editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Keberkatan bulan Ramadan dimanfaatkan sepenuhnya oleh program bual bicara Borak SeeNI apabila sekali lagi turun padang menyantuni golongan asnaf dan gelandangan menerusi inisiatif kebajikan Bantu SeeNI yang diadakan di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.
Memasuki tahun kedua penganjuran, program itu terus komited membantu golongan memerlukan dengan kerjasama Yayasan JCorp yang turut serta mengagihkan makanan berbuka puasa kepada masyarakat setempat.
Inisiatif ini bertujuan meringankan beban golongan asnaf dan gelandangan selain berkongsi rezeki sempena bulan yang penuh keberkatan.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Jejak Jalanan, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif membantu golongan gelandangan di ibu kota.
Aktiviti pengagihan makanan berbuka puasa diadakan di kawasan tempat letak kereta di Chow Kit dengan lebih 250 penerima hadir sejak jam 6 petang untuk mendapatkan juadah berbuka.
Antara makanan yang diagihkan termasuk nasi putih ayam goreng kunyit, nasi lemak ayam berempah, mini roti john, kuih talam, aiskrim dan minuman.

Kru Borak SeeNI bersama kakitangan Yayasan JCorp turut meluangkan masa berbuka puasa bersama golongan terbabit sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di bawah khemah yang disediakan.
Selain pengagihan makanan berbuka, Yayasan JCorp turut menyampaikan beg cenderahati yang mengandungi makanan kering dan kit penjagaan diri kepada penerima.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp, Mizan Yahya kepada golongan asnaf dan gelandangan yang hadir.
Dalam masa sama, Yayasan JCorp turut menyampaikan sumbangan tunai kepada Pertubuhan Jejak Jalanan yang diwakili oleh aktivis masyarakat Mohd Azhan Mohd Adnan, yang lebih dikenali sebagai Abbe Hae.
Beliau telah aktif membantu golongan gelandangan di kawasan Chow Kit sejak tahun 2021 dengan memberi tumpuan kepada bantuan pendidikan dan kebajikan kepada kanak-kanak daripada keluarga asnaf.
Program turut dihadiri Naib Presiden Pembangunan Komersial, Perniagaan Digital Astro, Norashikin Habibur Rahman bersama pengacara Borak SeeNI iaitu Nazrief Nazri dan Muhsin Nadzli.
Menurut Norashikin, penganjuran Bantu SeeNI merupakan sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyemai semangat keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
“Inisiatif ini diharap dapat memupuk semangat kebersamaan dalam membantu golongan kurang bernasib baik.
“Bantu SeeNI menjadi medium kepada kami di Borak SeeNI untuk menyantuni mereka yang memerlukan.
“Kami juga menyokong usaha Abbe Hae yang tidak pernah putus asa membantu kanak-kanak asnaf dan gelandangan di sini melalui pendidikan agar mereka dapat meningkatkan taraf kehidupan serta memutuskan rantaian kemiskinan,” katanya.

Selepas berbuka puasa dan solat Maghrib, program diteruskan dengan solat Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah.
Suasana kemudiannya dimeriahkan dengan jamuan moreh yang menyediakan hidangan seperti putu mayam dan ayam goreng KFC yang menceriakan kanak-kanak serta penerima yang hadir.
Program Bantu SeeNI turut mendapat sokongan daripada para sukarelawan Yayasan JCorp, KPJ Healthcare dan Pertubuhan Jejak Jalanan, selain penglibatan penaja makanan seperti Mommypuff, Hotel Maya Kuala Lumpur, Jom Jariah Ramadan IKAT, Reetz Roti John, Kak Tie Talam Gedik dan Haziq Food Industries yang membantu dalam penyediaan serta pengagihan makanan.
Penganjuran program kebajikan seperti ini secara tidak langsung memperkukuhkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik sepanjang bulan Ramadan.

