KUALA LUMPUR – Sempena ketibaan Aidilfitri 2026, Suria FM dengan kerjasama Toyota tampil menceriakan suasana perayaan dengan pelancaran lagu dan muzik video (MV) raya terbaharu berjudul “Gurindam Aidilfitri”.
Lagu ini menampilkan gandingan istimewa barisan penyampai popular Suria FM iaitu Fad, Ajak, Elly, Cik Piah, Chiwan, Kai, Irsyad dan DJ Lin, sekali gus menambahkan daya tarikan kepada karya berunsurkan perayaan ini.
Dilancarkan secara rasmi pada 9 Mac 2026, “Gurindam Aidilfitri” mengetengahkan gabungan elemen muzik moden dan tradisional yang segar, namun tetap mengekalkan nilai nostalgia yang sinonim dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Lagu ini diterbitkan oleh Lsandbeats Legacy, dengan komposisi hasil sentuhan Luca Sickta dan Nazif Analog, manakala liriknya pula ditulis oleh Luca Sickta, Nazif Analog serta B-Heart.
Muzik video “Gurindam Aidilfitri” turut membawa penonton menyelami momen-momen klasik Aidilfitri seperti tradisi memohon kemaafan, aktiviti kunjung-mengunjung, serta kemeriahan berkongsi juadah bersama keluarga dan sahabat handai.
Paparan ini bukan sahaja membangkitkan rasa nostalgia, malah menekankan kepentingan nilai kekeluargaan, semangat kebersamaan dan keindahan memaafkan dalam kehidupan bermasyarakat.
Menariknya, muzik video ini turut menampilkan beberapa model kenderaan Toyota yang disepadukan secara kreatif dalam penceritaan visual.
Elemen ini bukan sekadar menambah keceriaan, malah menyampaikan mesej penting mengenai perjalanan pulang ke kampung halaman yang selamat dan selesa bersama insan tersayang, sejajar dengan semangat perayaan yang dinanti-nantikan setiap tahun.
Dalam usaha memeriahkan lagi pelancaran ini, Suria FM turut memperkenalkan “Gurindam Aidilfitri Dance Challenge” yang menawarkan peluang kepada orang ramai untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga RM3,000.
Peserta hanya perlu mengikuti langkah tarian rasmi yang dipaparkan dalam muzik video berkenaan.
Cabaran ini juga digalakkan disertai secara berkumpulan bersama keluarga dan rakan-rakan, bertepatan dengan konsep “lagi ramai, lagi meriah” yang diketengahkan.
Orang ramai boleh menonton muzik video penuh “Gurindam Aidilfitri” menerusi saluran YouTube rasmi Suria FM, Suria Malaysia, selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai cabaran tarian ini melalui platform media sosial rasmi stesen radio berkenaan.
Melalui pelancaran ini, Suria FM berharap “Gurindam Aidilfitri” mampu menjadi antara lagu raya yang menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini, di samping mengajak masyarakat meraikan Syawal dengan penuh kegembiraan, semangat kemaafan serta hubungan silaturrahim yang lebih erat.
KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan bakal menyaksikan kemunculan sebuah karya aksi epik yang dinanti-nantikan apabila filem Tarung: Unforgiven dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026.
Filem terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw ini diarahkan oleh pengarah terkenal Razaisyam Rashid yang dikenali dengan gaya visual serta sinematografi yang memukau.
Pengumuman rasmi barisan pelakon utama filem ini telah berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), sekali gus menandakan permulaan perjalanan promosi menuju tayangan rasmi.
Majlis turut menyaksikan pelancaran video eksklusif berdurasi satu minit yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara sebagai pembuka selera kepada penonton.
Tarung: Unforgiven tampil dengan kekuatan barisan pelakon berprofil tinggi yang terdiri daripada Bront Palarae, Zul Ariffin, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel serta Theebaan G.
Gabungan pelakon ini dijangka memberikan impak besar menerusi persembahan yang penuh intensiti dan emosi.
Menurut Razaisyam Rashid, filem ini mengetengahkan konsep ‘ensemble cast’ yang membawa lapisan emosi berbeza dalam setiap watak, sekali gus memperkukuhkan konflik penceritaan.
Katanya, tema utama filem ini bersifat sangat peribadi, iaitu “you versus you”, yang menggambarkan pertarungan dalaman manusia melawan kelemahan, ego dan ketakutan sendiri.
“Pendekatan ini diharap dapat meninggalkan kesan mendalam kepada penonton selepas keluar dari pawagam.
“Dari sudut produksi, Tarung: Unforgiven adalah antara projek terbesar yang pernah dihasilkan saya hasilkan,” katanya.
Namun begitu, Razaisyam turut membawa pendekatan baharu yang berbeza daripada karya terdahulu, membabitkan gaya visual, koreografi aksi serta teknik penceritaan yang lebih segar, sekali gus mencerminkan evolusi dalam perjalanan seninya sebagai pembikin filem.
Menariknya, filem ini juga menandakan langkah baharu buat Aedy Ashraf yang bukan sahaja tampil sebagai pelakon utama, malah memegang peranan sebagai penerbit eksekutif dan penerbit.
Beliau menyifatkan projek ini sebagai titik perubahan penting dalam kerjayanya, khususnya dalam usaha memperkukuh penglibatan dalam aspek pembangunan dan hala tuju kreatif filem menerusi syarikat produksinya sendiri, Alpha47.
“Keputusan untuk menerbitkan filem berskala besar pada usia 33 tahun adalah satu risiko besar, namun saya melihatnya sebagai peluang untuk berkembang dalam industri.
“Kerjasama bersama Razaisyam Rashid turut dianggap sebagai pengalaman berharga kerana kami berdua berkongsi visi untuk menghasilkan karya tempatan yang mampu bersaing dan menarik perhatian penonton arus perdana,” katanya.
Dari segi penceritaan, Tarung: Unforgiven mengisahkan seorang bekas juara silat yang dibelenggu dosa silam akibat satu tragedi hitam.
Demi menyelamatkan kakaknya, dia terpaksa menyertai gelanggang pertarungan haram, tanpa menyedari bahawa lawan yang bakal dihadapi adalah individu yang pernah rapat dalam hidupnya suatu ketika dahulu.
Konflik emosi dan aksi yang intens menjadi teras utama yang menggerakkan naratif filem ini.
Seiring dengan kempen promosi yang bakal diperluaskan, orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini serta klip menarik filem ini menerusi platform digital rasmi Alpha47, Icon Pictures dan Astro Shaw.
Perbualan mengenai filem ini juga boleh dikongsi menggunakan tanda pagar #TarungUnforgiven bagi menyemarakkan lagi keterujaan menjelang tayangan rasmi.
Dengan gabungan jalan cerita yang mendalam, aksi mendebarkan serta barisan pelakon berpengaruh, Tarung: Unforgiven dilihat berpotensi menjadi antara filem tempatan paling berimpak tinggi pada tahun 2026.
editormaxinfo@gmail.com TANJONG MALIM – Sistem pendidikan tinggi negara perlu bergerak ke arah yang lebih fleksibel bagi mendepani perubahan global yang semakin pesat, selari dengan kemajuan teknologi, kehendak industri serta jangkaan baharu generasi pelajar masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pendekatan pendidikan tradisional yang terlalu berstruktur kini tidak lagi memadai untuk memenuhi keperluan semasa.
Sebaliknya, institusi pengajian tinggi perlu berani melakukan transformasi dengan memperkenalkan model pembelajaran yang lebih anjal, relevan dan berorientasikan masa depan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sesi perkongsian pakar bertajuk “The Future Higher Education Landscape” yang dihadiri seramai 531 kakitangan akademik dan bukan akademik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Dewan SITC, menerusi program Teaching, Learning, Assessment and Supervision (TLAS) anjuran Pusat Pembangunan Akademik universiti berkenaan.
Turut hadir dalam program itu ialah Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan warga universiti.
Menurut Mohammad Shatar, antara langkah penting dalam meningkatkan fleksibiliti pendidikan tinggi ialah dengan memperluas laluan pembelajaran alternatif bagi menyokong konsep pembelajaran sepanjang hayat.
Ini termasuk pelaksanaan micro credentials, Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) serta pengukuhan pendekatan Work-Based Learning (WBL 2.0).
“Pendekatan itu membolehkan pelajar mengikuti proses pembelajaran secara lebih fleksibel, di samping memperoleh pengalaman yang lebih hampir dengan keperluan sebenar industri.
“MQA komited untuk memberi ruang kepada institusi pengajian tinggi menyesuaikan struktur program masing-masing agar kurikulum kekal relevan dengan perkembangan semasa serta kehendak pasaran kerja yang sentiasa berubah,” katanya.
Beliau berkata, pensyarah juga perlu memainkan peranan lebih dinamik dengan menyesuaikan kaedah pengajaran selari dengan perubahan landskap pendidikan tinggi.
“Pensyarah bukan lagi sekadar penyampai ilmu, sebaliknya bertindak sebagai pemudah cara yang mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar.
“Kepentingan memperkasa pendekatan pembelajaran berasaskan konsep 3L iaitu learn by doing, learn by seeing dan learn by listening bagi meningkatkan tahap penglibatan pelajar serta memastikan proses pembelajaran menjadi lebih efektif,” katanya.
Katanya, pembangunan pelajar juga perlu dilihat secara holistik merangkumi aspek fizikal, sosial, spiritual dan psikologi bagi melahirkan graduan yang seimbang, berdaya saing serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan global yang semakin mencabar.
KUALA LUMPUR – Yayasan Global Mesra (YGM) dengan kerjasama Yayasan Muhibah Malaysia (YMM) serta Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (KO-KHAWAN) menyantuni 240 pelajar daripada Program Asrama Malaysia (AMal) menerusi penganjuran Iftar yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur.
Program itu menjadi platform penting dalam menyemai nilai perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum dan agama, selaras dengan matlamat AMal yang menitikberatkan integrasi sosial sejak di peringkat pendidikan.
Dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan, majlis ini bukan sekadar acara berbuka puasa, malah berperanan sebagai ruang memperkukuh semangat kebersamaan, toleransi dan saling menghormati.
Pelajar yang hadir turut berpeluang menikmati pengalaman berbuka puasa dalam suasana harmoni, khususnya bagi mereka yang berjauhan daripada keluarga.
Penglibatan pelajar Islam dan bukan Islam dalam satu majlis yang sama mencerminkan keunikan masyarakat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian, sekali gus menyumbang kepada pembentukan sahsiah yang seimbang dari aspek emosi dan kerohanian.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran isteri Menteri Pertahanan Malaysia, Datin Seri Rosni Omar; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Dato’ Sri Hasbullah Mohd Ali; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’Shaharuddin Abu Sohot.
Turut hadir wakil Pejabat Perdana Menteri; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Sharil Shariff; Pengasas Yayasan Global Mesra, Dato’ Haji Mohd Nasir Mohd Rashid; Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Sri Dr Rosmariza Dato’ Che Omar; Pengerusi Yayasan Muhibah Malaysia, Lim Ye Han; serta Pengerusi Koperasi Khazanah Usahawan Berhad, Dato’ Eng Yee Koon.
Dalam ucapannya, Eng Yee Koon berkata, bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk memperkukuh nilai kemanusiaan seperti kasih sayang, ihsan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat majmuk.
“Penganjuran majlis seumpama ini mampu merapatkan jurang antara kaum sekali gus menyemai semangat perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan generasi muda.
“Interaksi antara pelajar daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi juadah di meja yang sama menjadi simbol keharmonian negara.
“Pengalaman ini penting dalam membentuk generasi muda yang memahami nilai toleransi serta menghargai kepelbagaian budaya sejak usia awal,” katanya.
Tambah beliau lagi, semangat Ramadan yang diraikan melalui program ini turut menjadi jambatan kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menekankan nilai kemaafan, kesyukuran dan kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Sementara itu, Mohd Nasir berkata, kerjasama antara organisasi dalam penganjuran program berkenaan membuktikan bahawa usaha kebajikan mampu dilaksanakan secara kolektif tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
“Fokus utama inisiatif ini adalah untuk menyokong pendidikan serta kebajikan anak-anak Malaysia, di samping membantu mereka menjauhi gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah.
“Program ini adalah hasil sumbangan dalaman daripada rangkaian usahawan yang terbabit dan tidak melibatkan kutipan derma daripada orang awam,” katanya.
Dalam pada itu, pihak penganjur akan memberikan komitmen berterusan untuk memperluas pelaksanaan program seumpama ini sebagai usaha memperkasa perpaduan nasional serta kebajikan pelajar.
Pendekatan inklusif yang membabitkan pelbagai pihak dilihat sebagai elemen penting dalam membina masyarakat yang lebih harmoni dan bersatu padu.
Inisiatif seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih inklusif serta memperkukuh asas perpaduan negara.
KUALA LUMPUR – Keberkatan bulan Ramadan dimanfaatkan sepenuhnya oleh program bual bicara Borak SeeNI apabila sekali lagi turun padang menyantuni golongan asnaf dan gelandangan menerusi inisiatif kebajikan Bantu SeeNI yang diadakan di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Memasuki tahun kedua penganjuran, program itu terus komited membantu golongan memerlukan dengan kerjasama Yayasan JCorp yang turut serta mengagihkan makanan berbuka puasa kepada masyarakat setempat.
Inisiatif ini bertujuan meringankan beban golongan asnaf dan gelandangan selain berkongsi rezeki sempena bulan yang penuh keberkatan.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Jejak Jalanan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu golongan gelandangan di ibu kota.
Aktiviti pengagihan makanan berbuka puasa diadakan di kawasan tempat letak kereta di Chow Kit dengan lebih 250 penerima hadir sejak jam 6 petang untuk mendapatkan juadah berbuka.
Antara makanan yang diagihkan termasuk nasi putih ayam goreng kunyit, nasi lemak ayam berempah, mini roti john, kuih talam, aiskrim dan minuman.
Kru Borak SeeNI bersama kakitangan Yayasan JCorp turut meluangkan masa berbuka puasa bersama golongan terbabit sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di bawah khemah yang disediakan.
Selain pengagihan makanan berbuka, Yayasan JCorp turut menyampaikan beg cenderahati yang mengandungi makanan kering dan kit penjagaan diri kepada penerima.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Mizan Yahya kepada golongan asnaf dan gelandangan yang hadir.
Dalam masa sama, Yayasan JCorp turut menyampaikan sumbangan tunai kepada Pertubuhan Jejak Jalanan yang diwakili oleh aktivis masyarakat Mohd Azhan Mohd Adnan, yang lebih dikenali sebagai Abbe Hae.
Beliau telah aktif membantu golongan gelandangan di kawasan Chow Kit sejak tahun 2021 dengan memberi tumpuan kepada bantuan pendidikan dan kebajikan kepada kanak-kanak daripada keluarga asnaf.
Program turut dihadiri Naib Presiden Pembangunan Komersial, Perniagaan Digital Astro, Norashikin Habibur Rahman bersama pengacara Borak SeeNI iaitu Nazrief Nazri dan Muhsin Nadzli.
Menurut Norashikin, penganjuran Bantu SeeNI merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyemai semangat keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
“Inisiatif ini diharap dapat memupuk semangat kebersamaan dalam membantu golongan kurang bernasib baik.
“Bantu SeeNI menjadi medium kepada kami di Borak SeeNI untuk menyantuni mereka yang memerlukan.
“Kami juga menyokong usaha Abbe Hae yang tidak pernah putus asa membantu kanak-kanak asnaf dan gelandangan di sini melalui pendidikan agar mereka dapat meningkatkan taraf kehidupan serta memutuskan rantaian kemiskinan,” katanya.
Selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, program diteruskan dengan solat Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah.
Suasana kemudiannya dimeriahkan dengan jamuan moreh yang menyediakan hidangan seperti putu mayam dan ayam goreng KFC yang menceriakan kanak-kanak serta penerima yang hadir.
Program Bantu SeeNI turut mendapat sokongan daripada para sukarelawan Yayasan JCorp, KPJ Healthcare dan Pertubuhan Jejak Jalanan, selain penglibatan penaja makanan seperti Mommypuff, Hotel Maya Kuala Lumpur, Jom Jariah Ramadan IKAT, Reetz Roti John, Kak Tie Talam Gedik dan Haziq Food Industries yang membantu dalam penyediaan serta pengagihan makanan.
Penganjuran program kebajikan seperti ini secara tidak langsung memperkukuhkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik sepanjang bulan Ramadan.
KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, TV Sarawak (TVS) tampil memeriahkan musim perayaan menerusi kempen khas “Pesta Raya TVS”, sebuah inisiatif yang menghimpunkan pelbagai program hiburan, inspirasi serta kisah kekeluargaan untuk tontonan penonton sepanjang Ramadan hingga Syawal.
Antara program utama yang menjadi tumpuan ialah rancangan majalah televisyen Inspirasi Duniamu, yang mengetengahkan pelbagai kisah komuniti serta inspirasi masyarakat dari seluruh Malaysia termasuk Sarawak, Sabah dan Semenanjung, selain turut memaparkan cerita dari luar negara.
Setiap episod program ini menggabungkan temu bual eksklusif, laporan lapangan serta naratif visual yang merangkumi pelbagai bidang termasuk sukan, hiburan dan kisah kejayaan masyarakat.
Episod khas pra-Raya program akan disiarkan pada 18 Mac 2026, jam 10 malam.
Bagi menambahkan lagi kemeriahan Aidilfitri, TVS turut mempersembahkan program hiburan istimewa Pesta Raya TVS: Dari KL ke Kuching yang menampilkan konsep rumah terbuka Aidilfitri dengan suasana penuh muzik, gelak tawa dan interaksi santai bersama selebriti.
Program itu dihoskan oleh Ghazali Zawawi dan Sharifah Shahira, selain menampilkan persembahan artis popular seperti Aina Abdul, Mimifly, Bob Yusof, Marsha Milan, Liza Aziz, Khai Bahar, Sharifah Zarina, Daniesh Suffian, Mawat dan Hanif Arip.
Turut memeriahkan program ialah penampilan tokoh industri hiburan seperti Ramli M. S., Jalaluddin Hassan, Roy Azman, Raja Azura, Rita Rudaini dan Sharifah Shahora.
Program ini akan disiarkan pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua pada jam 9 malam di TVS, menghubungkan kemeriahan sambutan antara Kuala Lumpur dan Kuching.
Selain itu, TVS turut melancarkan lagu raya baharu berjudul Raya Paling Epik yang menampilkan kolaborasi tiga penyanyi muda iaitu Daniesh Suffian, Mawat dan Hanif Arip.
Lagu itu membawa irama pop ceria dengan mesej perpaduan dan kebersamaan dalam menyambut Aidilfitri, sekali gus menyasarkan pendengar daripada generasi muda.
Video muzik rasmi lagu itu telah dilancarkan pada 27 Februari 2026 dan kini boleh ditonton di semua platform media sosial rasmi TVS.
Turut menjadi sorotan kempen ini ialah filem pendek bertemakan kekeluargaan berjudul Gambar Raya Paling Epik yang mengisahkan perjalanan seorang remaja bernama Saiful yang berusaha merakam gambar raya terbaik bagi menyertai sebuah pertandingan fotografi.
Dalam usahanya itu, Saiful akhirnya menyedari bahawa kebahagiaan sebenar bukan hanya terletak pada kejayaan peribadi, tetapi pada momen berharga yang dikongsi bersama keluarga.
Filem pendek ini menampilkan lakonan Atiq Azman dan Fauziah Nawi dan akan ditayangkan pada malam Hari Raya Aidilfitri jam 9 malam.
Bagi menggalakkan penglibatan penonton, TVS turut menganjurkan Peraduan Gambar Raya Paling Epik 2026 yang mengajak orang ramai berkongsi gambar raya paling kreatif mereka di media sosial.
Peserta hanya perlu memuat naik gambar raya menggunakan lagu “Raya Paling Epik” sebagai latar muzik serta menyertakan tanda pagar #GambarRayaPalingEpik, #RayaPalingEpik dan #TVS122.
Peraduan ini berlangsung dari 15 hingga 29 Mac 2026 dengan hadiah wang tunai sehingga RM800 menanti pemenang utama.
Dalam pada itu, program khas Istimewa Anggun: Seri Aidilfitri turut disajikan kepada penonton dengan menampilkan Siti Zawawi sebagai hos.
Program ini membawa penonton menyelami kemeriahan sambutan Aidilfitri menerusi perkongsian berkaitan fesyen, kecantikan serta inspirasi gaya sempena Syawal.
Episod istimewa itu turut menampilkan selebriti jemputan seperti Mimifly, Liza Aziz dan Nabila Huda dan akan disiarkan pada 25 Mac 2026 jam 8.30 malam.
Sementara itu, rancangan bual santai popular 3 Mak Dara kembali untuk musim kedua dengan menampilkan Raja Azura, Sharifah Shahora dan Rita Rudaini sebagai hos utama.
Musim terbaharu ini bakal mengetengahkan pelbagai topik berkaitan kehidupan, keluarga serta pengalaman wanita daripada pelbagai latar belakang dalam suasana santai dan menghiburkan.
Program akan mula bersiaran pada 1 April 2026, setiap Rabu jam 8.30 malam di TVS.
Bagi melengkapkan lagi sambutan perayaan, TVS turut menyiarkan pelbagai filem menarik sepanjang musim Aidilfitri termasuk Senario The Movie Ops Pocot, Senario Asam Garam, Rompak Raya, Demi Raya, Perfect Raya, Raya Sebagai Isteri, Kurung Kerawang Untuk Adik, Takbir Semalam dan Musafir Ke?.
Tayangan filem-filem ini akan disiarkan setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad pada jam 8.30 malam bagi memberikan pilihan hiburan yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
TVS juga akan menyiarkan rancangan khas Dialog TVS: Perayaan & Perpaduan – Tradisi Menyatukan Malaysia yang membincangkan bagaimana sambutan perayaan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Program dijadualkan bersiaran pada 26 Mac 2026 jam 10 malam.
Dengan rangkaian program yang merangkumi hiburan, inspirasi serta kisah kekeluargaan yang dekat dengan hati masyarakat, kempen “Pesta Raya TVS” diharap dapat membawa kemeriahan Aidilfitri ke layar kaca selain memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam meraikan Syawal.
Orang ramai boleh menyaksikan kesemua program istimewa ini secara eksklusif di TVS serta melalui platform digital rasmi TVS sepanjang musim perayaan tahun ini.
KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Shiha Zikir kembali memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan pelancaran lagu raya terbaharu berjudul Memori Raya yang membawa nuansa nostalgia dan kenangan manis bersama keluarga.
Lagu itu adalah hasil kolaborasi antara Shiha Zikir Empire dan Giant Malaysia, sekali gus meneruskan kerjasama mereka selepas kejayaan lagu Tum Tum Raya yang dilancarkan pada tahun lalu.
Melalui karya baharu ini, Shiha cuba membawa pendengar mengimbau kembali memori lama yang sering dikaitkan dengan suasana Aidilfitri.
Menurut Shiha, walaupun lagu ini tampil dengan melodi yang ceria dan mudah diingati, liriknya sebenarnya sarat emosi kerana mengangkat kenangan indah ketika menyambut Hari Raya bersama insan tersayang.
“Lagu ini membawa pendengar kembali kepada kenangan lama ketika menyambut Hari Raya.
“Apabila saya memperdengarkan lagu ini kepada keluarga, ramai yang tersentuh walaupun melodinya rancak. Mungkin kerana liriknya membuatkan kita teringat kembali memori lama,” katanya.
Lagu “Memori Raya” dihasilkan bersama komposer Iqie Hugh dan John Jeeves yang berjaya menyiapkan karya terbabit dalam tempoh yang agak singkat mengikut konsep yang diinginkan oleh Shiha.
Penyanyi berusia 37 tahun itu berkata, sebelum ini dia sudah banyak menghasilkan lagu raya berentak tradisional dan joget, namun kali ini dia mahu tampil dengan pendekatan yang lebih segar dan moden tanpa menghilangkan elemen nostalgia yang menjadi jiwa sambutan Aidilfitri.
Mengulas mengenai mesej yang ingin disampaikan, Shiha berkata, ia berkisar tentang kenangan pulang ke kampung halaman, bertemu ibu bapa serta meluangkan masa bersama keluarga ketika membuat persiapan menyambut Syawal.
Walaupun tema berkenaan sering dikaitkan dengan lagu raya, beliau percaya kenangan seperti itu tetap dekat dengan hati masyarakat.
“Walaupun kedengaran agak klise, lagu ini sebenarnya tentang bagaimana kita semua akan teringat kenangan di kampung, bertemu keluarga dan saudara-mara apabila tibanya musim perayaan,” katanya.
Menariknya, idea menghasilkan lagu ini tercetus secara spontan ketika bulan Ramadan dan keseluruhan proses pembikinannya dilakukan dalam tempoh yang agak singkat.
Walaupun begitu, Shiha tetap memastikan setiap aspek penghasilan berjalan lancar.
“Saya gembira dapat bekerjasama dengan Giant Malaysia dalam menjayakan projek ini walaupun semuanya dirancang dalam masa yang singkat,” katanya.
Selain lagu, pembikinan video muzik “Memori Raya” turut memberikan pengalaman unik apabila Shiha mengajak beberapa individu yang tidak dikenali melalui media sosial untuk turut serta dalam penggambaran lagu itu.
“Saya memilih beberapa orang melalui media sosial untuk datang dan merasai sendiri pengalaman berada di set penggambaran video muzik.
“Saya juga mahu berkenalan dengan orang baharu. Mereka semua sangat teruja walaupun penggambaran mengambil masa agak panjang,” katanya.
Menurut Shiha, pengalaman itu sangat bermakna kerana mereka bersama-sama mencipta kenangan baharu yang selari dengan konsep lagu tersebut iaitu mencipta “Memori Raya”.
Sementara itu, pihak Giant Malaysia menyifatkan kerjasama dengan Shiha sebagai satu kolaborasi yang bermakna selepas kejayaan yang diraih pada tahun lalu.
Ketua Pemasaran Giant Malaysia, Andre Lim berkata personaliti ceria dan bertenaga yang dimiliki Shiha menjadikannya figura yang dekat dengan masyarakat daripada pelbagai lapisan, sekali gus selari dengan profil pelanggan rangkaian pasar raya terbabit.
Menurutnya, lagu “Memori Raya” membawa pendekatan yang sedikit berbeza berbanding lagu raya mereka sebelum ini dengan menampilkan elemen nostalgia serta susunan muzik moden yang lebih catchy.
“Kami mahu apabila pelanggan mendengar lagu ini di radio atau di cawangan Giant, mereka akan berasa lebih teruja membuat persiapan raya bersama keluarga,” katanya.
Dalam masa sama, Giant Malaysia turut memperkenalkan kempen Aidilfitri bertemakan “Jimat Berganda, Raya Bergaya” yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada pelanggan.
Menerusi peraduan “Beli & Menang” yang berlangsung dari 26 Februari hingga 15 April 2026, pelanggan yang berbelanja minimum RM60 dalam satu resit di mana-mana cawangan Giant berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk bar emas.
Antara hadiah yang ditawarkan ialah bar emas seberat 10 gram sebagai hadiah utama, bar emas 5 gram sebagai hadiah kedua serta 15 hadiah berupa bar emas seberat 1 gram.
Selain itu, pelanggan juga berpeluang memenangi baucar tunai Giant bernilai RM100 sebagai hadiah mingguan.
Kempen terbabit turut disokong beberapa rakan jenama strategik seperti Uncle Jack, F&N, Kimball, Crunchitos dan Golden Bites bagi memastikan pelanggan menikmati pelbagai pilihan produk dengan harga promosi yang lebih kompetitif.
Dengan gabungan lagu raya yang sarat nostalgia serta kempen menarik daripada Giant Malaysia, kolaborasi ini diharap mampu memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini selain mencipta kenangan manis buat rakyat Malaysia.
KUALA LUMPUR – Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, industri muzik tempatan kembali meriah dengan kehadiran pelbagai karya baharu daripada penyanyi tanah air.
Antara yang mencuri perhatian ialah kolaborasi dua penyanyi, Izzue Islam dan Dehaniff yang tampil dengan lagu duet raya berjudul Dulu Kini Raya.
Lagu itu membawa nuansa nostalgia yang mengimbau kenangan sambutan Aidilfitri pada zaman dahulu, namun disuntik dengan elemen muzik moden yang lebih segar.
Bagi Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 36, karya itu cukup dekat di hatinya kerana mengingatkan pengalaman beraya ketika zaman kanak-kanak dan remaja.
Menurutnya, gabungan elemen klasik dan kontemporari dalam lagu tersebut menjadikannya lebih mudah diterima oleh pendengar daripada pelbagai generasi.
Katanya, aura lagu raya tradisional masih dikekalkan, namun diberikan sentuhan moden agar generasi masa kini turut dapat menikmatinya.
“Lagu ini ada aura klasik raya yang kita semua rindu. Dalam masa sama, ada sentuhan moden supaya generasi sekarang pun boleh menikmatinya.
“Elemen nostalgia itu memang terasa, seperti kenangan kita beraya dulu-dulu, cuma bunyinya lebih segar dan itu yang menjadikan lagu ini ada identiti tersendiri,” katanya.
Mengulas mengenai kemunculan banyak lagu raya baharu setiap kali menjelang Aidilfitri, Izzue melihat situasi itu sebagai sesuatu yang positif kepada industri muzik tempatan.
Izzue berkata, semakin banyak lagu raya diterbitkan, semakin meriah sambutan perayaan itu.
Beliau tidak melihat fenomena itu sebagai persaingan semata-mata, sebaliknya sebagai usaha bersama dalam kalangan artis untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri.
“Setiap lagu mempunyai peminat tersendiri dan beliau berharap “Dulu Kini Raya” mampu menjadi antara lagu yang sering dimainkan orang ramai, sama ada ketika pulang ke kampung mahupun ketika berkumpul bersama keluarga,” katanya.
Dalam masa sama, Izzue turut berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Dehaniff yang menurutnya berlaku secara semula jadi kerana keserasian yang baik sepanjang proses rakaman.
Beliau menyifatkan tenaga serta gaya vokal Dehaniff sangat sesuai dengan konsep lagu terbabit, sekali gus menjadikan gabungan suara mereka lebih menyerlah.
“Dehaniff ada tenaga yang sepadan dengan lagu ini. Apabila kami bekerjasama, chemistry itu datang dengan sendiri.
“Sebab itu apabila idea untuk menghasilkan lagu raya ini timbul, saya yakin gabungan kami boleh menjadikan lagu ini lebih hidup,” katanya.
Selain lagu, pembikinan video muzik “Dulu Kini Raya” turut menjadi antara aspek menarik projek berkenaan.
Proses penggambaran yang dilakukan dengan konsep luar daripada kebiasaan menampilkan beberapa elemen unik yang jarang digunakan dalam video muzik raya.
Pembikinan video muzik itu menelan kos yang agak tinggi dengan penggunaan beberapa prop istimewa, termasuk seekor lembu yang dibawa khas dari Melaka serta penggunaan kren skylift bagi menghasilkan visual yang lebih dramatik.
Menurut Izzue, idea-idea luar biasa itu sengaja direalisasikan bagi memberikan pengalaman visual yang berbeza kepada penonton.
Walaupun berdepan cabaran serta kos produksi yang tinggi, mereka tetap berusaha memastikan video muzik itu tampil dengan kelainan yang mudah diingati.
“Memang ada unsur ‘gila’ dalam pembikinan video muzik ini, tetapi bagi kami, kalau mahu buat sesuatu, biarlah dibuat dengan bersungguh-sungguh. Kami mahu penonton melihat sesuatu yang lain daripada video muzik raya biasa,” katanya.
Sementara itu, Dehaniff menyifatkan Izzue sebagai rakan duet yang sangat komited dan mudah bekerjasama sepanjang proses penghasilan lagu berkenaan.
Menurutnya, “Dulu Kini Raya” menggabungkan beberapa elemen genre muzik yang menjadikannya sesuai dinikmati oleh pendengar daripada pelbagai lapisan usia.
Katanya, lagu itu mampu memberikan rasa gembira kepada pendengar, selain membawa suasana ceria yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri.
“Lagu ini menggabungkan beberapa genre dan mudah untuk dinikmati oleh semua.
“Apabila mendengarnya, ia boleh memberikan rasa gembira. Ketika merakam lagu ini, saya tidak terlalu gementar, sebaliknya lebih teruja kerana percaya dengan kelainan yang kami tampilkan,” katanya.
Dehaniff turut berpendapat konsep video muzik yang unik menjadi antara tarikan utama dalam memperkenalkan lagu tersebut kepada khalayak.
Beliau berharap “Dulu Kini Raya” bukan sahaja mendapat sambutan ketika ini, malah mampu kekal sebagai antara lagu raya kegemaran ramai pada masa akan datang.
Lagu “Dulu Kini Raya” kini boleh didengari di pelbagai platform penstriman digital, manakala video muzik rasminya turut dilancarkan di YouTube untuk tontonan umum.
KUALA LUMPUR – Huawei Malaysia secara rasmi melancarkan Huawei Mate 80 Pro, telefon pintar flagship terbaharu jenama itu yang menampilkan teknologi kamera generasi baharu, prestasi pintar dipacu kecerdasan buatan (AI) serta rekaan premium yang lebih moden dan tahan lasak.
Pelancaran peranti ini turut disertai pengenalan beberapa produk baharu dalam ekosistem Huawei termasuk Huawei FreeBuds Pro 5, Huawei Watch Ultimate 2 dalam warna hijau serta Huawei FreeClip 2 dalam warna Rose Gold, sekali gus memperkukuh portfolio peranti pintar yang menyokong gaya hidup digital moden.
Kamera Huawei Mate 80 Pro Tampil Teknologi Pengimejan Termaju
Huawei Mate 80 Pro hadir dengan sistem kamera tiga lensa yang dipertingkatkan bagi memberikan keupayaan fotografi yang lebih tepat merentasi pelbagai jarak fokus.
Telefon pintar ini dilengkapi 50MP Ultra Lighting Camera dengan sensor besar 1/1.28 inci, 48MP Ultra Lighting Telephoto Macro Lens dengan zum optikal 4x serta 40MP Ultra-Wide Angle Camera, membolehkan pengguna merakam imej landskap luas mahupun perincian jarak dekat dengan jelas.
Selain itu, Huawei turut memperkenalkan True-to-Colour Camera System yang mampu mengekalkan ketepatan warna dan keseimbangan tona dalam pelbagai keadaan pencahayaan.
Sistem ini memastikan setiap foto mengekalkan tekstur semula jadi dan warna yang lebih realistik sama ada di luar bangunan atau dalam persekitaran cahaya rendah.
Bagi meningkatkan pengalaman fotografi, Huawei turut menyertakan pelbagai fungsi kecerdasan buatan termasuk AI Composition, yang memberikan panduan pembingkaian secara masa nyata untuk membantu pengguna menghasilkan komposisi gambar yang lebih profesional.
Fungsi tambahan seperti AI Remove membolehkan pengguna membuang objek atau individu yang tidak diingini dalam gambar, manakala AI Best Expression akan mengambil beberapa tangkapan secara automatik dan memilih ekspresi terbaik bagi menghasilkan foto berkumpulan yang sempurna.
Rekaan Premium Dengan Ketahanan Lebih Tinggi
Huawei Mate 80 Pro turut mengekalkan reputasi siri Mate sebagai peranti yang menitikberatkan ketahanan.
Telefon pintar ini menggunakan Kunlun Glass Generasi Kedua yang diperkukuh dengan nanokristal berketahanan tinggi, menjadikannya sehingga 20 kali lebih tahan hentakan berbanding kaca biasa.
Peranti ini juga dilengkapi panel belakang vegan fibre ultra tahan lasak yang bukan sahaja memberikan ketahanan tambahan, malah meningkatkan kemasan premium pada peranti.
Dari segi perlindungan, Huawei Mate 80 Pro hadir dengan pensijilan IP68 dan IP69, menjadikannya tahan air sehingga kedalaman enam meter serta tahan semburan air bertekanan tinggi dan suhu tinggi.
Bagi memastikan prestasi stabil, telefon pintar ini turut dilengkapi sistem penyejukan SuperCool Dual Phase Change Heat Dissipation System, yang meningkatkan kecekapan pengaliran haba sebanyak 16 peratus serta mengurangkan kadar peningkatan suhu sehingga 33 peratus.
Huawei juga mengekalkan identiti reka bentuk siri Mate menerusi Dual Space Ring Design, iaitu modul kamera ikonik yang menggabungkan elemen simetri dengan estetika moden. Peranti ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Gold, Green dan Black.
Kempen “See, Truly Malaysia” Bersama Tourism Malaysia
Bersempena pelancaran peranti ini, Huawei Malaysia turut bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk memperkenalkan kempen fotografi “See, Truly Malaysia”.
Kempen ini bertujuan mempamerkan keindahan warisan, landskap semula jadi serta kepelbagaian budaya Malaysia melalui keupayaan pengimejan Huawei Mate 80 Pro.
Menurut Tourism Malaysia, kerjasama dengan Huawei Malaysia membantu memperluaskan usaha promosi pelancongan negara dengan menonjolkan keindahan Malaysia kepada khalayak global melalui teknologi kamera canggih peranti terbabit.
Huawei XMAGE Awards 2026 Dibuka Penyertaan
Huawei turut mengumumkan penganjuran XMAGE Awards 2026 di Malaysia yang akan berlangsung dari 23 Mac hingga 16 Ogos 2026.
Pertandingan fotografi global ini diinspirasikan oleh konsep “The Power of Image”, yang memberi peluang kepada pengguna merakam keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya serta kehidupan masyarakat Malaysia melalui lensa peranti Huawei.
Platform XMAGE juga bertujuan menggalakkan lebih ramai pengguna menjadi pencerita visual yang mampu menyampaikan kisah unik melalui fotografi mudah alih.
Huawei FreeBuds Pro 5, Watch Ultimate 2 dan FreeClip 2 Turut Dilancar
Selain Huawei Mate 80 Pro, Huawei turut memperkenalkan beberapa peranti baharu dalam ekosistemnya.
Huawei FreeBuds Pro 5 menampilkan sistem audio Dual-Driver Acoustic System yang menyokong penghantaran audio resolusi tinggi tanpa kehilangan kualiti bunyi.
Fon telinga tanpa wayar ini juga dilengkapi teknologi Dual-Engine AI Noise Cancellation bagi memberikan pengalaman audio yang lebih jelas dan imersif.
Peranti ini dijual pada harga RM699 dan ditawarkan dalam pilihan warna Grey, White dan Gold, bersama perlindungan Loss Care selama setahun.
Sementara itu, Huawei Watch Ultimate 2 dalam warna hijau meneruskan legasi jam tangan pintar premium Huawei yang direka untuk aktiviti luar.
Jam tangan ini turut memperkenalkan fungsi baharu berkaitan sukan golf bagi membantu pengguna menjejaki prestasi dengan lebih tepat.
Huawei Watch Ultimate 2 dijual pada harga RM3,999 dan hadir dengan hadiah percuma bernilai sehingga RM402, termasuk perlindungan Huawei Care+ selama dua tahun.
Melengkapkan pelancaran ini ialah Huawei FreeClip 2 dalam warna Rose Gold, yang menampilkan reka bentuk terbuka unik bagi memberikan keselesaan penggunaan sepanjang hari sambil mengekalkan kesedaran terhadap persekitaran.
Peranti audio ini ditawarkan pada harga RM749 dan kini dibuka untuk tempahan awal dengan rebat RM50 serta perlindungan Loss Care selama setahun.
Harga Huawei Mate 80 Pro di Malaysia
Huawei Mate 80 Pro dijual pada harga RM3,999 di Malaysia. Pengguna kini boleh membuat tempahan awal melalui Huawei Experience Store, laman web rasmi Huawei serta platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok Shop.
Pembeli juga berpeluang menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM2,115, termasuk Huawei MatePad 11.5 serta pakej Huawei Premium Services yang merangkumi Huawei Care+ selama setahun, penggantian bateri selama tiga tahun dan perlindungan pelindung skrin selama dua tahun.
Selain itu, pengguna turut boleh menikmati pelbagai tawaran eksklusif AppGallery bernilai sehingga RM1,565, termasuk diskaun daripada beberapa jenama terkenal.
Dengan gabungan teknologi kamera canggih, prestasi pintar dan ekosistem peranti yang semakin berkembang, Huawei Mate 80 Pro dijangka terus mengukuhkan kedudukan Huawei dalam pasaran telefon pintar premium di Malaysia.