editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – HONOR, jenama peranti pintar yang kini mengungguli pasaran tablet Android di Malaysia selama 12 bulan berturut-turut, bakal melakar pencapaian baharu apabila memperkenalkan dua peranti flagship terkini iaitu HONOR MagicPad 3 dan HONOR MagicBook Art 14 2025 secara rasmi pada 20 Ogos ini.
Pengenalan dua peranti ini mengukuhkan lagi kedudukan HONOR sebagai peneraju dalam ekosistem peranti berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang semakin mendapat tempat dalam kehidupan digital harian pengguna.
Dengan pendekatan yang mengutamakan sambungan lancar antara peranti dan prestasi tinggi, HONOR sekali lagi tampil dengan inovasi yang menjanjikan pengalaman teknologi yang lebih bersepadu, cekap dan bergaya.
HONOR MagicPad 3: Tablet Flagship Serba Lengkap
HONOR MagicPad 3 diangkat sebagai tablet flagship terbaik tahun ini, menggabungkan reka bentuk bergaya dengan prestasi berkuasa tinggi.
Menerusi kemas kini di media sosial, HONOR telah mengacah rekaan peranti ini yang tampil rapi dan moden, sekali gus mencetus keterujaan dalam kalangan peminat teknologi tempatan.
Direka bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, MagicPad 3 dilihat mampu menggantikan komputer riba tradisional dengan keupayaan untuk menyokong tugasan produktiviti, penciptaan kandungan kreatif, malah permainan video berintensiti tinggi.
Tablet ini dilengkapi paparan bersaiz 13.3 inci dengan resolusi 3.2K dan kadar segar semula 165Hz tertinggi dalam industri tablet setakat ini.
Ciri paparan Keselesaan Mata HONOR memastikan pengalaman visual yang tajam dan lancar, menjadikannya sesuai untuk suntingan video, lukisan digital mahupun sesi permainan jangka panjang.
Dari segi prestasi dalaman, MagicPad 3 dikuasakan oleh cip pemproses Snapdragon 8 Gen 3, lengkap dengan pensijilan IMAX Enhanced serta sistem audio lapan pembesar suara untuk pengalaman multimedia yang imersif.
Tambahan aksesori seperti papan kekunci pad sentuh Bluetooth pintar dan pensel pintar menjadikan peranti ini lebih daripada sekadar tablet ia adalah peralatan kerja profesional dan studio bergerak untuk para kreatif, usahawan serta pelajar masa kini.
HONOR MagicBook Art 14 2025: Apabila Gaya Bertemu Kuasa
Turut dilancarkan dalam acara yang sama ialah HONOR MagicBook Art 14 2025, model komputer riba baharu yang meneruskan legasi inovasi privasi dan rekaan elegan.
Versi terdahulu MagicBook Art 14 pernah mencipta penanda aras tersendiri apabila menjadi komputer riba pertama dalam industri memperkenalkan kamera magnetik sebagai inovasi privasi pengguna.
Model terbaharu ini mengekalkan keistimewaan tersebut, namun kini hadir dengan pemproses yang dipertingkat untuk prestasi lebih pantas dan responsif.
Dengan warna baharu yang diinspirasikan daripada ‘Color of the Year 2025’, MagicBook Art 14 bukan sahaja berfungsi sebagai peranti kerja yang cekap, malah menyerlahkan sisi fesyen digital pengguna moden.
Ia dilihat sebagai “aksesori” teknologi yang bukan sahaja berguna, tetapi juga menarik perhatian dari segi estetika.
Pelancaran Rasmi pada 20 Ogos
Kedua-dua HONOR MagicPad 3 dan MagicBook Art 14 2025 dijangka mendefinisikan semula standard dalam kategori masing-masing bukan sekadar dari segi fungsi dan prestasi, tetapi juga melalui pendekatan rekaan dan gaya hidup yang diperkenalkan.
Pelancaran rasmi pada 20 Ogos 2025 akan menyaksikan pengumuman penuh berkaitan spesifikasi teknikal, harga dan ketersediaan peranti di pasaran tempatan.

