27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 23, 2026
Home Blog Page 258

Ellojoy Sacha Inchi sasar jualan RM12.5 juta untuk 2024

SHAH ALAM – Minuman kopi Ellojoy Sacha Inchi menyasarkan nilai jualan RM12.5 juta sepanjang tahun 2024.

Presidennya, Sahnon Ahmad berkata sasaran itu berdasarkan sambutan baik yang diterima sejak produk berkenaan diperkenalkan di pasaran pada April lalu.

“Ellojoy Sacha Inchi ialah kopi keluaran 100 peratus milik Bumiputera yang mengandungi pelbagai khasiat dan menggunakan bahan premium.

“Kita juga optimis kopi ini menjadi pilihan kerana harganya yang lebih murah dari kebanyakkan kopi komersial di luar sana dan pada masa sama memberikan manfaat,” katanya pada sidang media majlis pelancaran produk berkenaan, baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, Sahnon turut mengumumkan tiga rakan produk Ellojoy Sacha Inchi iaitu penyanyi Ani Maiyuni, pempengaruh Joe Aziz dan Naib Presiden Kanan Mohd Sofian Zakaria.

Sahnon berkata, kesemua mereka dipilih kerana masing-masing sudah merasai pengalaman tersendiri meminum kopi Ellojoy Sacha Inchi.

“Kami percaya rakan produk ini akan membantu memperkenalkan lagi produk minuman kopi ini kepada lebih ramai orang supaya masing-masing dapat menikmati manfaatnya.

“Apa yang penting kami berharap agar semua orang tahu apa yang mereka minum berbaloi dengan harga yang dibayar dan khasiat yang dinikmati,” katanya.

Sahnon berkata, produk itu dihasilkan dengan menawarkan kepada pengguna rasa yang sedap dan kaya dengan khasiat ramuan terpilih.

Katanya, bahan utama Ellojoy ialah serbuk kopi Arabika, serbuk Sacha Inchi, ekstrak Halia Hitam dan Cendawan Susu Harimau.

“Apa yang lebih menarik ialah Ellojoy Sacha Inchi juga menawarkan peluang pendapatan kepada mereka yang berminat.

“Bukan saja dapat menikmati kopi yang berkualiti tetapi juga boleh menjana pendapatan,” katanya.

Ia dilakukan selari dengan pegangan syarikat itu iaitu Success Together, bersama-sama mencipta kejayaan dalam perniagaan, katanya.

Sahnon berkata, produk itu juga mendapat pensijilan halal dan pengiktirafan Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP).

Menurutnya, produk ini juga sudah diperkenalkan di pasaran antarabangsa pada World Halal Business Conference 2023 yang diadakan di London, baru-baru ini. 

Ellojoy Sacha Inchi dijual dengan harga pasaran RM39.90 sekotak namun kini hanya RM25 sepanjang tempoh promosi dan boleh didapati secara eksklusif melalui U-Joy, Master U-Joy dan secara online.

MATRADE kini rakan kongsi Stadium Loftus Road di UK

KUALA LUMPUR – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) kini menjadi rakan kongsi Stadium Loftus Road di United Kingdom (UK) dan ia adalah platform penjenamaan serta pemasaran yang berharga dalam meningkatkan profil Malaysia di negara berkenaan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, usaha MATRADE itu, berupaya meningkatkan peluang untuk eksport Malaysia ke pasaran negara eropah itu.

“Tahniah Dato’ Seri @reezal_mericandan @matradedi atas kerjasama bersama Kelab Bola Sepak Queens Park Rangers (QPR) untuk hak penamaan Stadium MATRADE Loftus Road di London, UK.

“Stadium MATRADE Loftus Road adalah platform penjenamaan dan pemasaran yang berharga dalam meningkatkan profil Malaysia di UK dan meningkatkan peluang untuk eksport Malaysia ke pasaran ini,” katanya dalam ciapan di X.

Tengku Zafrul berkata, lebih menarik MATRADE tidak perlu berbelanja untuk hak penamaan ini di mana semua kos akan diserap pemilik bersama QPR dari Malaysia sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Terima kasih saya ucapkan atas sumbangan ini. Saya harap lebih ramai lagi ahli korporat Malaysia akan tampil untuk bekerjasama dalam pelbagai projek korporat sosial, bukan sahaja bersama MATRADE malah bersama agensi-agensi lain dalam usaha menaikkan nama Malaysia,” katanya.

UK adalah ekonomi keenam terbesar di dunia. Perdagangan antara Malaysia dan UK yang kini berjumlah RM17.58 bilion (£3.24 bilion) dijangka berkembang dengan penyertaan UK dalam CPTPP.

Stadium itu secara rasmi ditukar nama kepada MATRADE Loftus Road Stadium dalam satu majlis dihadiri Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican diiringi pemilik bersama QPR, Datuk Ruben Gnanalingam Abdullah yang juga Ahli Lembaga Pengarah MATRADE.

Terdahulu, MATRADE dalam kenyataannya menjelaskan perjanjian hak penjenamaan selama tiga tahun itu adalah platform yang sangat berharga untuk meningkatkan profil dan keterlihatannya dengan ketara di UK.

“Digabungkan dengan cadangan penyertaan UK ke Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuki Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), MATRADE akan menggunakan platform stadium QPR yang berharga ini untuk meningkatkan lagi profil Malaysia sebagai negara perdagangan terbuka dan mengembangkan perdagangan terutamanya apabila perlawanan bola sepak atau acara sukan lain sedang disiarkan dari Loftus Road Stadium berkapasiti 18,169 orang,” kata kenyataan berkenaan.

MATRADE berkata kerjasama tiga tahun itu menandakan inovasi pertama untuk kedua-dua pihak dalam menyatukan promosi sukan dan perdagangan dengan cara yang segar dan menarik. 

Rumah tangga Raf dan Mawar tidak ada masalah – Fazley

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menafikan desas-desus rumah tangga adiknya, Raf bersama pelakon Mawar Rashid kini sedang bergolak.

Fazley atau Ahmad Fazley Yaakob, 45, berkata, beliau terkejut dengan berita yang didengar ini kerana mereka sentiasa berhubung dan Raf tidak pernah memberitahu jika hubungannya dengan Mawar ada masalah.

“Tidak wujud pergolakan di antara mereka. Saya memang rapat dengan Raf dan apa sahaja yang berlaku dia akan cerita semuanya kepada saya.

“Saya baru sahaja berjumpa dengan Raf semalam (Ahad) dan dia mengaku kepada saya hubungan mereka baik-baik sahaja,” katanya.

Fazley berkata demikian ketika ditemui pada majlis santai bersama media di restoran miliknya iaitu Suka Sucre di Hotel Maya, Kuala Lumpur.

Berkongsi mengenai keadaan Mawar selepas kontroversi membuka tudung sebelum ini, Fazley berkata dia memberi ruang kepada adik iparnya itu untuk melalui fasa bertenang.

Pada masa yang sama dia menolak dakwaan mengalami masalah depresi selepas cerita tentang hubungannya hangat diperkatakan.

“Sejak isu itu timbul, saya tidak pernah berjumpa Mawar. Tetapi saya akan berhubung dengannya melalui Whatsapp. Saya cuba beri semangat kepadanya.

“Dia dalam keadaan baik sahaja. Raf juga maklumkan perkara sama kepada saya. Kita beri ruang dan doakan yang baik-baik untuknya,” katanya.

Sementara itu, Fazley berkata, dirinya turut terkena tempias apabila ramai bertanya berhubung isu berkenaan.

Sebagai ketua keluarga, Fazley mengambil tanggungjawab penuh untuk memberi nasihat selain bercakap bagi pihak mereka.

“Memang ramai yang bertanya kepada saya. Saya sibuk sedang  tumbuk sambal pun ada mesej masuk bertanyakan hal ini. Saya faham dan tidak pernah rimas.

“Soalan mereka itu tidak menghina. Mereka hanya prihatin. Sebagai abang long saya ambil tanggungjawab penuh.

“Cuma saya ambil prinsisp lebih selesa berdiam dan berdoa dari jauh sahaja,” katanya. 

Terdahulu, 10 Oktober lalu Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 28, mengejutkan banyak pihak apabila berkongsi foto tidak lagi berhijab.

Sejak dari itu dia tidak memberi sebarang kenyataan berhubung tindakannya itu.

Namun begitu, baru-baru ini Mawar telah memadam gambar tidak bertudung di laman sosial miliknya.

Hikmah dugaan tertangguh, Teater Dang Anum akhirnya dipentaskan

KUALA LUMPUR – Selepas hampir dua minggu berehat kerana berdepan dengan pelbagai dugaan sehingga terpaksa menunda tarikh pementasan, Teater Dang Anum akhirnya bakal dipentaskan pada 4 November (Sabtu) dan 5 November (Ahad) di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur.

Pengarah dan Penerbit Teater Dang Anum, Amirul Haswendy Ashari berkata, pihaknya bersyukur kerana ada hikmah tersembunyi di sebalik dugaan yang terpaksa dilalui Persatuan Seni & Budaya Redholah (The Redholah) untuk menerbitkan teater Dang Anum.

“Sebelum ini, The Redholah berdepan dengan pelbagai ujian sehingga memaksa kami membuat keputusan yang sangat berat untuk menunda tarikh pementasan di saat-saat akhir.

“Selama hampir dua minggu, kami bermuhasabah dan duduk berbincang mencari penyelesaian dan Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan.

“Kami berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kerana mendengar luahan dan memahami situasi kami,” katanya.

Terutama di segi sokongan tidak berbelah bagi kepada persatuan kecil yang masih memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dalam merancakkan bidang seni dan budaya tempatan.

Antara hikmah lain, pementasan ini mendapat kerjasama daripada Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Perdana.

Kerjasama ini membabitkan tenaga pengajar dan pelajar-pelajar dalam seni reka set dan prop yang diketuai pensyarahnya, Mohd Kamil Zulkepeli.

“Kami juga terharu kerana Profesor Dr Shamsul Rahman Mohamed Kutty, pensyarah dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi PETRONAS yang juga aktivis teater terkemuka dari Tronoh Theatre Shop sudi berlakon di dalam teater Dang Anum.

“Penampilan istimewa beliau ke dalam teater Dang Anum, pastinya memberi impak tersendiri kepada peminat teater tempatan,” kata Amirul lagi.

Dalam pada itu, pembeli tiket yang telah membeli pas masuk berharga RM10 dan memilih untuk kekal bersama-sama The Redholah sebelum berita penundaan, tidak perlu membeli semula.

“Mereka (pembeli awal), hanya perlu memilih untuk menonton pada tarikh dan masa pementasan sahaja.

“Manakala pembeli baharu, pas masuk berharga RM20 (dewasa) dan RM10 (OKU/Kanak-kanak usia 7 hingga 12 tahun).

“Semua hasil jualan pas masuk akan disalurkan kepada Cinta Gaza Malaysia bagi membantu  rakyat Palestin yang sedang berdepan ujian di Gaza dan Tebing Barat,” katanya.

Pementasan Teater Bangsawan Dang Anum menampilkan Ain Sufia sebagai Dang Anum, Azizul Ammar sebagai Megat Seri Rama/Laksamana Bentan, Along Eyzendy sebagai Sultan Mahmud dan Adam Shahz sebagai Tun Beja Ali.

Selain mereka, teater ini turut menampilkan pelakon teater berpengalaman seperti Md Hussin, Azhar Jalil, Shareezwan, Myza Alid, Eyza Shariff, Affan Mohd dan ramai lagi.

“Kami turut mengalu-alukan sumbangan dari syarikat-syarikat korporat dan badan swasta yang berminat untuk turut serta di dalam program CSR persatuan The Redholah.

“Sumbangan mereka akan disalurkan kepada beberapa program CSR yang kini dalam perancangan,” katanya.

Netanyahu beri amaran perang di Gaza memasuki ‘peringkat kedua’

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan operasi darat tentera Israel di Gaza telah memasuki peringkat kedua  yang disifatkan sebagai peperangan sukar dan panjang terhadap pejuang Hamas.

Bercakap menerusi siaran televisyen, beliau mengesahkan pasukan tentera rejim Zionis itu telah dikerahkan di keseluruhan Semenanjung Gaza di sebalik serangan bertubi-tubi semalaman.

Risalah telah dijatuhkan di Gaza bagi memberi amaran kepada penduduk mereka kini berada di ‘zon perang’ dan perlu meninggalkan kawasan itu dengan segera.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza memaklumkan angka korban kini telah melebihi 8,000 orang.

Israel telah menyekat sebarang bentuk komunikasi sehingga menyebabkan terputus maklumat di Semenanjung Gaza dengan peningkatan pengeboman dan tembakan meriam.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam tindakan Israel dengan menyatakan negaranya tekad untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Israel adalah negara penjenayah perang.

Sentimen sama disuarakan Rusia, dengan Menteri Luarnya Sergei Lavrov menyifatkan serangan Israel ke atas Gaza mencabuli undang-undang antarabangsa dan berisiko mewujudkan bencana yang akan berterusan selama berdekad lamanya. – Agensi

‘Terus Bersinar’ buah tangan terbaharu Hafiz Suip tentang anak

KUALA LUMPUR – Bakat besar yang dimiliki penyanyi Hafiz Suip membawa kerjaya seninya berada di puncak tertinggi.

Pelbagai pengiktirafan sudah diterima, sekali gus meletakkan namanya di liga tersendiri.

Bercakap soal lagu, mana mungkin peminat boleh melupakan lagu “Awan Nano”, “Noktah Cinta”, “Ku Akui”, “Bahagiamu Deritaku”, “Kisah Cinta Kita” dan banyak lagi.

Malah, deretan lagu yang sudah dihasilkan masih menjadi siulan peminat hingga kini.

Daripada hubungan bersama bapa, adik beradik, suami isteri hingga kekasih, mesej yang diketengahkan menerusi lagu yang dihasilkan cukup menyentuh hati.

Bukan bersifat peribadi, tapi Hafiz cuba menyelami perasaan semua terhadap insan yang dicintai.

Terbaharu, Hafiz atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, muncul dengan single terbaharu berjudul “Terus Bersinar” terbitan Nova Music.

Menariknya, lagu ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito serta lirik oleh Datuk Arisz Ab Rahman JP, itu adalah kerjasama pertama Hafiz bersama Mas Dewangga dan Jova Devito.

Hafiz berkata lagu “Terus Bersinar” bergenre balada itu membawa mesej untuk anak.

“Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang semua orang lalui.

“Contohnya, lirik lagu Matahari mengisahkan hubungan kesusahan adik-beradik. Lagu Awan Nano pula menceritakan pengorbanan seorang ayah manakala lagu Kisah Cinta Kita adalah terjemahan kasih sayang antara suami dan isteri. 

“Untuk lagu Terus Bersinar ini, mesej yang ingin disampaikan pula adalah mengenai anak.

“Boleh dikatakan, dalam karier saya setiap lagu ada jalan ceritanya yang tersendiri dan semua lagu itu juga ada kisah kehidupan yang mempunyai mesej,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Hafiz berkata dia terus jatuh cinta dengan lagu berkenaan ketika kali pertama mendengar melodiya.

“Lagu ini masih lagi bergenrekan balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, itu pun pada penghujung lagu.

“Ketika pemilihan lagu ini, mendengar lagunya saya memang terus tertarik dengan melodi dan lirik.

“Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk merakamkan lagu ini sebagai single terbaru saya.

“Jika dibaca setiap bait lirik lagu ini, memang sesuai ditafsir berkaitan anak. Saya percaya lagu ini nanti Insya-Allah mendapat tempat di hati pendengar.

“Begitu juga dengan video muzik lagu ini yang mana memang menceritakan mengenai ibu bapa yang menjaga dan membesarkan anak daripada kecil hingga besar. Pendek kata, anak itu ditatang bagai minyak penuh,” katanya.

Terus Bersinar turut dipilih menjadi lagu tema drama bersiri 30 episod terbitan Mache All Star United berjudul ‘Surat Dari Tuhan’ yang akan bersiaran di slot Samarinda, TV3 mulai esok.

Single “Terus Bersinar” Hafiz Suip dipasarkan pada hari yang sama dengan tarikh mula siaran drama bersiri itu dan boleh mula distrim di semua perkhidmatan penstriman muzik bermula esok.

Video muzik rasmi juga boleh mula ditonton pada hari yang sama jam 3 petang di saluran YouTube Nova Music Videos. 

Cobra 10s edisi ke-50 berlangsung November ini

KUALA LUMPUR – Terus merancakkan sukan ragbi, Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah (10s) ke-50 bakal berlangsung pada 11 dan 12 November ini.

Untuk edisi kali ini ia turut merangkumi pertandingan buat wanita. Sembilan pasukan dari enam negara akan mengambil bahagian bagi kejohanan Lelaki.

Negara yang diwakili ialah Australia, Fiji, New Zealand, Papua New Guinea, Afrika Selatan dan Malaysia.

Lima pasukan termasuk dua dari Singapura pula akan menyertai kejohanan Wanita.

Kejohanan berkenaan akan diadakan di Padang Astaka Petaling Jaya, gelanggang yang tidak asing lagi buat COBRA.

Pada tahun ini, kelab terbabit amat bertuah kerana telah mendapat sokongan serta geran dari Kementerian Belia dan Sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga akan turut hadir untuk merasmikan majlis penyampaian hadiah bagi kejohanan terbabit.

Justeru , ianya diharap dapat meningkatkan lagi kedudukan kejohanan ke taraf yang lebih berprestij.

“Kementerian Belia dan Sukan berbesar hati untuk turut bersama COBRA kerana kejohanan ini bukan sahaja akan meningkatkan taraf dan kualiti ragbi di Malaysia tetapi juga dapat meningkatkan profil ragbi Malaysia di peringkat global,” kata Hannah dalam satu kenyataan.

Kejohanan ini juga turut mendapat sokongan tetap dari Majlis Olimpik Malaysia, Kesatuan Ragbi Malaysia dan Kesatuan Ragbi Selangor.

Sementara itu, IJM Corporation Berhad telah menjadi penaja utama sejak kejohanan antarabangsa pertama pada tahun 1992.

Presiden Kelab Ragbi COBRA, Darryll Sinnappa berkata, tahun ini, mereka dengan berbesar hati mengalu-alukan kedatangan Sideline dan Peri Formworks dalam COBRA.

“Dengan rasa rendah hati, kami amat terharu kerana dapat meneruskan legasi COBRA kebanggaan kami dan menjadi tuan rumah kepada 10s serta sebahagian daripada kejohanan edisi ke-50 keemasan ini.

“Kami mengalu-alukan rakan antarabangsa kami ke perlawanan ragbi yang hebat ini dan kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja kami dan KBS atas sokongan mereka terhadap kami,” katanya.

Kejohanan ini akan dimainkan secara format pusingan robin (round-robin) pada hari pertama diikuti dengan pusingan kalah mati pada perlawanan berikutnya.

Untuk maklumat kumpulan dan jadual kejohanan layari www.cobrarugby.com.my.

Tidak putus rezeki, Alvin Chong kini dikenali ALVN

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Alvin Chong kini menjenamakan semula dirinya dengan nama ALVN.

Meskipun nama Alvin Chong tidak asing lagi dalam industri hiburan dan fesyen di Malaysia, penampilan nama baharu itu tidak sedikitpun menggugat karier seninya.

Malah ALVN turut dilantik sekali lagi bagi jenama terkemuka Longines buat dua tahun berturut-turut.

Dia juga telah dilamar jenama penjagaan muka berprestij La Mer baru-baru ini.

Antara pencapaian terhebat ALVN setakat tahun ini adalah apabila dia diberi peluang mewakili Malaysia di Minggu Fesyen Milan (Milan Fashion Week) bersama Onitsuka Tiger pada Februari 2023 lalu.

 ALVN juga telah berpeluang untuk menghadiri pertunjukan ikonik dari Coach di Minggu Fesyen New York (New York Fashion Week) sebelum menghadiri pertunjukan fesyen dari Prada, BOSS dan Onitsuka Tiger di Minggu Fesyen Milan pada bulan September berikutnya.

“Menjadi impian saya untuk menghadiri Minggu Fesyen di New York dan Milan yang juga titik permulaan di mana kebanyakan trend dalam industri fesyen dilahirkan.

“Saya amat berbesar hati dan terinspirasi kerana dapat menyaksikan koleksi-koleksi terkini dari Coach, Prada, BOSS dan Onitsuka Tiger secara langsung,” katanya.

Perjalanan fesyen ALVN ini bukan sahaja pencapaian peribadi, bahkan ia juga mampu mengangkat nama baik Malaysia di persada industri kreatif antarabangsa demi menjalin hubungan baik dengan jenama global gergasi dalam dunia fesyen.

“Peluang untuk mewakili Malaysia ini bukan sahaja suatu yang membanggakan, malah saya juga bersyukur kerana berpeluang untuk berjumpa dengan ahli-ahli utama industri fesyen dari serata dunia,” katanya.

Sementara itu, status ALVN sebagai ikon fesyen terbaru dan antara yang paling memberi impak besar di Asia Tenggara, diperkukuhkan lagi apabila dia telah dinobatkan dengan anugerah McM Rising Star dalam kategori Most Promising Fashion Icon 2023 pada majlis yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis anugerah McM ini telah dianjurkan oleh McMillan Woods Global, sebuah badan antarabangsa meliputi firma bebas tempatan dan serantau terdiri daripada akauntan berkelayakan dan penasihat profesional.

“Pengiktirafan dari anugerah McM Woods Global ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan buat saya. Saya berharap agar pencapaian ini dapat memberi inspirasi kepada orang ramai untuk tetap mengejar impian mereka, walaupun ianya dirasakan mustahil apa yang penting adalah keberanian untuk mengambil langkah yang pertama,” katanya.

Pengembaraan global ALVN telah membuka peluang baru untuk beliau bekerjasama dengan ahli muzik dari pelbagai negara.

Terbaru, ALVN telah berkolaborasi bersama komposer-komposer Eropah Simon Reichardt, Felix Eickhoff dan Rene Miller untuk menerbitkan ‘onemorenight’ bersama penyanyi dan komposer sensasi dari Korea Selatan YOUHA.

Kolaborasi istimewa bersama YOUHA ini telah menggemparkan Asia Tenggara, meletakkan lagu mereka itu di dalam posisi carta yg selesa di dalam New Music Friday Playlist di Spotify.

Tidak berhenti setakat itu, ALVN juga telah mengeluarkan ‘need me now’, satu lagu hasil kolaborasi bersama penerbit dari Singapura dan pada masa yang sama, ALVN juga sedang mengusahakan sebuah lagu baharu bersama seorang penerbit dan penulis lirik dari Malaysia yang menetap di Korea Selatan.

Disamping pencapaian yang dirai, ALVN juga terus aktif berkarya menerusi siri audio siar (podcast) video miliknya yang bertajuk ‘R U OK?!’ yang boleh didapati di platform penstriman Apple, Spotify dan juga Youtube.

Siri ini menyentuh lebih dalam berkenaan dengan pergelutan yang dihadapi oleh Generasi Z di era pasca-Covid-19, di mana ia bertujuan untuk memberi manfaat dan inspirasi untuk pendengar mengatasi cabaran yang dihadapi.

Setiap episod dihadiri dengan tetamu jemputan, di mana mereka berkongsi tentang pengalaman hidup dari perspektif masing-masing.

Tiket mampu milik untuk peminat konsert Exist di Borneo

KUALA LUMPUR – Lebih 20 tahun tidak mengadakan konsert di Sabah dan Sarawak, peminat setia kumpulan Exists bakal disajikan dengan konsert hebat daripada kumpulan berkenaan.

Terus mendapat perhatian ramai peminat sejak generasi demi generasi, penganjur acara, Menara Network berbesar hati membawakan mereka dengan acara konsert yang akan diadakan di kedua-dua negeri di Borneo itu.

Pengarah Urusan Menara Network, Dato’ Ab Razif Asmuni berkata, penganjuran Konsert Exists Borneo Tour ini akan mengubat kerinduan peminat kumpulan muzik itu.

“Saya berharap, penganjuran konsert ini dapat menyajikan persembahan dan hiburan terbaik untuk penduduk Sabah dan Sarawak. Lebih menarik, harga tiket yang ditawarkan juga adalah  harga mampu milik.

“Saya juga berharap agar penganjuran konsert ini dapat mengubat kerinduan peminat Exists di kedua-dua negeri itu yang sudah menantikan kehadiran mereka,” katanya.

Konsert Exists Borneo Tour di kedua-dua negeri ini juga bakal menyaksikan anggota-anggota kumpulan ini iaitu Ezad Lazim, Ajai, Along, Ujang dan Musa menggegarkan pentas acara di keduadua negeri.

Lebih menarik, akan ada kejutan di mana, beberapa lagu Exists akan diberi sentuhan nafas baharu.

Tidak hanya konsert, peminat dan pengunjung juga dapat berkunjung ke acara karnival yang akan berlangsung selama tiga hari di lokasi acara.

Teruja dengan peluang yang diberikan oleh penganjur, vokalis Exists, Ezad berkata, mereka sudah lama menyimpan hasrat mementaskan konsert di Sabah dan Sarawak.

“Saya tidak ingat bila kali terakhir buat konsert di Sabah atau Sarawak, rasanya sudah lebih 20 tahun.

“Kalau pergi seorang dan persembahan kecil memang pernah, namun konsert berskala besar seperti ini sudah lama tiada. Kesempatan ini membuatkan kami sangat teruja.

“Apabila dapat peluang sebegini, kami perlu ambil. Kami mahu jumpa peminat. Mereka sudah lama menantikan kehadiran kami di Borneo.

“Saya berharap semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan,” katanya pada sidang media Exists Borneo Tour yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert Exists Borneo Tour di Sarawak akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo pada 17 Disember, manakala Konsert Exists Borneo Tour di Sabah akan dipentaskan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 30 Disember depan.

Tiket berharga RM77 hingga RM238 boleh didapati di www.ticket2u.com.