26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 13, 2026
Home Blog Page 67

Suplemen semula jadi adakah benar-benar selamat dan berkesan?

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Di tengah-tengah kebangkitan kesedaran tentang kesejahteraan hidup di rantau Asia Pasifik, penggunaan produk semula jadi termasuk makanan tambahan atau suplemen terus mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

Ramai yang tertarik dengan label “semula jadi” kerana kaitannya dengan alam semula jadi serta andaian bahawa produk tanpa ramuan sintetik semestinya lebih selamat dan berkesan. Namun, sejauh manakah persepsi ini benar?

Pengarah Pembangunan Penyelidikan dan Hal Ehwal Saintifik, Asia Pasifik di Herbalife, Alex Teo berkata, kecenderungan terhadap makanan tambahan semula jadi bukanlah sesuatu yang asing, terutamanya dalam kalangan rakyat Malaysia.

Di negara ini, penggunaan produk farmaseutikal, herba tradisional dan pelbagai jenis suplemen menjadi rutin dalam usaha mengekalkan kesihatan, kecantikan dan kesejahteraan diri.

Namun, beliau menegaskan bahawa tidak semua produk kesihatan yang berlabel “semula jadi” dijamin selamat, apatah lagi apabila sesetengahnya dijual tanpa kelulusan rasmi atau ujian keberkesanan yang ketat.

Meskipun makanan tambahan semula jadi dilihat sebagai alternatif yang lebih ‘lembut’ berbanding ubat-ubatan moden, hakikatnya penggunaan tanpa panduan boleh membawa risiko kesihatan.

Sesetengah ramuan herba boleh menyebabkan interaksi negatif dengan ubat preskripsi atau membawa kesan sampingan serius jika diambil secara berlebihan.

Sebagai contoh, akar manis yang sering digunakan dalam perubatan tradisional diketahui mempunyai ciri menenangkan, tetapi jika diambil dalam dos tinggi, ia boleh menyebabkan tekanan darah meningkat dan ketidakseimbangan elektrolit dalam badan.

“Label ‘semula jadi’ tidak semestinya bermakna ia selamat atau sesuai untuk semua orang.

 “Sebatian aktif dalam ramuan herba, walaupun berasal dari alam, tetap berfungsi seperti bahan kimia yang boleh memberi kesan kepada tubuh baik atau buruk bergantung kepada dos, cara pengambilan dan kesesuaian dengan tubuh seseorang,” katanya.

Sebaliknya, suplemen sintetik pula diformulasikan untuk menyerupai sebatian semula jadi tetapi dengan ketepatan dos dan kawalan kualiti yang lebih konsisten.

Produk seperti ini biasanya menjalani ujian makmal yang teliti dan kajian klinikal bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan kepada pengguna.

Dalam perdebatan antara suplemen semula jadi dan sintetik, aspek paling penting bukanlah sumber bahan, tetapi pendekatan saintifik terhadap pembuatan dan penggunaannya.

Malangnya, terdapat beberapa salah faham umum yang sering membayangi pemahaman masyarakat tentang makanan tambahan.

Antara mitos yang perlu dileraikan termasuklah tanggapan bahawa semua produk semula jadi pasti selamat, boleh diambil dalam kuantiti tidak terhad, atau mampu menggantikan ubat-ubatan moden secara menyeluruh.

Tanggapan ini bukan sahaja mengelirukan, malah berpotensi membahayakan kesihatan jika pengguna tidak mendapatkan nasihat daripada profesional perubatan terlebih dahulu.

Tinjauan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa hampir 32 peratus rakyat Malaysia tidak sedar akan kemungkinan interaksi antara ubat moden dan ramuan tradisional.

Kealpaan ini boleh menyebabkan pengambilan suplemen yang bercanggah dengan rawatan perubatan sedia ada, sekali gus menjejaskan keberkesanan rawatan atau menyebabkan komplikasi kesihatan.

Lebih membimbangkan, ada juga yang menganggap makanan tambahan boleh menggantikan diet seimbang.

Realitinya, tiada suplemen yang mampu menandingi nilai pemakanan daripada makanan sebenar yang lengkap dan pelbagai.

Makanan tambahan hanya berfungsi sebagai pelengkap kepada gaya hidup sihat bukan pengganti.

Alex Teo menyarankan pengguna sentiasa membuat pilihan berdasarkan bukti saintifik dan pengesahan pihak ketiga.

Produk suplemen yang berkualiti biasanya menjalani ujian ketat dan mempunyai pensijilan yang menjamin keselamatan serta keberkesanannya.

Beliau juga menegaskan kepentingan rundingan bersama pakar kesihatan sebelum memulakan sebarang pengambilan makanan tambahan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang menjalani rawatan atau mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Dengan lambakan produk kesihatan di pasaran hari ini, pengguna diseru agar tidak hanya terpesona dengan label “semula jadi”, tetapi sebaliknya memberi tumpuan kepada kualiti formulasi, ketelusan pengeluar dan bukti saintifik yang menyokong keberkesanan produk berkenaan.

“Memilih makanan tambahan bukanlah soal trend semata-mata, tetapi keputusan yang perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab dan ilmu.

“Sama ada semula jadi atau sintetik, yang paling penting ialah memastikan produk itu benar-benar memberi manfaat kepada kesihatan kita dalam jangka masa panjang,” katanya.

Craig David bakal gegar ibu kota dengan konsert eksklusif “TS5: Live in Kuala Lumpur” November ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas lebih satu dekad meninggalkan pentas Malaysia, legenda muzik R&B dan UK Garage, Craig David, akhirnya kembali mengubat rindu peminat tempatan menerusi konsert eksklusif berjudul “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” yang bakal berlangsung pada 10 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Kehadiran Craig David ke Malaysia bukan sekadar satu persembahan nostalgia, malah membawa makna istimewa apabila ia turut bertepatan dengan pelancaran album studio ke-9 beliau yang berjudul Commitment, yang secara rasmi dilancarkan pada 8 Ogos 2025.

Album terbaharu itu digambarkan sebagai karya paling peribadi beliau setakat ini, mengangkat tema komitmen, pencarian diri, dan evolusi perjalanan seninya sepanjang lebih dua dekad dalam industri muzik antarabangsa.

Commitment turut menampilkan kolaborasi bersama nama-nama besar dunia seperti Tiwa Savage, JoJo dan Louisa Johnson, serta menonjolkan keseimbangan antara sentuhan klasik era Born To Do It dan bunyi moden yang segar dan relevan untuk generasi masa kini.

Konsert kali ini akan mengetengahkan konsep TS5, sebuah persembahan unik yang menggabungkan nyanyian secara langsung dengan elemen DJ set satu format yang menjadikan Craig David sebagai fenomena global sejak diperkenalkan pada tahun 2012.

Bermula sebagai siaran radio kecil dari apartmennya di Miami, TS5 kini telah berkembang menjadi jenama muzik yang gah, dan telah menjelajah ke pentas-pentas ternama dunia termasuk Ibiza, Dubai, Tokyo dan London.

Kini, buat julung kalinya, konsep berkenaan akan dipersembahkan secara eksklusif kepada peminat di Malaysia.

Malam penuh bertenaga itu bakal menyajikan rangkaian lagu-lagu ikonik yang telah menjadi runut bunyi kepada generasi peminat sejak awal milenium, antaranya Fill Me In, 7 Days, Walking Away, What’s Your Flava dan When The Bassline Drops, serta beberapa karya terbaharu dari album Commitment.

Craig David mula mencipta nama menerusi kolaborasinya bersama Artful Dodger dalam lagu Re-Rewind, sebelum melonjak ke persada antarabangsa dengan single solo sulungnya Fill Me In, menjadikannya artis solo lelaki termuda yang pernah menduduki tangga teratas carta muzik UK.

Album debut beliau Born To Do It yang diterbitkan pada tahun 2000 mencatat kejayaan luar biasa dengan jualan melebihi 7 juta unit di seluruh dunia dan telah dinobatkan oleh MTV serta The Guardian sebagai antara album terbaik sepanjang zaman.

Sehingga kini, Craig David telah menjual lebih 13 juta album, menerima pelbagai pengiktirafan berprestij termasuk 3 Ivor Novello Awards, 2 MTV Europe Music Awards, dan 14 pencalonan BRIT Awards.

Pada tahun 2021, beliau telah dikurniakan gelaran MBE oleh mendiang Ratu Elizabeth II sebagai penghormatan atas sumbangan besar beliau dalam bidang muzik dan kerja kebajikan.

Tiket bagi konsert “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” akan mula dijual dalam masa terdekat.

Peminat disaran untuk mengikuti pengumuman rasmi daripada pihak penganjur bagi mendapatkan maklumat terkini serta memastikan mereka tidak terlepas peluang menyaksikan persembahan yang dijangka menjadi antara konsert paling dinanti dan berprestij di Malaysia tahun ini.

Konsert solo pertama Hael Husaini penuh kejutan, persembahan penuh emosi dan bertenaga

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Hael Husaini, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mementaskan konsert solo pertamanya yang diberi nama Hael Husaini & Repertoire yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam Jumaat yang lalu.

Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu menyaksikan Hael mempersembahkan sekitar 27 buah lagu daripada katalog ciptaannya sendiri, dalam satu persembahan yang penuh gaya, emosi dan keintiman bersama peminat.

Lebih membanggakan, konsert berkenaan turut diserikan dengan kemunculan beberapa penyanyi jemputan ternama tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Nadeera, Nabila Razali dan Wany Hasrita.

Masing-masing membawakan lagu-lagu ciptaan Hael dalam persembahan yang mendapat sorakan gemuruh daripada penonton.

Namun, antara detik paling mencuri tumpuan malam itu ialah apabila penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, membuat kemunculan mengejut di atas pentas dan menyampaikan lagu popular Anta Permana, sekali gus menghadirkan suasana penuh magis dan menyentuh perasaan di seluruh dewan.

Ramai yang teruja dan menjerit tidak keruan apabila menyaksikan kelibat Siti muncul di pentas.

Sebagai menunaikan janjinya kepada peminat dan pendokong bakat baharu, Hael turut menjemput juara program realiti Big Stage Alpha, iaitu ALPHA, untuk turut serta membuat persembahan dalam konsert berkenaan.

Tindakan itu disambut dengan tepukan gemuruh sebagai tanda sokongan terhadap usaha Hael dalam mengangkat dan meraikan bakat baharu dalam industri muzik tempatan.

Sepanjang konsert berlangsung, Zepp Kuala Lumpur dipenuhi ribuan peminat setia Hael yang membanjiri ruang acara hingga mencapai status ‘full house’.

Sorakan, nyanyian bersama dan gelombang emosi jelas terasa apabila lagu-lagu popular seperti Jampi, Hari Ini, Kelentang Kelentung dan banyak lagi bergema di seluruh dewan.

Suasana begitu hidup dengan penonton bukan sahaja menyanyi bersama, malah tidak henti-henti menari dan menyambut setiap persembahan dengan penuh semangat.

Dalam satu luahan ikhlas kepada penonton di akhir persembahan, Hael mengakui dirinya berasa sangat terharu dengan sambutan luar biasa yang diterimanya malam itu.

Hael menzahirkan rasa syukur atas sokongan berterusan daripada peminat dan berjanji akan terus menghasilkan karya berkualiti demi memartabatkan muzik tempatan di persada seni tanah air.

Konsert Hael Husaini & Repertoire bukan sahaja membuktikan kemampuan Hael sebagai seorang penyanyi dan penghibur yang serba boleh, malah menyerlahkan kekuatan dirinya sebagai pencipta lagu yang berjaya menyentuh hati pendengar dari pelbagai lapisan masyarakat.

Ia menjadi satu malam yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut memperkukuh kedudukan Hael dalam landskap muzik Malaysia sebagai antara nama paling berpengaruh masa kini.

PSG 2025 angkat Pulau Pinang sebagai hab perdagangan emas serantau

editormaxinfo@gmail.com

PULAU PINANG – Pulau Pinang sekali lagi menjadi tumpuan industri emas dan barang kemas serantau apabila Pameran Penang Signature Gold, Gems & Jewellery (PSG) kembali untuk edisi kesembilan dengan skala yang lebih besar dan berprestij.

Pameran perdagangan emas terbesar di Asia Tenggara ini akan berlangsung dari 15 hingga 17 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Setia SPICE dan dijangka menghimpunkan barisan pemimpin industri, pelabur serta pembeli profesional dari seluruh dunia.

Dianjurkan oleh Elite Expo Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Tukang Emas dan Peniaga Barang Kemas Pulau Pinang (Penang Goldsmith & Jewellers Association – PGJA), PSG 2025 terus mengekalkan reputasinya sebagai platform perdagangan terunggul yang memacu pertumbuhan industri emas dan permata serantau.

Dengan penglibatan lebih 85 peratus pemain industri tempatan, acara ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan ekosistem emas Malaysia, tetapi turut menyumbang kepada lonjakan imej Pulau Pinang di peringkat global.

Lebih daripada 120 gerai pameran akan menyertai PSG 2025, mewakili lebih lapan negara termasuk United Kingdom, Turki, China, Thailand, Singapura, India, Jepun serta Malaysia sebagai tuan rumah.

Pempamer akan mempersembahkan rangkaian koleksi barangan kemas berkualiti tinggi merangkumi emas, permata, perhiasan halus, logam berharga, mesin pembuatan moden serta inovasi dalam pembungkusan dan penyelesaian teknikal terkini.

Menariknya, pameran ini bersifat eksklusif dan hanya terbuka kepada pemain industri yang berdaftar dalam sektor berkaitan emas, permata dan barang kemas.

Ia dijangka menerima kehadiran lebih 5,000 pelawat perdagangan dan delegasi profesional dari pelbagai negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Filipina, Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura, menjadikan PSG 2025 sebagai medan penting bagi menjalin hubungan niaga dan membuka peluang pasaran baharu.

Majlis perasmian rasmi akan diadakan pada 15 Ogos jam 11 pagi dan bakal dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen barang kemas emas secara langsung.

Pertunjukan ini akan menampilkan rekaan terkini daripada pereka tempatan dan antarabangsa, sekali gus memberi peluang kepada penggiat industri untuk menyaksikan evolusi dan kemewahan rekaan perhiasan emas masa kini.

Selain aktiviti pameran, pelbagai program sokongan yang bersifat informatif turut disusun bagi menambah nilai kepada pengunjung dan peserta.

Antaranya ialah seminar yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkaitan Geran Pembangunan Pasaran (MDG).

Seminar ini bertujuan untuk memperkasa syarikat tempatan dalam memperluas jaringan perniagaan ke peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam pameran perdagangan, strategi pemasaran digital dan misi padanan perniagaan.

PSG 2025 turut menganjurkan beberapa forum eksklusif yang menampilkan tokoh industri antarabangsa.

Antara sesi yang paling dinanti ialah forum ramalan harga emas dan analisis pasaran global, yang akan mengupas trend semasa, faktor ekonomi dan dinamik permintaan pasaran terutamanya dari China. Sesi ini bakal dibarisi pakar dari Metals Focus dan World Gold Council.

Satu lagi forum penting yang dijangka menarik perhatian ialah sesi yang dikendalikan oleh Platinum Guild International, yang akan membincangkan kebangkitan semula permintaan terhadap barang kemas platinum di pasaran Asia dan global.

Perbincangan akan merangkumi trend pengguna baharu serta inovasi reka bentuk yang mendorong pertumbuhan segmen ini.

Menutup rangkaian forum penting PSG 2025 ialah sesi bertajuk Navigasi Pasaran Barang Kemas Emas ASEAN: Cabaran, Peluang & Wawasan 2025, yang mempertemukan tokoh industri dari Thailand, Laos dan UAE.

Panel ini akan membincangkan cabaran regulatori, perubahan tingkah laku pengguna serta potensi pasaran baharu dalam landskap perdagangan ASEAN yang kian berkembang.

Dengan penyertaan global yang semakin kukuh dan program-program yang bersifat strategik, PSG 2025 sekali lagi menegaskan peranannya sebagai peneraju industri emas serantau dan medan pertemuan utama antara penjual dan pembeli dalam industri barang kemas.

Pulau Pinang, sebagai tuan rumah, terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi perdagangan emas yang disegani di Asia Tenggara.

“Inilah KITA, Sehati Bersama” sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Astro meneruskan komitmennya dalam menyemarakkan semangat perpaduan rakyat Malaysia dengan melancarkan kempen istimewa sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bertemakan “Inilah KITA, Sehati Bersama”, yang berlangsung dari 15 Ogos hingga 16 September 2025.

Kempen ini mengetengahkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat Malaysia sebagai asas kepada naratif kebangsaan yang inklusif dan menyatupadukan.

Menampilkan pelbagai inisiatif menarik, kempen ini membawakan pengalaman menyeluruh kepada rakyat Malaysia melalui pelbagai platform, termasuk pelancaran saluran khas ‘KITA Channel’ (saluran 100), persembahan lagu tema “Bangkit Malaysia” oleh Hael Husaini, acara hiburan dan kebudayaan ‘Hello Inilah KITA’, serta siaran radio khas ‘KITA FM’ yang merentasi seluruh negara.

Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong berkata, tema tahun ini memberi penekanan kepada semangat kebersamaan dalam kepelbagaian.

“Kami meneruskan naratif ‘Inilah KITA’ dengan membawa tema ‘Sehati Bersama’ yang mencerminkan momen-momen indah yang telah menghubungkan kita semua sebagai rakyat Malaysia.

“Menerusi kisah-kisah perkongsian kehidupan daripada berkongsi juadah hingga kepada kolaborasi seni kami ingin memperingati rakyat tentang pentingnya perpaduan dan nilai kebersamaan,” katanya.

Sebagai simbolik kepada jenama kebangsaan, Astro memperkenalkan ‘KITA Channel’ (saluran 100), iaitu saluran khas sempena bulan kebangsaan yang menghimpunkan lebih 50 program istimewa tempatan.

Saluran ini menyiarkan filem, drama, dokumentari, rancangan realiti dan konsert yang mengangkat kisah rakyat dan semangat patriotisme.

Antara tayangan eksklusif termasuklah beberapa telefilem baharu sempena Merdeka seperti Kita Bukan Data, Mariam Meenachi, Rombengan, Wasiat Ayah, dan Daddy Naik Sheikh.

Telefilem-telefilem ini dibintangi pelakon popular tanah air seperti Nabila Huda, Faizal Hussein, Que Haidar, MK K-Clique dan ramai lagi.

Turut dipersembahkan ialah konsert eksklusif seperti Slam X Exist: Our Journey dan Konsert Hael Husaini & The Repertoire.

Kempen ini turut diserikan dengan tayangan tiga dokumentari pendek yang mengangkat kisah sebenar rakyat Malaysia menerusi program ‘Kisah Perpaduan Inilah KITA’.

Dokumentari ini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Astro Malaysia bermula 7 Ogos 2025, jam 9 malam.

Antara kisah yang dipaparkan termasuk Famili Ikat Tepi, yang menyorot sebuah kopitiam berusia lebih satu abad sebagai lambang perpaduan; Tempat Letak Harmoni, yang memaparkan kerjasama unik antara masjid dan gereja di Lutong, Sarawak yang berkongsi kawasan parkir; serta Seni Berkawan, yang mengisahkan tiga artis tempatan dari latar budaya berbeza yang bekerjasama dalam satu projek seni bersifat kebangsaan.

Kemuncak kempen ini turut melibatkan acara ‘Hello Inilah KITA’ yang dijadual berlangsung pada 23 dan 24 Ogos 2025, menghimpunkan selebriti pelbagai kaum seperti Mira Filzah, Hun Haqeem, Ayda Jebat, Nicole Lai dan Rubini dalam satu acara rakyat yang meraikan muzik, budaya dan hiburan Malaysia.

Bagi pendengar radio pula, siaran khas ‘KITA FM’ akan disiarkan secara langsung dari Putrajaya sempena Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos, membabitkan penyampai terkenal daripada rangkaian stesen radio Astro Audio dan RTM.

Inisiatif ini akan diteruskan melalui jelajah 13 negeri dengan menggunakan bas khas ‘KITA FM Hop On Hop Off’, yang bakal berakhir di Pulau Pinang pada Hari Malaysia, 16 September.

Usaha ini juga bakal mencipta satu lagi rekod baharu dalam Malaysia Book of Records.

Melengkapkan lagi kempen ialah lagu tema rasmi berjudul “Bangkit Malaysia” yang dinyanyikan oleh penyanyi terkenal Hael Husaini.

Lagu ini akan boleh distrim di semua platform muzik utama dalam masa terdekat.

Astro turut mengumumkan penganjuran ‘KITA Run’, sebuah acara larian rakyat yang bakal berlangsung pada 25 Oktober 2025 di Serenia City Central Park, Nilai.

Acara ini bersifat inklusif dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat dengan pilihan larian sejauh 5KM dan 10KM, serta dimeriahkan dengan karnival, gerai makanan dan konsert bersama artis tempatan.

Maklumat lanjut mengenai penyertaan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Dengan pelbagai inisiatif berimpak tinggi ini, Astro menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan demi membina masa depan negara yang lebih harmoni.

Sesungguhnya, “Inilah KITA, Sehati Bersama” bukan sekadar tema ia adalah cerminan nilai sebenar rakyat Malaysia.

Kilauan Emas 2025 kembali, usia minimum turun kepada 43 tahun

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program realiti nyanyian ikonik tanah air, Kilauan Emas, kembali lagi untuk musim terbaharu dengan pembaharuan menyeluruh yang dijangka memberi nafas baharu kepada dunia hiburan tempatan.

Diterbitkan oleh Astro selaku peneraju kandungan dan hiburan negara, Kilauan Emas 2025 bakal bersiaran pada 16 Ogos ini, setiap Sabtu, jam 9 malam di saluran Astro Prima (105).

Berpegang teguh pada komitmen untuk mencungkil dan mengangkat bakat tempatan, Astro memperkenalkan pendekatan yang lebih inklusif tahun ini, termasuk penurunan had umur penyertaan kepada 43 tahun.

Langkah ini memberi peluang lebih luas kepada generasi “otai” untuk menyerlahkan potensi seni mereka di pentas arus perdana.

Pembaharuan format juga mencakupi penyertaan juri awam yang terdiri daripada wartawan serta pelanggan setia Astro, selain pendekatan penceritaan yang lebih menyentuh emosi menjadikan program ini bukan sahaja bersifat kompetitif, malah menyatukan rakyat melalui seni dan muzik.

Sesi uji bakat yang berlangsung pada Mei dan Jun lalu di Miri, Johor dan Shah Alam menyaksikan lebih 500 penyertaan daripada individu pelbagai latar belakang.

Bukan sahaja menonjolkan keupayaan vokal, ramai peserta turut mempamerkan bakat tambahan dalam bidang lakonan dan tarian, memperlihatkan kepelbagaian bakat yang dimiliki oleh golongan berusia 43 tahun ke atas.

Pengurus Saluran Astro Prima, Idlan Zahari berkata, musim 2025 menyaksikan peningkatan ketara dari segi kriteria penyertaan dan format produksi.

Katanya, pihaknya teruja dengan sambutan luar biasa yang diterima daripada masyarakat, sekali gus membuktikan Kilauan Emas bukan sekadar sebuah program hiburan, tetapi juga medan penting untuk menyatukan rakyat melalui minat yang sama terhadap muzik dan seni persembahan.

“Kami juga amat berbesar hati melihat penyertaan daripada individu yang datang daripada keluarga seni.

“Ini membuktikan semangat dan cinta terhadap seni tidak pernah pudar, malah diwarisi dari satu generasi ke satu generasi.

“Setiap peserta membawa kisah tersendiri dan Kilauan Emas terus menjadi platform untuk mereka membina keyakinan serta mengejar impian,” katanya.

Seramai 12 peserta solo telah dipilih untuk bersaing pada musim ini, terdiri daripada individu berumur antara 43 hingga 65 tahun.

Mereka ialah Zanie, Shah, Nurul, Kinar, Mazleen, Majid, Leeza, Ben, Ezan, Zekrai, Nawary dan Vijay masing-masing membawa keunikan tersendiri dalam usaha merebut gelaran juara Kilauan Emas 2025.

Mengukuhkan lagi tarikan musim ini ialah barisan personaliti terkenal yang turut terbabit dalam produksi.

Penyanyi dan pelakon popular Elly Mazlein kembali sebagai hos utama, manakala Joey Daud mengendalikan segmen belakang pentas serta Diari Kilauan Emas.

Panel juri menampilkan wajah-wajah tersohor tanah air termasuk Erra Fazira sebagai juri tetap, digandingkan bersama pelawak Roy Azman, serta kemunculan penyanyi bersuara emas Ning Baizura sebagai juri baharu.

Turut diperkenalkan ialah Zarul Husin yang bertindak sebagai hos program Spotlight, yang bersiaran selepas konsert pada jam 11.30 malam.

Segmen Live+ pula akan dikemudikan oleh Keanu Azman dan Sarah Karmila.

Penonton berpeluang mengikuti Kilauan Emas 2025 secara fleksibel melalui platform On Demand menerusi Astro GO, Astro Ultra/Ulti Box, dan aplikasi sooka.

Sepanjang lapan minggu siaran secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam, peserta akan mempersembahkan nyanyian mereka dalam usaha meraih undian dan penilaian juri.

Dalam sistem pemarkahan, sebanyak 70 peratus akan dinilai oleh panel juri profesional, manakala 20 peratus ditentukan oleh juri awam termasuk penonton undangan, dan 10 peratus lagi berdasarkan undian peminat secara dalam talian.

Pemenang utama musim ini akan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 serta trofi sumbangan Astro.

Sebagai tambahan kepada siaran utama konsert mingguan, Astro turut memperkenalkan dua program sampingan untuk menambah keterujaan penonton: Diari Kilauan Emas 2025, bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 11.30 malam mulai 11 Ogos, menyajikan klip latihan dan persediaan peserta; serta Kapsul Profil Peserta, yang bersiaran setiap Selasa hingga Jumaat jam 3 petang mulai 5 Ogos memfokuskan latar belakang dan kisah inspirasi setiap peserta, termasuk Ezan, Zekrai, Nurul, Nawary, Shah dan Kinar.

Dengan pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan, Kilauan Emas 2025 bukan sahaja tampil sebagai sebuah program hiburan, tetapi juga sebagai satu platform yang memperkasakan golongan otai untuk terus mengejar impian dalam seni suara membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bersinar.

Anwar arah siasatan terbuka dan telus kes kematian Zara Qairina

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Siasatan penuh, terbuka dan telus akan dijalankan berhubung kematian tragis remaja perempuan, Zara Qairina, di Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya menekankan prinsip keadilan mesti ditegakkan tanpa sebarang kompromi, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan mana-mana individu yang terbabit.

Menurut beliau, pihaknya telah mengarahkan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk melindungi pihak tertentu.

“Tidak kira siapa pun yang terbabit orang kenamaan atau orang biasa tiada tolak ansur. Setiap kematian mesti disiasat tanpa cubaan melindungi mana-mana pihak demi keadilan,” tegasnya.

Namun begitu, beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak mempergunakan tragedi ini sebagai bahan politik atau alat untuk meraih simpati dan sokongan.

Katanya, adalah tidak berperikemanusiaan untuk mengeksploitasi kesedihan keluarga mangsa demi kepentingan politik mana-mana pihak.

“Jangan bina istana di atas pusara. Menggunakan kesedihan keluarga untuk menyerang atau membina keuntungan politik adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

“Nyawa yang terkorban bukan bahan permainan untuk diperalatkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan supaya mayat Allahyarham Zara Qairina digali semula bagi tujuan bedah siasat.

Langkah itu diambil susulan timbulnya syak wasangka dan sebagai memenuhi keperluan undang-undang bagi memastikan segala aspek siasatan dijalankan secara menyeluruh.

Perdana Menteri menyifatkan tindakan itu sebagai penting dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara dan memberi jaminan bahawa tiada sebarang kebenaran akan disembunyikan.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran MADANI akan terus memberi komitmen untuk menjunjung prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban sepenuhnya.

“Saya tegaskan sekali lagi ini Kerajaan MADANI. Tiada sesiapa, termasuk VIP, akan dilindungi jika bersalah.

“Pembunuh tetap pembunuh dan undang-undang mesti ditegakkan demi memastikan setiap nyawa dihargai serta keadilan ditegakkan,” katanya.

Kematian Zara Qairina yang berlaku baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat, selain mendapat perhatian luas media dan orang ramai.

Arahan untuk menjalankan bedah siasat semula diharap dapat memberi penjelasan terhadap punca sebenar kejadian serta membawa keadilan kepada semua pihak yang terkesan.

Zee Avi gegarkan pentas penutup YSDAF 2025 bersama lebih 300 artis di Elmina

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan ikon muzik indie Malaysia, Zee Avi, bakal menjadi kemuncak malam penutup Festival Seni Yayasan Sime Darby (YSDAF) 2025, yang dijadualkan berlangsung pada 9 Ogos, hari ini di Elmina Lakeside Mall, Shah Alam.

Lebih istimewa, seluruh acara ini dibuka secara percuma kepada orang ramai, menjadikannya antara festival seni terbesar dan paling inklusif tahun ini.

Persembahan penutup oleh Zee Avi, yang turut diiringi kumpulannya The Good Things, dijangka menyajikan gabungan memukau antara elemen folk, jazz dan pop satu persembahan yang pasti memikat hati peminat dari pelbagai lapisan umur.

Artis-artis ternama tempatan seperti Kyoto Protocol dan FUGŌ juga akan turut memeriahkan pentas utama, bersama ratusan lagi penggiat seni dalam satu malam yang dijanjikan penuh magis dan kepelbagaian.

Malam finale YSDAF 2025 ini bukan sekadar konsert ia adalah kemuncak kepada jelajah enam bulan festival seni ini yang telah meliputi seluruh Semenanjung Malaysia.

Dari kampung ke bandar, festival ini berjaya membawa seni ke ruang awam dan mendekatkan masyarakat kepada pelbagai bentuk ekspresi kreatif dan penutupnya kali ini disifatkan sebagai edisi paling epik dalam sejarah penganjurannya.

Berlangsung dari jam 4 petang hingga 11 malam, Elmina Lakeside Mall akan bertukar menjadi sebuah pusat seni terbuka dengan lebih 80 acara percuma melibatkan lebih 300 artis dari pelbagai disiplin seni.

Antara yang menjadi tumpuan termasuk Young KL Singers (YKLS), pemenang kategori “Best Of” dalam BOH Cameronian Arts Awards 2025, yang akan mempersembahkan karya bertajuk Spice, Magic and Mystique persembahan vokal yang mengangkat lagu-lagu rakyat Asia Tenggara.

YKLS turut menawarkan pra-tonton konsert tribut mereka kepada band antarabangsa Coldplay, lengkap dengan sesi nyanyian bersama penonton.

Turut mencuri perhatian ialah gabungan persembahan kontemporari dan eksperimental daripada kumpulan MyDance Alliance menerusi Dancing in Place, serta teater fizikal berjudul Berlumba Seperti Arnab oleh Orang Orang Drum Theatre, yang diinspirasikan dari kisah dongeng klasik dan dipersembahkan dengan gaya segar serta ceria.

Antara karya yang cukup dinanti-nantikan ialah DETOUR the Musical, sebuah produksi teater baharu yang menyatukan pelakon kurang daya pendengaran dan pelakon normal pendengaran dalam satu produksi.

Dengan penggunaan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), puisi lisan dan muzik, pementasan ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu pengalaman teater inklusif yang menyentuh hati serta membuka mata terhadap kepelbagaian komuniti seni negara.

Dua karya yang menyentuh emosi, Dollah dan Ceritaku, yang sebelum ini dipersembahkan semasa siri jelajah kampung YSDAF, kini kembali dalam versi penuh untuk pentas akhir ini.

Kedua-dua karya tersebut diarahkan oleh pengarah teater prolifik, Christopher Ling, dan ditulis oleh Arsyad Azrai, menjanjikan persembahan bertenaga dan penuh makna.

Penerbit Eksekutif Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) dan YSDAF, Dato’ Dr. Faridah Merican berkata, festival ini bukan sekadar medan pementasan seni, tetapi satu ruang pertemuan dan perpaduan yang menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, akan ada pelbagai persembahan, daripada seni tradisional hinggalah kontemporari, daripada seni tari hingga teater.

“YSDAF 2025 membawa mesej kuat bahawa seni bukan sekadar untuk dipertontonkan, tetapi merupakan hak milik semua rakyat Malaysia.

“Festival ini adalah jemputan untuk kita berkongsi dan menikmati keindahan kreativiti dalam pelbagai bentuk,” katanya.

Pengunjung yang hadir bersama keluarga turut berpeluang menikmati pelbagai aktiviti di ruang Handyzone, yang menampilkan bengkel kreatif seperti seni membuat terrarium, seni marbling air, cetakan skrin, perhiasan perak dan juga kelas seni latte.

Aktiviti ini sesuai untuk semua peringkat umur dan meskipun slot pra-pendaftaran sudah penuh, pengunjung masih berpeluang menyertainya secara walk-in sepanjang hari.

Elmina Lakeside Mall dan kawasan tasik di sekitarnya juga akan dihiasi dengan pelbagai elemen interaktif seperti persembahan jalanan, instalasi seni LED dan bunga, zon seni digital serta sesi drum circle terbuka.

‘Fun Zone’ pula menjanjikan hiburan santai untuk seisi keluarga dengan popcorn dan gula kapas percuma serta permainan berhadiah bernilai lebih RM2,000.

Pengunjung turut boleh menyewa basikal Swift untuk menjelajah kawasan tasik atau bersantai di pavilion seni rekaan pelajar Malaysian Institute of Art (MIA).

Menepati prinsip akses untuk semua, festival ini turut menyediakan kemudahan mesra OKU termasuk tandas khas, laluan kerusi roda dan sokongan dari pasukan Festival Ambassadors yang terlatih.

Perkhidmatan van shuttle percuma juga disediakan sepanjang hari dari kawasan parkir berhampiran, memudahkan pengunjung menikmati festival dengan selesa.

YSDAF 2025 dibawakan oleh Yayasan Sime Darby (YSD) dengan kerjasama klpac, serta disokong oleh Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad, Sime Darby Property Berhad, dan buat julung kalinya, disokong oleh Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2025.

Format baharu yang menjelajah dari kampung ke bandar tahun ini berjaya membawa seni lebih dekat kepada rakyat dan semua ini dilakukan secara percuma.

Kubur Allahyarham Zara Qairina akan digali semula secepat mungkin bagi melengkapkan siasatan – Saifuddin Nasution

editormaxinfo@gmail.com

MACHANG -Kementerian Dalam Negeri mengesahkan kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan digali semula dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada langkah melengkapkan siasatan kes kematian remaja itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan itu diambil susulan arahan rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), semalam.

Beliau memaklumkan pihak polis akan melaksanakan proses ekskavasi secepat mungkin bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan secara menyeluruh.

“Memandangkan kita baru menerima arahan, pagi tadi saya sudah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara.

“Proses gali semula kubur akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya pada Majlis Ijtima’ MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan yang berlangsung hari ini.

Katanya, fokus utama pasukan siasatan adalah untuk mengemas kini segala maklumat berkaitan dan mengumpul bukti-bukti baharu yang boleh membantu merungkai punca sebenar kematian Allahyarham Zara Qairina.

“Sudah tentu kita akan memastikan setiap langkah siasatan dilakukan secara teliti dan berprinsip.

“Polis tidak akan berkompromi dalam menegakkan prinsip keadilan. Kita perlu berlaku adil kepada semua pihak sama ada kepada arwah Zara, ahli keluarganya, pihak sekolah mahupun  guru,” katanya.

Semalam, media melaporkan Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan kubur Allahyarham Zara Qairina digali semula untuk tujuan bedah siasat, atas keperluan meneruskan siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam satu kenyataan, AGC memaklumkan langkah itu diambil bagi memastikan semua aspek siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh dan adil kepada semua pihak yang terbabit.

Ketika ditanya sama ada bedah siasat tidak dilakukan terhadap jenazah Zara Qairina sebelum ini, Saifuddin enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, adalah lebih wajar untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka tanpa sebarang spekulasi.

“Saya tidak mahu membuat apa-apa andaian. Biarlah proses siasatan dijalankan terlebih dahulu dan kita akan maklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Kes kematian Zara Qairina sebelum ini mendapat perhatian meluas masyarakat dan menimbulkan pelbagai persoalan.

Proses ekskavasi semula kubur dijangka menjadi langkah penting dalam usaha pihak berkuasa mendapatkan kejelasan dan keadilan dalam kes ini.