33.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, November 9, 2025

Nad Zainal kembali dengan drama ‘Bahagia Yang Tertangguh’ dalam Slot Megadrama Astro Ria

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setelah sekian lama menyepi daripada dunia lakonan akibat masalah kesihatan, pelakon berbakat besar Nad Zainal akhirnya kembali ke layar kaca dengan kemunculan terbaharunya menerusi drama bersiri Bahagia Yang Tertangguh, yang bakal menghiasi slot Megadrama di Astro Ria bermula 17 November ini.

Sejak September lalu, Nad mula menarik perhatian peminat apabila dilihat semakin aktif memuat naik gambar dan video di media sosial, menandakan dirinya sudah kembali sibuk di lokasi penggambaran.

Perkongsian itu mencetus keterujaan ramai yang rindu akan kelibatnya di kaca televisyen.

Menurut Nad, keputusan untuk menjadikan Bahagia Yang Tertangguh sebagai naskhah “comeback” bukan dibuat secara kebetulan.

Dia tertarik dengan kekuatan jalan cerita serta tema yang jarang diketengahkan dalam drama tempatan.

“Saya rindu untuk kembali berlakon dalam drama bersiri. Bila dapat tawaran ini, saya baca novelnya dan terus tertarik dengan jalan cerita isu ‘ipar toksik’ yang jarang disentuh dalam drama Malaysia,” katanya.

Nad turut berkongsi watak Nurin Hana, yang dibawanya dalam drama ini, memberikan cabaran tersendiri.

Nurin Hana digambarkan sebagai seorang wanita yang berdepan gangguan anxiety akibat tekanan hidup serta perlu membesarkan anaknya seorang diri.

“Saya mahu kaum wanita, terutama ibu tunggal, dapat merasai perjuangan Nurin Hana.

“Semoga mereka terus kuat walaupun berdepan pandangan serong masyarakat,” tambahnya penuh harapan.

Dalam menjayakan watak terbabit, Nad mengakui banyak membuat kajian dan persediaan rapi, termasuk menonton video, membaca artikel serta melatih ekspresi wajah dan gerak tubuh untuk menggambarkan serangan panik dengan lebih realistik.

Bagi memastikan hubungan ibu dan anak yang ditampilkan di layar kelihatan tulen, Nad turut berusaha membina keserasian dengan pelakon cilik Mateen, yang memegang watak Raiqal, anak kepada Nurin Hana.

“Alhamdulillah, Mateen sangat cemerlang dan banyak membantu saya menjayakan setiap babak bersama.

“Kami cepat serasi sejak hari pertama penggambaran,” kata Nad yang kini semakin pulih dan bersemangat untuk kembali aktif dalam industri seni.

Drama Bahagia Yang Tertangguh turut menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Kamal Adli, Izzue Islam, Rozita Che Wan, Datin Seri Nina Juren, Rosnah Johari, Riz Amin, Norreen Iman, Mimi Ernida, dan Adrean Mateen, menjanjikan lakonan mantap serta jalan cerita sarat emosi yang mampu menyentuh hati penonton.

Peminat dapat menyaksikan drama penuh emosi dan inspirasi ini di Astro Ria, menerusi slot Megadrama bermula 17 November 2025, serta turut boleh distrim secara dalam talian menerusi Astro GO dan On Demand.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular