga Pengarah APS, Dato’ Profesor Dr. Mohamed Nasir Saludin; serta Pensyarah Kanan UTeM, Ts. Dr. Mohd Hatta Jopri.
Kesemua pihak yang terbabit menyatakan komitmen penuh untuk bekerjasama erat dalam memperkukuh ekosistem pendidikan kemahiran negara.
Sementara itu, Dr Hartini berkata, pihaknya bersyukur atas kerjasama yang terjalin dan ini adalah satu lagi langkah besar yang diambil dalam usaha memperkasa pelajar TVET dan pesilat-pesilat tanah air melalui perjanjian rasmi yang dijalankan.

“Dengan kerjasama ini, kami yakin ia akan menyumbang secara signifikan dalam membasmi kemiskinan melalui pendidikan teknikal dan vokasional yang diiktiraf.
“Insya-Allah, ini adalah satu permulaan yang baik untuk memperluaskan usaha dan perjuangan kita bukan sahaja dalam membina jati diri pesilat, tetapi juga dalam meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Melalui pendekatan inklusif dan bersepadu ini, kerjasama itu diyakini mampu menyumbang ke arah mencapai aspirasi Malaysia MADANI khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan menerusi ilmu, latihan teknikal dan pembangunan kemahiran yang relevan dengan keperluan semasa industri.


https://shorturl.fm/VaWrH
https://shorturl.fm/8QFXI