22.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, November 19, 2025

Malaysia sasar jadi peneraju serantau dalam pembangunan Rare Earth dan Thorium – MOSTI

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Malaysia berpotensi muncul sebagai peneraju serantau dalam bidang penerokaan dan pembangunan sumber nadir bumi (Rare Earth Elements, REE) serta thorium, menerusi pendekatan berasaskan sains, kelestarian dan strategi jangka panjang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata permintaan global terhadap elemen nadir bumi semakin meningkat, khususnya dalam sektor kenderaan elektrik, turbin angin dan elektronik berteknologi tinggi.

Menurutnya, Pasaran global REE dianggarkan bernilai antara USD3.9 hingga USD13 bilion pada tahun 2024 dan dijangka meningkat lebih dua kali ganda menjelang 2030.

“Di peringkat global, China kini menguasai hampir 70 peratus kapasiti pemprosesan bahan nadir bumi, sekali gus mewujudkan kebergantungan tinggi terhadap negara terbabit.

“Bagi Malaysia, ini bukan sekadar cabaran, tetapi peluang untuk muncul sebagai rakan serantau yang diyakini dan mampan dalam ekosistem bahan kritikal,” katanya ketika berucap pada Seminar on Exploration, Thorium and Rare Earth (XThREE) 2025, yang dianjurkan oleh Malaysian Association of Research Scientists (MARS) dengan kerjasama Thorium Project Management Office (ThX).

Chang berkata, Malaysia tidak bermula dari sifar dalam bidang ini. Negara memiliki sumber REE dan thorium yang signifikan, terutamanya dalam bentuk ion-adsorption clay deposits yang mempunyai kadar radioaktiviti rendah dan lebih mudah diurus dari segi alam sekitar.

Kajian awal di bawah Rancangan Malaysia sebelum ini menunjukkan terdapat anggaran sumber REE sebanyak 16.1 juta tan metrik, dengan nilai in-situ melebihi RM809 bilion.

Antara negeri yang dikenal pasti mempunyai potensi deposit REE termasuk Perak, Kedah, Terengganu dan Sarawak, yang masing-masing memiliki ciri geologi tersendiri untuk pembangunan REE jenis ringan dan berat.

Katanya lagi, kekuatan sebenar Malaysia terletak pada keupayaan saintifik dan tadbir urus institusi yang kukuh.

Melalui agensi seperti Nuklear Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), negara sudah memiliki asas teknikal dan perundangan untuk memastikan pembangunan REE dan thorium dijalankan secara selamat, beretika dan mampan.

Malaysia juga antara segelintir negara membangun yang mempunyai peraturan keselamatan nuklear dan radiasi yang komprehensif di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 [Akta 304], sejajar dengan piawaian antarabangsa Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Bagi memperkukuh penyelarasan dasar dan pelaksanaan, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi Elemen Nadir Bumi (Rare Earth Elements Special Task Force) yang membabitkan pelbagai kementerian termasuk MOSTI, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Kewangan (MOF), bersama kerajaan negeri.

“Pendekatan menyeluruh ini memastikan setiap peringkat daripada penerokaan, pemprosesan hingga aplikasi hiliran dilaksanakan dengan penuh ketelusan, tanggungjawab dan manfaat bersama untuk rakyat dan negara,” katanya.

Dalam kerangka ini, MOSTI berperanan sebagai enjin sains dan teknologi yang memacu sektor bahan kritikal negara.

Melalui National Advanced Materials Technology Roadmap, MOSTI bekerjasama rapat dengan akademia, institusi penyelidikan dan industri bagi mempercepatkan lokalisasi teknologi, pemprosesan nilai tambah, serta pengukuhan hubungan penyelidikan dan industri.

Di bawah inisiatif seperti Strategic Research Fund, National Advanced Materials Council dan program Moonshot REE, MOSTI turut menyokong penyelidikan berimpak tinggi dalam teknologi pengekstrakan hijau, kitar semula magnet nadir bumi, serta proses pengasingan lanjutan.

Selain itu, kementerian kini mengintegrasikan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain dan sistem pemantauan digital bagi memastikan operasi lebih telus dan menepati piawaian Environmental, Social and Governance (ESG).

“Perlumbaan global terhadap bahan kritikal bukan hanya soal keuntungan ekonomi, tetapi juga tentang ketahanan strategik dan kedaulatan teknologi.

“Malaysia mesti melabur bukan sahaja dalam mineral, tetapi juga dalam ilmu, inovasi dan rakyatnya,” katanya lagi.

Chang turut menyeru agar semua pihak kerajaan, akademik dan industri memperkukuh kerjasama untuk memastikan pembangunan REE dan thorium dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berpandangan jauh, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MARS, ThX Project dan semua rakan penganjur atas usaha menganjurkan platform strategik ini yang disifatkan sebagai permulaan era baharu dalam pembangunan bahan kritikal negara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular