26.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 24, 2026

Iftar AMal santuni 240 pelajar, Yayasan dan koperasi perkukuh perpaduan nasional

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Yayasan Global Mesra (YGM) dengan kerjasama Yayasan Muhibah Malaysia (YMM) serta Koperasi Khazanah Usahawan Berhad (KO-KHAWAN) menyantuni 240 pelajar daripada Program Asrama Malaysia (AMal) menerusi penganjuran Iftar yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur.

Program itu menjadi platform penting dalam menyemai nilai perpaduan dalam kalangan pelajar berbilang kaum dan agama, selaras dengan matlamat AMal yang menitikberatkan integrasi sosial sejak di peringkat pendidikan.

Dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan, majlis ini bukan sekadar acara berbuka puasa, malah berperanan sebagai ruang memperkukuh semangat kebersamaan, toleransi dan saling menghormati.

Pelajar yang hadir turut berpeluang menikmati pengalaman berbuka puasa dalam suasana harmoni, khususnya bagi mereka yang berjauhan daripada keluarga.

Penglibatan pelajar Islam dan bukan Islam dalam satu majlis yang sama mencerminkan keunikan masyarakat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian, sekali gus menyumbang kepada pembentukan sahsiah yang seimbang dari aspek emosi dan kerohanian.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran isteri Menteri Pertahanan Malaysia, Datin Seri Rosni Omar; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Dato’ Sri Hasbullah Mohd Ali; serta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’Shaharuddin Abu Sohot.

Turut hadir wakil Pejabat Perdana Menteri; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Sharil Shariff; Pengasas Yayasan Global Mesra, Dato’ Haji Mohd Nasir Mohd Rashid; Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Sri Dr Rosmariza Dato’ Che Omar; Pengerusi Yayasan Muhibah Malaysia, Lim Ye Han; serta Pengerusi Koperasi Khazanah Usahawan Berhad, Dato’ Eng Yee Koon.

Dalam ucapannya, Eng Yee Koon berkata, bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk memperkukuh nilai kemanusiaan seperti kasih sayang, ihsan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat majmuk.

“Penganjuran majlis seumpama ini mampu merapatkan jurang antara kaum sekali gus menyemai semangat perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan generasi muda.

“Interaksi antara pelajar daripada pelbagai latar belakang yang berkongsi juadah di meja yang sama menjadi simbol keharmonian negara.

“Pengalaman ini penting dalam membentuk generasi muda yang memahami nilai toleransi serta menghargai kepelbagaian budaya sejak usia awal,” katanya.

Tambah beliau lagi, semangat Ramadan yang diraikan melalui program ini turut menjadi jambatan kepada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menekankan nilai kemaafan, kesyukuran dan kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat.

Sementara itu, Mohd Nasir berkata, kerjasama antara organisasi dalam penganjuran program berkenaan membuktikan bahawa usaha kebajikan mampu dilaksanakan secara kolektif tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Fokus utama inisiatif ini adalah untuk menyokong pendidikan serta kebajikan anak-anak Malaysia, di samping membantu mereka menjauhi gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah.

“Program ini adalah hasil sumbangan dalaman daripada rangkaian usahawan yang terbabit dan tidak melibatkan kutipan derma daripada orang awam,” katanya.

Dalam pada itu, pihak penganjur akan memberikan komitmen berterusan untuk memperluas pelaksanaan program seumpama ini sebagai usaha memperkasa perpaduan nasional serta kebajikan pelajar.

Pendekatan inklusif yang membabitkan pelbagai pihak dilihat sebagai elemen penting dalam membina masyarakat yang lebih harmoni dan bersatu padu.

Inisiatif seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih inklusif serta memperkukuh asas perpaduan negara.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular