29.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

NCF2025 bantu jenama tempatan rebut peluang strategik, elak kerugian nilai pasaran berbilion ringgit

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam landskap ekonomi global yang semakin mencabar, jenama-jenama tempatan diingatkan supaya tidak leka dan perlu segera melabur dalam strategi jangka panjang sekiranya mahu kekal relevan dan kompetitif.

Ini susulan dapatan kajian oleh Interbrand pada tahun 2024 yang mendedahkan kerugian nilai belum direalisasi berjumlah lebih USD200 bilion (RM947 bilion) di peringkat global dalam tempoh dua tahun akibat strategi pemasaran yang bersifat sementara dan tidak mampan.

Malaysia, yang mencatat kedudukan ke-36 dalam Global Soft Power Index 2025 dengan skor 46.1, berdepan cabaran untuk meningkatkan pengaruh dan kekuatan jenama negara di peringkat antarabangsa.

Justeru, National CEO Forum 2025 (NCF2025) tampil sebagai platform penting dalam merangka semula pendekatan jenama berasaskan data dan nilai.

Forum eksklusif anjuran Muslim Insiders Chamber of Commerce dengan kerjasama KNKV Group itu turut disokong oleh CTOS Data Systems.

Lebih 200 tokoh perniagaan, ketua pegawai eksekutif, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pembuat dasar berkumpul untuk membincangkan tema utama “Brand Growth and Focus 2026” dalam usaha merangka hala tuju strategik jenama menjelang tahun hadapan.

Ketua Pegawai Operasi CTOS, Lee Shin Mei berkata, perubahan nilai jenama berlaku pantas mengikut pasaran dan inilah masanya untuk syarikat-syarikat menggunakan data serta maklumat yang sahih bagi membina strategi yang lebih kukuh dan tahan lama.

“Kami di CTOS berperanan sebagai penyedia kecerdasan pasaran yang membantu pemilik jenama memahami kedudukan mereka dan merancang masa depan dengan lebih bijak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KNKV Group, Prof. Adj. Adam Richman berkata, jenama yang tidak berubah akan ketinggalan.

Katanya, perlu untuk memperbaharui pendekatan naratif jenama yang lebih menjiwai nilai masyarakat serta membina hubungan emosional dengan pengguna.

“Jenama tidak boleh hanya menjual produk mereka mesti menjual cerita dan perjuangan. Naratif yang jujur dan relevan mampu menanam kepercayaan jangka panjang dalam minda pengguna,” katanya.

Antara jenama yang mengambil bahagian dalam forum ini termasuklah Tabung Haji, Beras Jasmine, Kino Himitsu, Saudi Airlines dan Seri Sutera Travels.

Kehadiran syarikat-syarikat ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap pentingnya kepimpinan strategik dan keupayaan berinovasi dalam dunia perniagaan moden.

Forum ini turut disokong oleh SIRIM QAS International sebagai Rakan Inovasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai Rakan Strategik, serta firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) sebagai Rakan Guaman Rasmi.

Antara intipati utama forum termasuk sesi taklimat pasaran oleh CTOS berkaitan status kesihatan jenama, analisis trend kredit, serta prospek keyakinan pengguna bagi tahun 2026.

Turut diadakan sesi meja bulat tertutup bersama CEO mengikut sektor industri, selain sesi jaringan yang memberi ruang kepada peserta bertukar pandangan dan membuka peluang kolaborasi baharu.

Dalam perancangan susulan, KNKV Group akan meneruskan siri pemantauan dan sokongan berstruktur terhadap jenama-jenama yang menyertai forum, bagi memastikan kemajuan berterusan dan keberkesanan strategi yang dibangunkan.

Prof. Adam berkata, daya tahan perniagaan masa kini bergantung kepada semangat kolaborasi dan pendekatan berkumpulan.

“Kita akan bergerak lebih jauh jika kita bergerak bersama. Perkongsian pintar dan naratif yang bersepadu adalah kunci kepada kejayaan perniagaan masa kini,” katanya lagi.

Orang ramai, khususnya pemilik perniagaan tempatan, digalakkan untuk mendapatkan khidmat rundingan jenama serta strategi kandungan melalui laman rasmi KNKV Group di www.knkvgroup.com.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular