editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Sebuah karya baharu penuh aksi, misteri dan komedi berjudul KLEPET bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 27 November 2025, menampilkan gabungan tiga pelakon muda popular tanah air iaitu Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir Nasar yang dikenali sebagai antara “Hero Malaya” generasi baharu.
Filem terbitan Wawa Global Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh Indra Putra, atau lebih dikenali dengan nama Sanji, yang menjanjikan pengalaman menonton berbeza melalui gabungan elemen aksi komedi, misteri dan nilai persahabatan yang segar.
Menurut Indra, KLEPET mengisahkan pengembaraan tiga sahabat Paly, Jany dan Wady yang bermula dengan perjalanan santai menaiki motorhome, namun bertukar menjadi penuh kekacauan apabila kemunculan seorang gadis misteri dari Ukraine mengubah segalanya.
“Walaupun filem ini bersifat hiburan ringan, KLEPET mempunyai keunikan tersendiri dari segi penceritaan dan gaya visualnya.
“Ia menggabungkan komedi pelbagai lapisan, daripada elemen komikal dan animasi hinggalah kepada lawak spontan yang disesuaikan dengan jalan cerita,” katanya.

Katanya, kehadiran barisan pelakon ternama seperti Aeril Zafrel, Joey Daud, Eric Fuzi, Namie SMY, dan Adlin Aman Ramlie, serta pelakon kelahiran Ukraine, Darina Porhun, turut memperkukuh kualiti lakonan dan tarikan filem ini.
Sebagai penerbit, Aeril Zafrel berkata, KLEPET bukan sekadar filem aksi komedi biasa, sebaliknya membawa pendekatan visual dan penceritaan yang lebih moden serta dekat dengan jiwa penonton muda masa kini.
“Kami tidak mahu penonton hanya datang ke pawagam untuk ketawa. Filem ini juga menyampaikan mesej sosial yang relevan tentang pentingnya persahabatan, pengorbanan dan kepekaan terhadap persekitaran,” katanya.

Menurut Aeril, kisah dalam KLEPET menonjolkan semangat setiakawan antara tiga sahabat yang terperangkap dalam situasi luar jangka, apabila perjalanan mereka bertukar menjadi huru-hara disebabkan kemunculan gadis misteri bernama Lola, kemunculan kumpulan penjahat dan penemuan wang dalam jumlah besar yang mengubah segalanya.
“Nilai yang ingin kami sampaikan ialah bagaimana persahabatan sejati diuji dalam keadaan getir. Filem ini juga sesuai ditonton seisi keluarga kerana mengandungi mesej positif di sebalik elemen komedi dan aksi yang mencuit hati,” katanya.
Filem KLEPET menjalani penggambaran sepenuhnya di negeri Melaka selama 25 hari, dengan kos penerbitan mencecah RM2.6 juta.
Produksi ini turut mendapat bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai sokongan terhadap pembangunan industri filem tempatan.

“FINAS memainkan peranan penting dalam membantu kami menyiapkan filem ini sepenuhnya melalui pemberian dana pelengkap. Ia satu penghargaan besar kepada Wawa Global untuk terus menghasilkan karya berkualiti,” tambah Aeril.
Bagi peminat filem tempatan yang ingin menyaksikan aksi lucu dan penuh debar ini, tiket tayangan KLEPET kini boleh dibeli melalui laman sesawang rasmi www.tgv.com.my atau menerusi aplikasi TGV.
Sinopsis KLEPET

Tiga sahabat Paly, Jany dan Wady merancang percutian santai menaiki motorhome.
Namun segalanya berubah apabila seorang gadis misteri dari Ukraine, Lola, muncul dan mengheret mereka ke dalam siri kekacauan yang tidak dijangka.
Antara hitman, wang berkepuk dan rahsia yang terpendam, mampukah mereka bertiga ‘survive’ daripada trip paling huru-hara dalam hidup mereka?
Dengan gabungan elemen aksi, misteri dan humor spontan, KLEPET menjanjikan pengalaman sinematik yang segar, menghiburkan serta sarat dengan mesej persahabatan dan nilai kemanusiaan menjadikannya antara filem tempatan paling dinanti penghujung tahun ini.


