31.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

Craig David bakal gegar ibu kota dengan konsert eksklusif “TS5: Live in Kuala Lumpur” November ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas lebih satu dekad meninggalkan pentas Malaysia, legenda muzik R&B dan UK Garage, Craig David, akhirnya kembali mengubat rindu peminat tempatan menerusi konsert eksklusif berjudul “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” yang bakal berlangsung pada 10 November 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Kehadiran Craig David ke Malaysia bukan sekadar satu persembahan nostalgia, malah membawa makna istimewa apabila ia turut bertepatan dengan pelancaran album studio ke-9 beliau yang berjudul Commitment, yang secara rasmi dilancarkan pada 8 Ogos 2025.

Album terbaharu itu digambarkan sebagai karya paling peribadi beliau setakat ini, mengangkat tema komitmen, pencarian diri, dan evolusi perjalanan seninya sepanjang lebih dua dekad dalam industri muzik antarabangsa.

Commitment turut menampilkan kolaborasi bersama nama-nama besar dunia seperti Tiwa Savage, JoJo dan Louisa Johnson, serta menonjolkan keseimbangan antara sentuhan klasik era Born To Do It dan bunyi moden yang segar dan relevan untuk generasi masa kini.

Konsert kali ini akan mengetengahkan konsep TS5, sebuah persembahan unik yang menggabungkan nyanyian secara langsung dengan elemen DJ set satu format yang menjadikan Craig David sebagai fenomena global sejak diperkenalkan pada tahun 2012.

Bermula sebagai siaran radio kecil dari apartmennya di Miami, TS5 kini telah berkembang menjadi jenama muzik yang gah, dan telah menjelajah ke pentas-pentas ternama dunia termasuk Ibiza, Dubai, Tokyo dan London.

Kini, buat julung kalinya, konsep berkenaan akan dipersembahkan secara eksklusif kepada peminat di Malaysia.

Malam penuh bertenaga itu bakal menyajikan rangkaian lagu-lagu ikonik yang telah menjadi runut bunyi kepada generasi peminat sejak awal milenium, antaranya Fill Me In, 7 Days, Walking Away, What’s Your Flava dan When The Bassline Drops, serta beberapa karya terbaharu dari album Commitment.

Craig David mula mencipta nama menerusi kolaborasinya bersama Artful Dodger dalam lagu Re-Rewind, sebelum melonjak ke persada antarabangsa dengan single solo sulungnya Fill Me In, menjadikannya artis solo lelaki termuda yang pernah menduduki tangga teratas carta muzik UK.

Album debut beliau Born To Do It yang diterbitkan pada tahun 2000 mencatat kejayaan luar biasa dengan jualan melebihi 7 juta unit di seluruh dunia dan telah dinobatkan oleh MTV serta The Guardian sebagai antara album terbaik sepanjang zaman.

Sehingga kini, Craig David telah menjual lebih 13 juta album, menerima pelbagai pengiktirafan berprestij termasuk 3 Ivor Novello Awards, 2 MTV Europe Music Awards, dan 14 pencalonan BRIT Awards.

Pada tahun 2021, beliau telah dikurniakan gelaran MBE oleh mendiang Ratu Elizabeth II sebagai penghormatan atas sumbangan besar beliau dalam bidang muzik dan kerja kebajikan.

Tiket bagi konsert “Craig David Presents TS5: Live in Kuala Lumpur” akan mula dijual dalam masa terdekat.

Peminat disaran untuk mengikuti pengumuman rasmi daripada pihak penganjur bagi mendapatkan maklumat terkini serta memastikan mereka tidak terlepas peluang menyaksikan persembahan yang dijangka menjadi antara konsert paling dinanti dan berprestij di Malaysia tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular