editormaxinfo@gmail.com
IPOH – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi membuktikan keunggulannya sebagai universiti pendidikan terulung negara apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan 2025 bagi kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh, baru-baru ini.
Pasukan debat intelektual UPSI yang terdiri daripada Nuramiraasha Rashdan, Muhammad Faiz Md Fauzi, Muhammad Azri Asyraf Abu Seman, Muhammad Nur Ikhwan Abdul Kassim dan Nurul Syahera Zainudin, berjaya menampilkan persembahan berilmu dan berwibawa, sekaligus menewaskan pasukan lain dari seluruh negara.
Kelima-lima mereka adalah pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Bahasa Melayu dan ISMP Bahasa Arab dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), UPSI, yang berjaya menggabungkan kekuatan ilmu bahasa, kepetahan berhujah dan kematangan berfikir dalam forum bertemakan “Bahasa Melayu Pemangkin Generasi Madani”.
Kemenangan itu melayakkan UPSI membawa pulang cek cura bernilai RM4,000, piala kemenangan serta sijil penyertaan, yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Lebih membanggakan, pelajar UPSI Nuramiraasha Rashdan turut diumumkan sebagai Pengerusi Terbaik pertandingan, sekali gus melengkapkan kejayaan berganda universiti itu dalam acara berprestij peringkat kebangsaan terbabit.
Sementara itu, naib johan disandang oleh IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah, manakala IPG Kampus Rajang, Sarawak menduduki tempat ketiga.
Pertandingan anjuran bersama kerajaan negeri Perak dan IPG ini diadakan sebagai usaha memperkukuh peranan Bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, komunikasi dan perpaduan bangsa.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pencapaian itu melambangkan komitmen universiti dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah berupaya menjadi duta bahasa dan budaya bangsa.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar UPSI bukan sekadar bijak berhujah, tetapi mampu berbicara dengan hikmah, berfikir secara kritis serta menyampaikan pandangan dengan adab dan budi bahasa. Ini adalah manifestasi pendidikan berteraskan ilmu dan nilai,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kemenangan terbabit sebagai bukti bahawa Bahasa Melayu terus relevan dan signifikan dalam dunia ilmu dan wacana ilmiah, selaras dengan visi UPSI untuk mengangkat martabat bahasa kebangsaan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sementara itu, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Profesor Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad berkata, kejayaan itu adalah hasil dedikasi pelajar dan sokongan pensyarah yang sentiasa menekankan keseimbangan antara teori dan aplikasi praktikal bahasa.
“Kami di Fakulti Bahasa dan Komunikasi sentiasa menggalakkan pelajar untuk menerapkan ilmu dalam konteks sebenar seperti pertandingan forum ini.
“Ia bukan sahaja memperkukuh penguasaan bahasa, malah membina keyakinan diri, kemahiran kepimpinan dan kebolehan berfikir secara tajam serta beretika,” katanya.
Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak 2025 bukan sekadar pentas pertandingan, tetapi wadah penting untuk mengasah bakat kepimpinan dan kefasihan berbahasa dalam kalangan generasi muda.
Dengan kemenangan ini, UPSI sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bahasa dan komunikasi di Malaysia.

