editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 bakal mencipta sejarah tersendiri apabila acara kali ini dianjurkan secara besar-besaran buat kali pertama membabitkan penyertaan usahawan dari dalam dan luar negara.
Majlis prapelancaran rasmi dihadiri ratusan usahawan, sekali gus membuka tirai kepada sambutan penuh yang dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 16 September 2025 bertempat di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.
Acara ini bakal menghimpunkan lebih 1,000 lot pameran merangkumi pelbagai kategori keusahawanan daripada perniagaan mikro dan kecil, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sehinggalah ke syarikat-syarikat eksport dan multinasional.
Ia turut disertai delegasi antarabangsa antaranya dari China, Vietnam, Thailand, Pakistan, Timur Tengah serta negara serumpun seperti Indonesia.
Presiden DPUM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor berkata, penyertaan terbesar daripada luar negara kali ini adalah dari China dengan penyediaan sekitar 200 lot pameran, menampilkan pelbagai kluster produk seperti barangan binaan, aksesori dalaman, peralatan mesin, serta produk pengguna umum.

Manakala usahawan dari Indonesia pula dijangka hadir dengan 20 hingga 30 penyertaan, membawakan produk seperti kosmetik, pakaian dan aksesori wanita.
“Uniknya Hari Usahawan Negara ini, semua kategori usahawan diberi peluang untuk tampil bersama, tidak kira sama ada mereka usahawan warung kecil atau eksport antarabangsa.
“Ini adalah satu platform inklusif yang menyatukan seluruh ekosistem keusahawanan dalam satu acara,” katanya.
Beliau berkata, zon pameran akan disusun mengikut kategori iaitu zon antarabangsa, zon lokal serta zon mikro dan kecil, bagi memberi peluang setara kepada setiap peserta mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing.

Antara produk yang akan ditampilkan termasuk makanan teknologi retort, kraftangan tempatan, teknologi pembungkusan, mesin pemprosesan dan pelbagai lagi inovasi usahawan.
Penganjuran tahun ini dianggap sebagai edisi pertama berskala penuh dan bersifat antarabangsa, selepas percubaan pada tahun-tahun sebelumnya terhad kepada penyertaan tempatan disebabkan kekangan pandemik Covid-19.
“Sebanyak 40 peratus daripada keseluruhan lot pameran telah disahkan setakat ini, dengan permintaan semakin meningkat daripada pelbagai negara serta agensi tempatan.
“Beberapa kementerian dan agensi kerajaan turut menyatakan komitmen dalam menjayakan Hari Usahawan Negara ini, termasuk Kementerian Pelancongan yang akan mengetengahkan segmen perniagaan berkaitan pelancongan, seperti perkhidmatan agensi pelancongan, kraftangan tempatan dan produk eksport-ready.
“Agensi lain yang terbabit termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pelbagai agensi pembangunan keusahawanan lain,” katanya.

Abu Hasan berkata, dengan sokongan strategik daripada sektor swasta dan kerajaan, Hari Usahawan Negara 2025 bukan sahaja menjadi pentas promosi perniagaan, tetapi turut berfungsi sebagai pemangkin untuk melahirkan lebih ramai usahawan berjaya di masa hadapan.
“Kami berharap agar Hari Usahawan Negara ini dapat dimaktubkan sebagai acara tahunan rasmi negara, sebaris dengan sambutan Hari Guru dan Hari Tentera.
“Kita mahu beri peluang kepada peniaga kecil seperti penjual char kuey teow di tepi jalan untuk berkembang, mungkin satu hari nanti mereka mampu buka kilang sendiri atau cipta mesin memasak sendiri. Hari Usahawan ini adalah titik mula kepada transformasi itu,” katanya lagi.

Dengan struktur dan kemudahan pameran yang fleksibel dari ruang paling asas dengan sewa bernilai RM1,500 sehingga pavilion premium mencecah RM20,000 acara ini dijangka menarik penyertaan besar-besaran dari pelbagai peringkat usahawan.
Hari Usahawan Negara 2025 dijangka menjadi medan perkongsian ilmu, pendedahan pasaran antarabangsa, serta peluang jaringan perniagaan terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.
Usahawan, pelabur dan pengunjung dari seluruh negara dijemput hadir untuk sama-sama memeriahkan sambutan ini, yang bakal berlangsung selama enam hari penuh inspirasi.

