29.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, June 11, 2026
Home Blog Page 45

PAS minta BERSATU segera selesaikan kemelut dalaman demi kestabilan PN menjelang PRN Sabah

editormaxinfo@gmail.com

KOTA BHARU – PAS berharap kemelut dalaman yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dapat diselesaikan dengan segera bagi mengelakkan sebarang kesan negatif terhadap kestabilan dan kekuatan gabungan Perikatan Nasional (PN), khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata perkembangan yang berlaku dalam BERSATU sedikit sebanyak memberi impak kepada parti-parti komponen lain dalam PN termasuk PAS, memandangkan semua parti dalam gabungan itu saling berkait dan bergantung antara satu sama lain.

“Sebab kita duduk dalam PN. Apa yang berlaku dalam PAS atau BERSATU akan memberi kesan kepada semua.

“Kalau bagus, baguslah, kalau tidak bagus, maka kesannya juga tidak bagus. Itu kita tidak nafikan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Mohd Amar, PAS memilih untuk mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak mahu mengulas secara mendalam mengenai isu berkenaan kerana menganggap ia sebagai masalah dalaman yang sepatutnya diselesaikan secara tertutup dalam parti itu sendiri.

“Kita tidak tahu sejauh mana serius masalah itu, namun ia perlu diselesaikan dalam parti, bukan di luar umpama suami isteri bergaduh,” katanya.

Beliau berkata, dalam keadaan rakyat kini meletakkan harapan besar kepada PN sebagai gabungan pembangkang utama negara, semua parti di dalamnya perlu mengekalkan perpaduan dan kesepakatan yang kukuh bagi memastikan PN kekal kuat dan mampu bergerak dengan lebih tersusun menjelang pilihan raya.

“Dalam keadaan rakyat meletakkan harapan besar kepada PN, kita mesti pastikan kita kemas, tidak ada masalah dan boleh bergerak dengan padu,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan semua Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu telah sebulat suara bersetuju untuk menghentikan kemelut dalaman demi memperkukuh perpaduan dan kekuatan parti menjelang PRN Sabah.

Keputusan berkenaan dicapai dalam satu mesyuarat khas yang diadakan di ibu pejabat BERSATU baru-baru ini dan turut dihadiri hampir keseluruhan barisan kepimpinan tertinggi parti.

Dengan kenyataan terbaharu daripada pimpinan PAS itu, jelas menunjukkan keprihatinan parti Islam itu terhadap keharmonian dalam Perikatan Nasional, di samping menzahirkan komitmen bersama untuk memastikan gabungan itu terus utuh dalam menghadapi cabaran politik semasa.

‘Banduan’ hidupkan semula kejayaan filem India ‘Kaithi’ dalam nuansa tempatan penuh aksi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem aksi terbaharu yang dinanti-nantikan peminat tempatan, Banduan, bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 6 November ini.

Karya ini adalah adaptasi rasmi daripada filem pecah panggung India berjudul Kaithi (2019), namun diolah dengan sentuhan budaya dan citarasa tempatan yang segar.

Majlis tayangan perdana atau Malam Gala Banduan yang berlangsung malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran barisan pelakon ternama tanah air termasuk Dato’ Aaron Aziz, Dato’ Rosyam Nor, Dato’ Afdlin Shauki, Fadli Masoot, Adlin Aman Ramlie, Hushairi Husain, Amir Nafis, Esma Daniel, Abi Madyan, Hawra, Dayang Areeda, Joshua Michael, Zairi Abdul Aziz dan Meynillan.

Lebih istimewa, majlis turut diserikan dengan kehadiran Karthi Sivakumar, bintang utama versi asal Kaithi, yang diterbangkan khas ke Kuala Lumpur untuk meraikan pelancaran adaptasi Malaysia ini.

Filem Banduan mengisahkan Dali, seorang bekas banduan yang baru dibebaskan selepas sepuluh tahun menjalani hukuman penjara.

Hasratnya hanya satu iaitu bertemu semula dengan anak perempuannya yang tidak pernah dikenalinya.

Namun, perjalanan yang sepatutnya menjadi titik mula kehidupan baharu itu berubah apabila Dali terperangkap dalam misi berbahaya bersama Inspektor Johari untuk menyelamatkan sepasukan anggota polis yang diracun dan dijadikan tebusan oleh kumpulan samseng yang memburu dendam.

Walaupun berakar daripada jalan cerita asal Kaithi, versi Malaysia ini menampilkan latar yang lebih dekat di hati penonton tempatan.

Elemen budaya Malaysia disuntik dengan kemas dari hidangan ikonik seperti Nasi Dagang hingga ke penggunaan dialek dan lokasi penggambaran yang menonjolkan keunikan budaya tempatan.

Pendekatan ini menjadikan Banduan bukan sekadar adaptasi, tetapi satu penghormatan kepada keindahan identiti Malaysia.

Filem ini juga menandakan kemunculan semula Dato’ Aaron Aziz, yang dikenali sebagai Raja Aksi Malaysia.

Beliau sekali lagi membuktikan kredibiliti dan karisma luar biasa melalui babak pertarungan yang penuh tenaga dan realistik, sekaligus menambahkan daya tarikan kepada keseluruhan naskhah.

Banduan diarahkan oleh Kroll Azry dan diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures serta Astro Shaw yang bertindak sebagai rakan pemasaran dan pengedaran rasmi.

Filem ini bukan sahaja ditayangkan di Malaysia, tetapi turut menemui penonton di Kanada, Amerika Syarikat, Brunei dan Singapura secara serentak pada 6 November 2025.

Penerbit Eksekutif Filem Banduan, Kalyana Devan berkata, pemilihan Kaithi untuk diadaptasi dibuat kerana kekuatan jalan ceritanya yang bersifat universal dan menyentuh nilai kemanusiaan.

“Kami tertarik dengan tema kasih sayang, pengorbanan dan penebusan yang dibawa oleh filem asal.

“Dengan persamaan budaya antara penonton India dan Malaysia, kami yakin kisah ini sesuai untuk diterjemahkan ke dalam konteks tempatan.

Banduan bukan sekadar filem aksi, tetapi kisah yang mampu mengusik emosi penonton dan menjadi jambatan yang menghubungkan industri perfileman kedua-dua negara,” katanya.

Menariknya, sebelum tayangan rasminya, Banduan telah mengadakan tayangan eksklusif di Kompleks Penjara Kajang pada 23 Oktober lalu yang disaksikan oleh 80 penghuni penjara.

Program terbabit turut menampilkan sesi perkongsian bertajuk “Peluang Kedua, Masih Ada Sinar”, yang disampaikan oleh pelakon utama filem ini sebagai simbol harapan dan inspirasi kepada golongan penghuni.

Filem Banduan bakal menemui penonton di semua pawagam utama seluruh negara bermula 6 November 2025.

Nad Zainal kembali dengan drama ‘Bahagia Yang Tertangguh’ dalam Slot Megadrama Astro Ria

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setelah sekian lama menyepi daripada dunia lakonan akibat masalah kesihatan, pelakon berbakat besar Nad Zainal akhirnya kembali ke layar kaca dengan kemunculan terbaharunya menerusi drama bersiri Bahagia Yang Tertangguh, yang bakal menghiasi slot Megadrama di Astro Ria bermula 17 November ini.

Sejak September lalu, Nad mula menarik perhatian peminat apabila dilihat semakin aktif memuat naik gambar dan video di media sosial, menandakan dirinya sudah kembali sibuk di lokasi penggambaran.

Perkongsian itu mencetus keterujaan ramai yang rindu akan kelibatnya di kaca televisyen.

Menurut Nad, keputusan untuk menjadikan Bahagia Yang Tertangguh sebagai naskhah “comeback” bukan dibuat secara kebetulan.

Dia tertarik dengan kekuatan jalan cerita serta tema yang jarang diketengahkan dalam drama tempatan.

“Saya rindu untuk kembali berlakon dalam drama bersiri. Bila dapat tawaran ini, saya baca novelnya dan terus tertarik dengan jalan cerita isu ‘ipar toksik’ yang jarang disentuh dalam drama Malaysia,” katanya.

Nad turut berkongsi watak Nurin Hana, yang dibawanya dalam drama ini, memberikan cabaran tersendiri.

Nurin Hana digambarkan sebagai seorang wanita yang berdepan gangguan anxiety akibat tekanan hidup serta perlu membesarkan anaknya seorang diri.

“Saya mahu kaum wanita, terutama ibu tunggal, dapat merasai perjuangan Nurin Hana.

“Semoga mereka terus kuat walaupun berdepan pandangan serong masyarakat,” tambahnya penuh harapan.

Dalam menjayakan watak terbabit, Nad mengakui banyak membuat kajian dan persediaan rapi, termasuk menonton video, membaca artikel serta melatih ekspresi wajah dan gerak tubuh untuk menggambarkan serangan panik dengan lebih realistik.

Bagi memastikan hubungan ibu dan anak yang ditampilkan di layar kelihatan tulen, Nad turut berusaha membina keserasian dengan pelakon cilik Mateen, yang memegang watak Raiqal, anak kepada Nurin Hana.

“Alhamdulillah, Mateen sangat cemerlang dan banyak membantu saya menjayakan setiap babak bersama.

“Kami cepat serasi sejak hari pertama penggambaran,” kata Nad yang kini semakin pulih dan bersemangat untuk kembali aktif dalam industri seni.

Drama Bahagia Yang Tertangguh turut menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Kamal Adli, Izzue Islam, Rozita Che Wan, Datin Seri Nina Juren, Rosnah Johari, Riz Amin, Norreen Iman, Mimi Ernida, dan Adrean Mateen, menjanjikan lakonan mantap serta jalan cerita sarat emosi yang mampu menyentuh hati penonton.

Peminat dapat menyaksikan drama penuh emosi dan inspirasi ini di Astro Ria, menerusi slot Megadrama bermula 17 November 2025, serta turut boleh distrim secara dalam talian menerusi Astro GO dan On Demand.

HUAWEI lancar siri HUAWEI nova 14 dan FreeBuds 7i: Revolusi fotografi potret dan audio pintar generasi baharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HUAWEI Malaysia memperkenalkan siri telefon pintar terbaharunya, HUAWEI nova 14 Pro, HUAWEI nova 14, dan HUAWEI nova 14i, yang menggabungkan teknologi terkini dengan kecerdasan buatan (AI) berasaskan peranti dalam rekaan moden dan bergaya.

Dihasilkan untuk golongan muda yang berani dan kreatif, siri ini menampilkan keupayaan fotografi potret yang dipertingkat serta fungsi pintar yang membuka ruang baharu kepada ekspresi diri dan gaya hidup digital.

Pelancaran ini turut disertai oleh HUAWEI FreeBuds 7i, fon telinga True Wireless Stereo (TWS) terkini yang menawarkan kualiti audio profesional serta kawalan hingar pintar untuk pengalaman pendengaran yang lebih mendalam dan selesa.

Dilengkapi Intelligent Dynamic ANC 4.0 dan Unlimited Spatial Audio, FreeBuds 7i menyampaikan bunyi yang jelas dan seimbang, sesuai untuk digunakan semasa belajar, berulang-alik, mahupun berkarya di mana-mana sahaja.

Reka Bentuk Premium dengan Sentuhan Elegan

Siri HUAWEI nova 14 memperkenalkan All New Star Orbit Ring, simbol gaya yang menonjolkan keunikan dan personaliti pengguna. Model nova 14 Pro menampilkan skrin 6.78 inci Quad-Curved Display yang memberikan rasa mewah dan premium, manakala nova 14 hadir dengan rekaan 6.7 inci flat-edge yang ringkas tetapi moden.

Ketiga-tiga model ini ditawarkan dalam warna Crystal Blue, White dan Black, yang masing-masing menyerlahkan gaya segar dan dinamik.

Fotografi Potret Bertaraf Profesional

Dibangunkan untuk pencinta fotografi potret, HUAWEI nova 14 Pro dilengkapi kamera 50MP Ultra Portrait Autofocus dengan Ultra Chroma Sensor, yang mampu menangkap butiran hidup serta warna yang tepat dalam setiap situasi.

Sama ada potret di bawah cahaya matahari terbenam atau swafoto ketika waktu emas, setiap gambar kelihatan semula jadi, tajam dan penuh ekspresi.

Menggabungkan gaya, prestasi dan kepintaran teknologi, siri nova 14 dicipta untuk generasi baharu yang hidup berani, berkarya secara kreatif dan mengekspresikan diri mereka melalui setiap momen.

Pra-tempahan dan Tawaran Eksklusif

Pra-tempahan siri HUAWEI nova 14 bermula pada 3 November 2025, dengan harga dari RM1,299. Pelanggan boleh memilih antara tiga model nova 14 Pro, nova 14, dan nova 14i yang ditawarkan dalam empat warna menarik iaitu Crystal Blue, Pink, White, dan Black.

Pembeli awal akan menerima hadiah eksklusif bernilai sehingga RM298, termasuk HUAWEI Band 10, HUAWEI Scale 3, serta baucar RM100.

Pra-tempahan boleh dibuat di semua HUAWEI Experience Store seluruh negara, atau melalui laman web rasmi HUAWEI, HUAWEI Official Store di Shopee, HUAWEI Flagship Store di Lazada, dan HUAWEI Official TikTok Shop.

HUAWEI FreeBuds 7i: Audio Pintar dengan Reka Bentuk Elegan

Seiring dengan pelancaran siri nova 14, HUAWEI turut memperkenalkan FreeBuds 7i, fon telinga tanpa wayar baharu yang membawa inovasi audio ke tahap seterusnya.

Menggabungkan teknologi Intelligent Dynamic ANC 4.0 yang mampu membatalkan bunyi sehingga 55 dB, pengguna dapat menikmati muzik dan panggilan yang jelas tanpa gangguan, walaupun dalam suasana bising.

Dikuasakan oleh pemacu dinamik 11mm quad-magnet dengan sokongan audio resolusi tinggi dan pelarasan 10-band EQ, setiap nada dihasilkan dengan ketepatan dan keseimbangan optimum.

Gabungan AI-powered noise reduction dan mikrofon konduksi tulang pula memastikan panggilan kekal jelas dalam apa jua keadaan.

Fon telinga ini turut menawarkan jangka hayat bateri sehingga 35 jam, pengecasan pantas selama 10 minit untuk 4 jam penggunaan, serta sambungan dua peranti serentak bagi pengalaman penggunaan yang lancar.

HUAWEI FreeBuds 7i dijual pada harga RM329, dan ditawarkan dalam tiga warna inspirasi Morandi Pink, White, dan Black.

Setiap pembelian turut disertakan pelan perlindungan 1-Year Loss Care bernilai RM59 serta baucar Early Bird eksklusif dalam talian.

Pra-tempahan boleh dibuat melalui semua saluran rasmi HUAWEI termasuk Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

KLEPET, filem aksi komedi tampil tiga hero Malaya dan gadis misteri dari Ukraine

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebuah karya baharu penuh aksi, misteri dan komedi berjudul KLEPET bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 November 2025, menampilkan gabungan tiga pelakon muda popular tanah air iaitu Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar yang dikenali sebagai antara “Hero Malaya” generasi baharu.

Filem terbitan Wawa Global Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Indra Putra, atau lebih dikenali dengan nama Sanji, yang menjanjikan pengalaman menonton berbeza melalui gabungan elemen aksi komedi, misteri dan nilai persahabatan yang segar.

Menurut Indra, KLEPET mengisahkan pengembaraan tiga sahabat Paly, Jany dan Wady yang bermula dengan perjalanan santai menaiki motorhome, namun bertukar menjadi penuh kekacauan apabila kemunculan seorang gadis misteri dari Ukraine mengubah segalanya.

“Walaupun filem ini bersifat hiburan ringan, KLEPET mempunyai keunikan tersendiri dari segi penceritaan dan gaya visualnya.

“Ia menggabungkan komedi pelbagai lapisan, daripada elemen komikal dan animasi hinggalah kepada lawak spontan yang disesuaikan dengan jalan cerita,” katanya.

Katanya, kehadiran barisan pelakon ternama seperti Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, dan Adlin Aman Ramlie, serta pelakon kelahiran Ukraine, Darina Porhun, turut memperkukuh kualiti lakonan dan tarikan filem ini.

Sebagai penerbit, Aeril Zafrel berkata, KLEPET bukan sekadar filem aksi komedi biasa, sebaliknya membawa pendekatan visual dan penceritaan yang lebih moden serta dekat dengan jiwa penonton muda masa kini.

“Kami tidak mahu penonton hanya datang ke pawagam untuk ketawa. Filem ini juga menyampaikan mesej sosial yang relevan tentang pentingnya persahabatan, pengorbanan dan kepekaan terhadap persekitaran,” katanya.

Menurut Aeril, kisah dalam KLEPET menonjolkan semangat setiakawan antara tiga sahabat yang terperangkap dalam situasi luar jangka, apabila perjalanan mereka bertukar menjadi huru-hara disebabkan kemunculan gadis misteri bernama Lola, kemunculan kumpulan penjahat dan penemuan wang dalam jumlah besar yang mengubah segalanya.

“Nilai yang ingin kami sampaikan ialah bagaimana persahabatan sejati diuji dalam keadaan getir. Filem ini juga sesuai ditonton seisi keluarga kerana mengandungi mesej positif di sebalik elemen komedi dan aksi yang mencuit hati,” katanya.

Filem KLEPET menjalani penggambaran sepenuhnya di negeri Melaka selama 25 hari, dengan kos penerbitan mencecah RM2.6 juta.

Produksi ini turut mendapat bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai sokongan terhadap pembangunan industri filem tempatan.

“FINAS memainkan peranan penting dalam membantu kami menyiapkan filem ini sepenuhnya melalui pemberian dana pelengkap. Ia satu penghargaan besar kepada Wawa Global untuk terus menghasilkan karya berkualiti,” tambah Aeril.

Bagi peminat filem tempatan yang ingin menyaksikan aksi lucu dan penuh debar ini, tiket tayangan KLEPET kini boleh dibeli melalui laman sesawang rasmi www.tgv.com.my atau menerusi aplikasi TGV.

Sinopsis KLEPET

Tiga sahabat Paly, Jany dan Wady merancang percutian santai menaiki motorhome.

Namun segalanya berubah apabila seorang gadis misteri dari Ukraine, Lola, muncul dan mengheret mereka ke dalam siri kekacauan yang tidak dijangka.

Antara hitman, wang berkepuk dan rahsia yang terpendam, mampukah mereka bertiga ‘survive’ daripada trip paling huru-hara dalam hidup mereka?

Dengan gabungan elemen aksi, misteri dan humor spontan, KLEPET menjanjikan pengalaman sinematik yang segar, menghiburkan serta sarat dengan mesej persahabatan dan nilai kemanusiaan menjadikannya antara filem tempatan paling dinanti penghujung tahun ini.

UPSI juara Forum Piala Menteri Besar Perak 2025, angkat martabat Bahasa Melayu di peringkat kebangsaan

editormaxinfo@gmail.com

IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan keunggulannya sebagai universiti pendidikan terulung negara apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan 2025 bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, baru-baru ini.

Pasukan debat intelektual UPSI yang terdiri daripada Nuramiraasha Rashdan, Muhammad Faiz Md Fauzi, Muhammad Azri Asyraf Abu Seman, Muhammad Nur Ikhwan Abdul Kassim dan Nurul Syahera Zainudin, berjaya menampilkan persembahan berilmu dan berwibawa, sekaligus menewaskan pasukan lain dari seluruh negara.

Kelima-lima mereka adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Melayu dan ISMP Bahasa Arab dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI, yang berjaya menggabungkan kekuatan ilmu bahasa, kepetahan berhujah dan kematangan berfikir dalam forum bertemakan “Bahasa Melayu Pemangkin Generasi Madani”.

Kemenangan itu melayakkan UPSI membawa pulang cek cura bernilai RM4,000, piala kemenangan serta sijil penyertaan, yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Lebih membanggakan, pelajar UPSI Nuramiraasha Rashdan turut diumumkan sebagai Pengerusi Terbaik pertandingan, sekali gus melengkapkan kejayaan berganda universiti itu dalam acara berprestij peringkat kebangsaan terbabit.

Sementara itu, naib johan disandang oleh IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah, manakala IPG Kampus Rajang, Sarawak menduduki tempat ketiga.

Pertandingan anjuran bersama kerajaan negeri Perak dan IPG ini diadakan sebagai usaha memperkukuh peranan Bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, komunikasi dan perpaduan bangsa.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pencapaian itu melambangkan komitmen universiti dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berupaya menjadi duta bahasa dan budaya bangsa.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar UPSI bukan sekadar bijak berhujah, tetapi mampu berbicara dengan hikmah, berfikir secara kritis serta menyampaikan pandangan dengan adab dan budi bahasa. Ini adalah manifestasi pendidikan berteraskan ilmu dan nilai,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kemenangan terbabit sebagai bukti bahawa Bahasa Melayu terus relevan dan signifikan dalam dunia ilmu dan wacana ilmiah, selaras dengan visi UPSI untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad berkata, kejayaan itu adalah hasil dedikasi pelajar dan sokongan pensyarah yang sentiasa menekankan keseimbangan antara teori dan aplikasi praktikal bahasa.

“Kami di Fakulti Bahasa dan Komunikasi sentiasa menggalakkan pelajar untuk menerapkan ilmu dalam konteks sebenar seperti pertandingan forum ini.

“Ia bukan sahaja memperkukuh penguasaan bahasa, malah membina keyakinan diri, kemahiran kepimpinan dan kebolehan berfikir secara tajam serta beretika,” katanya.

Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak 2025 bukan sekadar pentas pertandingan, tetapi wadah penting untuk mengasah bakat kepimpinan dan kefasihan berbahasa dalam kalangan generasi muda.

Dengan kemenangan ini, UPSI sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bahasa dan komunikasi di Malaysia.

Rai 25 tahun kegemilangan, Juara Travel tawar pakej haji eksklusif, kad keistimewaan dan bonanza hadiah menanti pelanggan

editormaxinfo@gmail.com

BANGI – Syarikat pelancongan terkemuka negara, Juara Travel & Tours Sdn Bhd, meraikan kejayaan gemilang 25 tahun penubuhannya melalui Majlis Gemala Juara – Sambutan 25 Tahun & Apresiasi Alumni Haji, yang berlangsung penuh meriah, baru-baru ini.

Majlis berprestij dan meriah itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato’ Shaharuddin Abu Sohot dan turut dihadiri oleh tetamu kehormat, rakan strategik antarabangsa, serta pengurus cawangan Juara Travel dari seluruh negara.

Lebih 450 alumni haji diraikan dalam majlis penuh penghargaan ini sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan setia yang telah menunaikan ibadah haji bersama Juara Travel sejak tahun 2018.

Sejak menerima lesen rasmi sebagai Pengelola Jemaah Haji di bawah Tabung Haji, Juara Travel terus mengukuhkan kedudukannya dan kini telah dianugerahkan lesen pengelola bagi musim haji 2026, menandakan kepercayaan berterusan terhadap keupayaan syarikat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah Malaysia.

Dalam majlis yang sama, Juara Travel menandatangani perjanjian strategik bernilai RM30.9 juta bersama Saudi Airlines, menjadikan Juara Travel agensi pelancongan tempatan yang diberi kepercayaan penuh untuk menguruskan 10,000 tempat duduk penerbangan bagi pelanggan mereka.

Selain itu, dua lagi perjanjian penting dimeterai bersama rakan strategik di Tanah Suci Muassasah Matrafy dan Saraya Al Ansar International Company.

Kerjasama bersama Muassasah Matrafy akan memastikan kelancaran urusan penginapan di Mekah dan Madinah, termasuk logistik serta kebajikan jemaah, manakala kerjasama dengan Saraya Al Ansar International Company menjamin penyediaan penginapan bertaraf tinggi bagi jemaah haji dan umrah.

Inisiatif strategik ini mencerminkan komitmen Juara Travel terhadap slogannya, “Umrah Terbimbing, Kebajikan Terjamin”, yang menitikberatkan aspek keselesaan, keselamatan dan kebajikan jemaah di setiap peringkat perjalanan ibadah.

Sebagai pengelola jemaah haji berlesen Tabung Haji sejak tujuh tahun lalu, Juara Travel terus memperkukuh perkhidmatannya dengan menawarkan empat kategori utama pakej haji iaitu Ekonomi, Standard, Premium dan Premium Plus, dengan harga bermula daripada RM47,890 hingga RM125,000.

Setiap pakej dirancang bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan jemaah, termasuk penginapan dalam radius 500 meter dari Masjid Al-Haram, hidangan tiga kali sehari, kemudahan tren laju Madinah-Mekah, serta khidmat pengiring profesional.

Sejak tahun 2018, Juara Travel telah menguruskan lebih 1,200 jemaah haji dan 148,000 jemaah umrah, mencerminkan rekod cemerlang dalam industri ibadah tanah suci.

Pengarah Urusan Juara Travel & Tours, Hajah Rosnah Wagino berkata, kejayaan ini hasil kepercayaan pelanggan dan kesungguhan pasukan yang komited terhadap kualiti perkhidmatan.

“Selama 25 tahun, Juara Travel kekal sebagai peneraju industri umrah, haji dan pelancongan berpaksikan kepercayaan pelanggan serta komitmen terhadap kecemerlangan.

“Kami akan terus memperluas rangkaian antarabangsa dan memastikan setiap pelanggan menikmati pengalaman perjalanan yang berkualiti, selesa dan diyakini,” katanya.

Sempena sambutan ini, Juara Travel turut melancarkan pakej pelancongan eksklusif dan promosi istimewa, termasuk:

-Pakej Pelancongan Turki bermula RM4,790 (harga asal RM4,990)

-Pakej Umrah Musim Baru 1448H bermula RM4,990 (harga asal RM5,290)

Promosi ini hanya ditawarkan kepada 250 pelanggan terawal, sebagai penghargaan sempena ulang tahun ke-25 syarikat.

Dalam usaha menghargai kesetiaan pelanggan, Juara Travel juga memperkenalkan Kad Touch ‘n Go Loyalty Programme, yang menawarkan pelbagai diskaun, ganjaran dan keistimewaan eksklusif kepada jemaah haji, umrah dan pelanggan pelancongan.

Kemuncak sambutan acara ialah pelancaran Kempen “25 Tahun Kekal Juara Bonanza”, yang diumumkan sendiri oleh Hajah Rosnah.

Kempen ini menawarkan pelbagai hadiah menarik sepanjang tempoh November 2025 hingga November 2026, termasuk dua buah kereta Perodua Axia, 10 pakej umrah percuma, 5 pakej percutian ke Turki, serta dua motosikal Honda Wave.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa kumpulan nasyid popular, UNIC, yang menghiburkan tetamu menerusi lagu-lagu bertemakan ketenangan dan kesyukuran, sekaligus menambah seri acara penuh bermakna itu.

Sambutan 25 tahun Juara Travel bukan sahaja meraikan kejayaan syarikat dalam industri pelancongan dan ibadah tanah suci, tetapi juga menandakan permulaan baharu dalam memperkukuh kedudukan jenama ini sebagai peneraju pelancongan Islam terkemuka di Malaysia dan rantau ini.

“Kami akan terus berpegang pada visi untuk menjadi pilihan utama umat Islam bagi perjalanan haji, umrah dan pelancongan, dengan menjadikan Juara Travel sebagai simbol kepercayaan dan kecemerlangan. Juara Travel, kekal juara,” kata Rosnah lagi.

Malaysia sasar jadi peneraju serantau dalam pembangunan Rare Earth dan Thorium – MOSTI

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Malaysia berpotensi muncul sebagai peneraju serantau dalam bidang penerokaan dan pembangunan sumber nadir bumi (Rare Earth Elements, REE) serta thorium, menerusi pendekatan berasaskan sains, kelestarian dan strategi jangka panjang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata permintaan global terhadap elemen nadir bumi semakin meningkat, khususnya dalam sektor kenderaan elektrik, turbin angin dan elektronik berteknologi tinggi.

Menurutnya, Pasaran global REE dianggarkan bernilai antara USD3.9 hingga USD13 bilion pada tahun 2024 dan dijangka meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2030.

“Di peringkat global, China kini menguasai hampir 70 peratus kapasiti pemprosesan bahan nadir bumi, sekali gus mewujudkan kebergantungan tinggi terhadap negara terbabit.

“Bagi Malaysia, ini bukan sekadar cabaran, tetapi peluang untuk muncul sebagai rakan serantau yang diyakini dan mampan dalam ekosistem bahan kritikal,” katanya ketika berucap pada Seminar on Exploration, Thorium and Rare Earth (XThREE) 2025, yang dianjurkan oleh Malaysian Association of Research Scientists (MARS) dengan kerjasama Thorium Project Management Office (ThX).

Chang berkata, Malaysia tidak bermula dari sifar dalam bidang ini. Negara memiliki sumber REE dan thorium yang signifikan, terutamanya dalam bentuk ion-adsorption clay deposits yang mempunyai kadar radioaktiviti rendah dan lebih mudah diurus dari segi alam sekitar.

Kajian awal di bawah Rancangan Malaysia sebelum ini menunjukkan terdapat anggaran sumber REE sebanyak 16.1 juta tan metrik, dengan nilai in-situ melebihi RM809 bilion.

Antara negeri yang dikenal pasti mempunyai potensi deposit REE termasuk Perak, Kedah, Terengganu dan Sarawak, yang masing-masing memiliki ciri geologi tersendiri untuk pembangunan REE jenis ringan dan berat.

Katanya lagi, kekuatan sebenar Malaysia terletak pada keupayaan saintifik dan tadbir urus institusi yang kukuh.

Melalui agensi seperti Nuklear Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), negara sudah memiliki asas teknikal dan perundangan untuk memastikan pembangunan REE dan thorium dijalankan secara selamat, beretika dan mampan.

Malaysia juga antara segelintir negara membangun yang mempunyai peraturan keselamatan nuklear dan radiasi yang komprehensif di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 [Akta 304], sejajar dengan piawaian antarabangsa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi Elemen Nadir Bumi (Rare Earth Elements Special Task Force) yang membabitkan pelbagai kementerian termasuk MOSTI, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan (MOF), bersama kerajaan negeri.

“Pendekatan menyeluruh ini memastikan setiap peringkat daripada penerokaan, pemprosesan hingga aplikasi hiliran dilaksanakan dengan penuh ketelusan, tanggungjawab dan manfaat bersama untuk rakyat dan negara,” katanya.

Dalam kerangka ini, MOSTI berperanan sebagai enjin sains dan teknologi yang memacu sektor bahan kritikal negara.

Melalui National Advanced Materials Technology Roadmap, MOSTI bekerjasama rapat dengan akademia, institusi penyelidikan dan industri bagi mempercepatkan lokalisasi teknologi, pemprosesan nilai tambah, serta pengukuhan hubungan penyelidikan dan industri.

Di bawah inisiatif seperti Strategic Research Fund, National Advanced Materials Council dan program Moonshot REE, MOSTI turut menyokong penyelidikan berimpak tinggi dalam teknologi pengekstrakan hijau, kitar semula magnet nadir bumi, serta proses pengasingan lanjutan.

Selain itu, kementerian kini mengintegrasikan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan sistem pemantauan digital bagi memastikan operasi lebih telus dan menepati piawaian Environmental, Social and Governance (ESG).

“Perlumbaan global terhadap bahan kritikal bukan hanya soal keuntungan ekonomi, tetapi juga tentang ketahanan strategik dan kedaulatan teknologi.

“Malaysia mesti melabur bukan sahaja dalam mineral, tetapi juga dalam ilmu, inovasi dan rakyatnya,” katanya lagi.

Chang turut menyeru agar semua pihak kerajaan, akademik dan industri memperkukuh kerjasama untuk memastikan pembangunan REE dan thorium dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berpandangan jauh, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MARS, ThX Project dan semua rakan penganjur atas usaha menganjurkan platform strategik ini yang disifatkan sebagai permulaan era baharu dalam pembangunan bahan kritikal negara.

Lancar single “Terpatri Cinta”, luahan jiwa Zara Zya tentang keikhlasan dan cinta suci

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Nama pelakon dan penyanyi Zara Zya kembali menyerikan industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Terpatri Cinta”.

Lagu ini adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh Wanns Ahmad, komposer dan penulis lirik terkenal yang sinonim dengan karya beremosi dan bernuansa mendalam.

“Terpatri Cinta” menampilkan sisi lembut dan matang Zara Zya dengan gabungan elemen romantik serta sentuhan Islamik yang menyentuh jiwa.

Bukan sekadar kisah cinta biasa, karya ini membawa mesej mendalam tentang kasih yang berpaksikan keikhlasan dan reda Ilahi menjadikan lagu ini lebih daripada sekadar ungkapan cinta, tetapi sebuah perjalanan spiritual.

“Pertama kali saya membaca lirik dan mendengar melodi Terpatri Cinta, saya terus tertarik.

“Lagu ini ada jiwa yang lembut, tapi mesejnya bukan sekadar mengenai kasih antara dua insan ia tentang cinta yang berpaksikan keikhlasan dan reda Allah,” kata Zara.

Menurut Zara, beberapa bait dalam lagu ini begitu dekat dengan pengalaman peribadinya sebagai seorang wanita dan insan seni.

Dia mengakui bahawa karya ini mencerminkan perjalanan hatinya dalam memahami erti cinta yang sebenar.

“Ada bahagian dalam lagu ini yang memang dekat dengan pengalaman saya. Ia bukan semata-mata kisah cinta, tapi lebih kepada perjalanan hati bagaimana cinta itu boleh menjadi doa,” katanya.

Dari segi mesej, “Terpatri Cinta” mengajak pendengar untuk menilai cinta dari sudut yang lebih suci bukan hanya penyatuan dua hati, tetapi dua jiwa yang sama-sama berusaha menuju syurga.

Zara menegaskan bahawa cinta yang sebenar adalah cinta yang disucikan dengan niat yang betul.

“Cinta yang paling indah ialah cinta yang halal dan diberkati. Terpatri Cinta membawa mesej bahawa kasih yang diberkati Allah bukan sekadar penyatuan dua hati, tetapi dua jiwa yang menuju syurga bersama,” katanya.

Dalam aspek produksi, Zara memilih lagu ini kerana merasakan keunikannya yang sederhana namun sarat emosi.

“Keunikan lagu ini terletak pada kesederhanaannya. Ia tidak berlebihan, tetapi penuh dengan rasa,” katanya.

Sepanjang proses rakaman yang berlangsung hampir sebulan, kerjasama antara Zara dan Wanns Ahmad berjalan dengan lancar.

Zara turut memuji komposer kerana memahami jiwanya sebagai penyanyi yang lebih menekankan ekspresi berbanding teknik semata-mata.

“Wanns sangat memahami saya. Dia bukan sahaja fokus kepada teknik nyanyian, tetapi juga kepada emosi.

“Saya bukan penyanyi profesional, tapi proses rakaman ini berjalan dengan mudah dan menyenangkan,” katanya.

Walaupun begitu, Zara mengakui cabaran terbesar dalam penghasilan lagu ini adalah mengawal emosi agar setiap bait lirik disampaikan dengan rasa yang tulus.

“Ada beberapa bahagian lagu yang terlalu dekat dengan hati saya, sampai suara pun bergetar. Saya juga sering berasa tidak yakin dengan kemampuan diri sendiri,” katanya.

Menariknya, “Terpatri Cinta” turut dilengkapi dengan muzik video rasmi berkonsep minimalis yang memberi tumpuan kepada ekspresi dan emosi, bukannya visual yang berlebihan.

Zara turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Alha Alfa atas tajaan muzik video berkenaan.

“Konsep muzik video ini lebih minimalis, fokus pada rasa dan ekspresi, bukan semata-mata pada visual. Terima kasih kepada Datuk Alha Alfa yang sudi menaja muzik video Terpatri Cinta,” katanya.

Apabila diminta menggambarkan lagu ini dalam satu perkataan, Zara dengan tenang menjawab,

“Abadi cinta yang abadi kerana Allah.”

Menutup bicara, Zara menzahirkan harapan agar “Terpatri Cinta” dapat diterima oleh pendengar dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang.

“Saya berharap lagu ini dapat menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya. Jika ada yang berasa tenang, terubat atau tersenyum selepas mendengarnya, itu sudah cukup bermakna bagi saya.

Terpatri Cinta bukan sekadar lagu, tetapi doa kecil tentang cinta abadi,” katanya penuh harapan.

Lagu “Terpatri Cinta” telah dilancarkan bersempena ulang tahun kelahiran Zara pada 22 Oktober lalu dan kini boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik utama.

Muzik video rasmi juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music melalui pautan: https://youtu.be/4yn0FbkulsQ.