27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 2, 2026
Home Blog Page 173

‘Segalanya Felda’ meriahkan lagi Sambutan Hari Peneroka FELDA 2024

editormaxinfo@gmail.com

SERDANG – Meraikan Sambutan Hari Peneroka FELDA 2024, ia dimeriahkan lagi dengan pelancaran lagu khas bertajuk “Segalanya FELDA” yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Lagu hasil ciptaan, lirik, dan nyanyian oleh Yabang Khalifah itu dipersembahkan secara duet bersama Ayie Lantana dan diiringi oleh Kumpulan Koir FELDA.

Lagu “Segalanya Felda” dihasilkan dengan penuh makna, mengisahkan perjuangan peneroka Felda dari awal penubuhan hingga kini.

Lirik lagu ini menggambarkan semangat dan dedikasi peneroka dalam mengharungi cabaran untuk mencapai kejayaan yang dikecapi hari ini.

Sebagai pencipta dan penyanyi, Yabang berjaya menyampaikan emosi dan jiwa peneroka melalui lirik dan melodi yang menyentuh hati.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam ucapannya berkata, lagu ini adalah penghormatan kepada bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, yang banyak berjasa dalam memulihkan dan membangunkan Felda.

“Lagu ini juga mencerminkan transformasi Felda dari perspektif sawit dan getah kepada kehidupan peneroka yang kini lebih maju dan berkembang.

“Felda kini bukan dilihat dari segi perspektif sawit atau getah tetapi kehidupan peneroka yang sudah berkembang dengan jumlahnya mencecah sehingga tiga juta orang secara keseluruhannya,” katanya pada majlis pelancaran lagu berkenaan, semalam.

Turu hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengurusan Tertinggi FELDA, Kumpulan FELDA, Sekretariat, dan Ketua Setiap Kluster Hari Peneroka FELDA 2024 serta Kumpulan Exist yang terdiri daripada Ezad, Along, Ajai, dan Musa.

Persembahan “Segalanya Felda” yang disampaikan secara langsung oleh Yabang dan Ayie Lantana, diiringi oleh Kumpulan Koir Felda, berjaya memukau hadirin dengan gabungan vokal yang mantap dan harmonis.

Lagu ini mendapat sambutan hangat daripada hadirin yang terdiri daripada warga Felda dan tetamu jemputan, yang turut sama merasai semangat dan kebanggaan menjadi sebahagian daripada keluarga besar Felda.

“Segalanya Felda” bukan sahaja menjadi simbolik kepada semangat dan kesatuan warga Felda, tetapi juga sebagai satu cara untuk mengenang dan menghargai sumbangan besar peneroka dalam membangunkan negara.

Lagu ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda Felda untuk terus berusaha dan berbakti kepada masyarakat dan negara.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, sambutan Hari Peneroka FELDA 2024 akan berlangsung selama tiga hari bermula esok, Jumaat dan dijangka menghimpunkan seramai 500,000 peneroka dan pengunjung dari seluruh tanah rancangan.

“Pelbagai program dan pameran telah diatur sepanjang tempoh terbabit, termasuk Felda Berselawat, Semarak Subuh, pameran 317 makanan seluruh rancangan, karnival pendidikan dan kerjaya, serta Himpunan Dua Roda yang membabitkan 50,000 peserta dan berpotensi memecahkan rekod Malaysia Book Of Records (MBOR),” katanya.

Penonton akan disajikan dengan persembahan nyanyian oleh artis-artis anak kelahiran Felda, termasuk konsert pada malam terakhir yang menampilkan Mawi, Siti Nordiana, Exists, dan band terkenal dari Indonesia, Ungu.

Sambutan Hari Peneroka FELDA tahun ini mendapat sokongan daripada 12 kementerian, agensi, dan rakan strategik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka merasmikan acara ini pada 14 Julai. Hari Peneroka yang jatuh pada 7 Julai setiap tahun, adalah penghormatan kepada peneroka FELDA yang telah menyumbang kepada pembangunan negara hampir 70 tahun lamanya.

Dengan pelancaran lagu ini, sambutan Hari Peneroka FELDA 2024 bertambah meriah dan bermakna, mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan dan semangat.

Pasangan pempengaruh sudah kutip derma RM3 juta sejak tahun 2020

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pasangan suami isteri pempengaruh yang direman kerana disyaki menyeleweng dana derma awam didakwa terbabit dalam aktiviti itu sejak tahun 2020.

Menurut sumber, suspek dipercayai sudah mengutip derma dianggarkan mencecah RM3 juta.

“Suspek yang juga pasangan suami isteri dipercayai melakukan perbuatan terbabit sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan cara betul.

“Dianggarkan kutipan derma terbabit mencecah kira-kira RM3 juta dan siasatan masih di peringkat awal,” katanya.

Sumber itu berkata, dua suspek lain turut ditahan bersama pasangan suami isteri itu kerana disyaki terbabit dalam kes sama.

Pasangan suami isteri bersama dua lelaki itu berusia antara 20 hingga 30-an kini direman empat hari hingga Ahad bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Terdahulu, mereka ditahan antara jam 6.30 petang hingga 11 malam tadi selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Anjur program Pemantapan Solat dan Klinik Fatihah, YWP harap terus melahirkan generasi yang berkualiti

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR- Terus berusaha dalam membantu memberikan pendidikan yang terbaik terutamanya buat anak-anak golongan B40, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menganjurkan Program Pemantapan Solat dan Klinik Fatihah bagi pelajar terpilih tahun 5 dan 6 daripada kesemua sekolah rendah di Kuala Lumpur.

Pengurus Kanan Pembangunan Komuniti dan Komunikasi Strategik YWP, Datin Ts. Dr. Ida Harlina Ikhwan Nasir berkata, program itu bagi membantu pelajar dalam memantapkan bacaan dan amalan mereka dalam mengerjakan solat.

“Penganjuran ini dijangka akan mengurangkan kesalahan dan kesilapan tradisi pembacaan al-Fatihah terutama di kalangan golongan muda.

“Melalui sesi Pemantapan Solat pula, ia diharap dapat memberikan kesedaran agar solat 5 waktu mereka lebih sempurna,” katanya pada majlis pelancaran program berkenaan yang diadakan bagi daerah Pudu.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia WP Kuala Lumpur (IKPIM WPKL)  Puan Seri Hanifat Harun yang juga rakan penganjur serta Pengerusi Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Taman Maluri, Datuk Kamaruddin Mohamed Shah.

Sebanyak empat program turut dilaksanakan mengikut daerah Pendidikan di Kuala Lumpur selain Pudu tiga lagi di daerah Sentul, Keramat dan Bangsar.

Setiap program dihadiri lebih 200 peserta terdiri daripada murid-murid dan guru pengiring.

Penerangan dan amali bermula daripada doa, wudhu dan kesempurnaannya sehingga selesai rukun solat.

Sesi ini memberi penekanan dalam menyempurnakan bacaan Al-Fatihah dalam Solat, melalui pembentangan digital dan peserta kemudian dibahagikan kepada kumpulan diketuai oleh Pembimbing yang akan membuat penilaian individu.

Program Pemantapan Solat dan Klinik Fatihah ini dianjurkan bersama oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Kuala Lumpur (LKPIM WPKL) dengan Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur (JPWPKL), YWP dan Majlis Agama Islam WP (MAIWP).

Turut menjadi rakan strategik program itu adalah Pergerakan Puteri Islam Malaysia WPKL, Kumpulan Pengajian Al-Quran Mengejar Cinta Illahi (MCI) dan Tenaga Pembimbing Tajwid Akademi Yayasan Nasyrul Quran Putrajaya.

LKPIM WPKL adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program dan aktiviti membabitkan pergerakan komuniti wanita Islam, dengan berperanan untuk menerapkan nilai-nilai Islam di kalangan wanita dan keluarga.

Ini menuju ke arah satu masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia, maju dan berbakti kepada masyarakat.

Afgan, Lyodra meriahkan Kuala Lumpur dengan konsert epik istimewa September ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pasangan ‘Ada’ yang sedang ‘top’ dari negara seberang, Afgan dan Lyodra, bakal menghiburkan peminat-peminat kesayangan mereka di Malaysia dalam sebuah konsert yang epik berjudul ‘Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur’ pada 28 September ini bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur.

Dibawakan khas oleh Kharisma Music, konsert ini turut mendapat kerjasama daripada jenama kosmetik terkenal tanah air, Alha Alfa, dan penganjur bersama, Intan Gelombang serta Futurace.

Setakat ini, segala-galanya masih lagi teka-teki dan segala persoalan bakal terjawab dalam sebuah sidang media khas yang bakal diadakan pada Ogos nanti.

Jualan tiket sudahpun bermula semalam di laman web www.ticket2u.com.my/afganlyodra.

Kesemua kategori-kategori tiket adalah berdasarkan tempat duduk yang bernombor dan pembeli berhak memilih kategori tiket yang dikehendaki.

Manakala tempat duduk terbaik bagi kategori yang dipilih akan dikhaskan buat pembeli.

Buat pembeli awal di antara tarikh 10 hingga 11 Julai, penonton akan mendapat harga istimewa seperti ‘early bird’ ditawarkan seperti kategori-kategori berikut iaitu Pesan Terakhir (RM258, harga biasa RM358), Escape (RM338, harga biasa RM438), Sang Dewi (RM458, harga biasa RM558), Panah Asmara (RM488, harga biasa RM588), Ada VIP (RM588, harga biasa RM688) dan Ada VVIP (RM1,288, harga biasa RM1,488).

Istimewanya buat pembeli kategori tiket Ada VVIP, anda berpeluang ke sesi ‘meet & greet’ dan bakal menerima barangan rasmi konsert seperti lanyard, dan juga sajian makanan serta minuman ringan.

Global Relief Team buka cawangan di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Terus berusaha dalam membantu dengan misi kemanusiaannya, Global Relief Team Berhad (GRT) membuka cawangan di Malaysia.

Sudahpun beroperasi sejak enam bulan, pelbagai aktiviti sudah di atur bagi melancarkan segala urusan berkaitan di sini.

Pemegang Amanah di Malaysia, Ruslina Abdul Rani berkata, GRT Malaysia komited untuk mengembangkan usaha kemanusiaannya ke seluruh negara, memfokuskan pada penyediaan sokongan penting dalam bidang makanan, air, pakaian dan peralatan perubatan.

“Menyedari keperluan mendesak komuniti terdedah di seluruh Malaysia, GRT Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan program jangkauannya untuk memastikan keperluan asas sampai kepada mereka yang paling memerlukan.

“Melalui perkongsian strategik dengan organisasi dan komuniti tempatan, GRT Malaysia akan memperhebat saluran pengedarannya untuk memaksimumkan usaha dan bantuannya.

“Insya-Allah, Kami akan membantu ibu tunggal, golongan miskin, individu yang memerlukan makanan, anak yatim, masyarakat orang asli (Orang Asli), dan memberikan bantuan sekiranya berlaku sebarang bencana alam,” katanya.

Sementara itu, Pengasas GRT, Syaheed Ur Rahman berkata, GRT yang mula ditubuhkan sejak tahun 2009 terus komited dalam membantu golongan yang memerlukan di seluruh dunia.

“Kami berusaha melakukan kerja amal dan menghabiskan beberapa tahun dengan menyokong pelbagai kempen dan rayuan di seluruh dunia.

“Segala usaha dan GRT terwujud apabila kami melalui sendiri pengalaman dan melihat keadaan yang berlaku.

“Kami bersyukur apabila GRT telah berjaya melakukan kerjasama dan misi kemanusiaan di beberapa negara seperti Bangladesh, Yaman, Burundi, Syria, Lubnan, Pakistan, Kashmir dan dengan pelarian Rohingya.

“GRT telah menyediakan keperluan penting seperti makanan, air, pakaian, peralatan perubatan, pendidikan serta membangunkan projek yang mampan,” katanya.

Siri HONOR 200 yang dikuasakan AI milik anda secara percuma melalui pelan telco terpilih

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Siri HONOR 200 yang dilancarkan baru-baru ini tersedia dalam dua versi iaitu HONOR 200 Pro dan HONOR 200.

Dua peranti ini juga boleh dimiliki menerusi pelan pascabayar menarik daripada rakan telco CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan Yes. Orang ramai juga boleh mendapatkan telefon pintar Flagship Estetik AI secara percuma dengan pelan terpilih.

Dijual pada harga bermula daripada RM1,899, Siri HONOR 200 adalah peranti dengan nilai yang amat berbaloi, menawarkan keupayaan fotografi bertaraf studio, pengalaman Magic AI intuitif yang dipertingkatkan dan berkuasa dengan spesifikasi yang mesra bajet. Berikut pakej pascabayar daripada rakan telco.

Dapatkan HONOR 200 pada hanya RM1

CelcomDigi menawarkan HONOR 200 pada harga serendah RM1 sebulan, manakala HONOR 200 Pro tersedia mulai RM10 sebulan dengan pembayaran mudah Easy360. Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman sesawang rasmi CelcomDigi.

Dapatkan Siri HONOR 200 Dengan Pelan Maxis Postpaid 109 

Dengan pelan Maxis Postpaid 109, HONOR 200 Pro boleh dimiliki dengan harga daripada RM90 sebulan. Bagi HONOR 200 pula, peranti ini tersedia pada harga lebih berpatutan iaitu RM70 sebulan melalui pelan sama. Untuk maklumat lanjut mengenai pelan Siri HONOR 200, sila layari laman sesawang rasmi Maxis.


Miliki Siri HONOR 200 daripada RM49 sebulan dengan U Mobile hari ini

Bawa pulang HONOR 200 Pro pada harga serendah RM66 sebulan, dan hanya RM49 sebulan untuk HONOR 200 secara eksklusif dengan U PayLater.

Nikmati ansuran 0 peratus dengan Data Berkelajuan Tinggi 5G sehingga ke 1,000GB dan Perayauan Global Percuma di 63 destinasi di seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran ini, layari laman sesawang rasmi U Mobile.

Bawa pulang HONOR 200 secara PERCUMA dengan pelan pascabayar Yes Infinite+ Premium Postpaid!

Sementara itu, Yes 5G menawarkan HONOR 200 Pro pada harga yang amat menarik iaitu hanya RM20 sebulan dengan pelan pascabayar Yes Infinite+ Premium 118 Postpaid.

Bukan itu sahaja, peranti HONOR 200 juga boleh menjadi milik anda secara PERCUMA dengan pelan sama! Harga-harga hebat ini hanya sah untuk kontrak selama 36 bulan. Kunjungi laman sesawang rasmi Yes sekarang untuk maklumat lanjut mengenai pelan menarik ini.

Siri HONOR 200 – Pengalaman yang dikuasakan AI dengan keupayaan fotografi potret bertaraf studio

Menampilkan keupayaan fotografi potret mengagumkan yang memanfaatkan HONOR AI Portrait Engine baharu, Siri HONOR 200 membolehkan pengguna untuk menangkap gambar bertaraf studio dengan hanya menekan butang.

Untuk menggunakan kuasa HONOR AI Portrait Engine, Siri HONOR 200 disepadukan dengan Kamera Utama 50MP, Kamera Telefoto 50MP dengan Sensor Sony IMX586 berserta Ultra Lebar 12MP dan Kamera Makro. HONOR 200 Pro menampilkan Sensor Kamera Utama H9000 1/1.3 inci, manakala model Standard dilengkapi Sensor Sony IMX906.

Siri HONOR 200 menggabungkan perkakasan pengimejan yang berkuasa dengan pengalaman pengguna secara intuitif menerusi pengalaman Magic AI yang meningkatkan kualiti imej serta menawarkan ciri-ciri seperti AI Natural Tone 2.0 untuk paparan optimum, dan AI Motion Sensing Capture bagi menangkap gambar subjek bergerak pantas dengan lebih jelas. Bagi melengkapkan pemerkasaan AI ini, ciri-ciri seperti Portal, Magic Capsule, Blur Privacy Info, Smart Folder dan AI Air Gestures juga tersedia.

HONOR 200 Pro ini dikuasakan dengan prosesor mudah alih Qualcomm Snapdragon 8s Gen3 yang dipertingkatkan dengan cip termaju unik HONOR C1+RF serta disesuaikan dengan paparan Floating AMOLED Quad-curved 6.78 inci yang besar.

Bagi model HONOR 200 pula, ia dilengkapi dengan prosesor Snapdragon 7 Gen 3 dan paparan Floating AMOLED Quad-curved 6.7 inci. Kedua-dua paparan ini memiliki pensijilan TÜV Rheinland Flicker Free Display Certification dan pensijilan TÜV Rheinland Full Care Display Certification.

Untuk jangka hayat bateri yang bertahan sepanjang hari, Siri HONOR 200 ini memuatkan bateri Karbon Silikon 5,200mAh dengan teknologi pengecas berwayar 100W Wired HONOR SuperCharge. Bagi model Pro, ia didatangkan dengan keupayaan tambahan iaitu pengecasan wayarles 66W Wireless HONOR SuperCharge Wireless.

HONOR 200 Pro berharga RM2,699 dan menampilkan konfigurasi penstoran 12GB RAM + 512GB. Peranti ini didatangi dalam dua warna menarik Ocean Cyan dan Moonlight White. HONOR 200 pula ditawarkan dalam pilihan warna Coral Pink, Moonlight White dan Black dengan varian penstoran 12GB RAM + 512GB pada harga RM2,199, manakala varian penstoran 12GB RAM + 256GB pada harga RM1,899.

Insiden kapal karam: 10 kru termasuk kapten diselamatkan Maritim Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

TANJUNG RHU – Seramai 10 kru termasuk kapten Kapal MV KUM JIN terselamat selepas kapal berkenaan karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 3.35 pagi, 10 kru termasuk kapten kapal sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan berikutan kebocoran yang tidak dapat diatasi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, maklumat berhubung kapal karam itu diterima melalui panggilan daripada VTMS Klang kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru.

“Sebuah kapal MV KUM JIN telah mengalami kebocoran di bahagian hadapan ballast tank sebelah kiri yang agak teruk.

“Dalam insiden itu BOT PERKASA 36 Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi walaupun dalam cuaca buruk.

“Setiba di lokasi, pasukan bot ronda Maritim Malaysia mendapati, kapal MV KUM JIN dalam keadaan tidak stabil dan kesemua kru dan kapten kapal sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, anggota Maritim Malaysia telah membantu memindahkan kesemua kru termasuk kapten ke atas BOT PERKASA 36, sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan.

“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengenalan diri, kapten kapal adalah seorang warga Indonesia berusia 53 tahun.

“Manakala kru kapal lain adalah warga Indonesia dan Myanmar berusia 19 hingga 50 tahun, mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit yang sah,” katanya.

Maritim Malaysia ingin menasihati orang ramai terutamanya komuniti maritim agar sentiasa cakna dengan perubahan cuaca dan aspek keselamatan di laut.

Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 / Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03-89957820 untuk maklum balas segera.

Raikan cinta suci dan ketaatan dalam ‘Zamzam’ oleh Hafiz Hamidun

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – “Zamzam” adalah sebuah karya muzik yang mendalam oleh Hafiz Hamidun yang menyelami tema keimanan, kesetiaan, dan pengabdian kepada agama.

Lagu ini mengambil inspirasi dari kepentingan sejarah dan agama dari kisah telaga Zamzam, sumber air suci dalam Islam di Mekah.

Umat Islam meyakini bahawa telaga ini dicipta secara ajaib oleh Allah untuk memberi air kepada salah seorang isteri Nabi Ibrahim A.S. iaitu Siti Hajar dan anaknya Ismail di padang pasir yang tandus, sebuah kisah yang melambangkan kepercayaan kepada rezeki Allah dan kuasa iman.

Lirik “Zamzam,” yang dicipta oleh ITO Lara secara puitis menceritakan kisah abadi Siti Hajar dan Nabi Ibrahim dalam perjalanan mereka yang penuh keimanan dan ketaatan kepada Allah.

Lagu ini membuka dengan gambaran hidup kisah jemaah, yang bermula dari Safa. Ketika kaki jemaah menyentuh tanah suci, kenangan tentang kesetiaan Siti Hajar dan cintanya kepada suaminya, Ibrahim, muncul dan mengingatkan, tentang pengabdian akhirnya kepada kehendak Allah.

Lagu ini juga menggambarkan perjalanan penuh emosi mendaki bukit-bukit Marwah, yang mencerminkan pencarian tanpa henti Hajar dalam menemui air untuk memuaskan dahaga anaknya Ismail.

Peristiwa ini berulang tujuh kali, atau dikenali sebagai sa’i, di antara Safa dan Marwah yang diungkapkan dengan indah dalam lirik, sambil melambangkan ketekunan dan harapan.

Kelegaan air Zamzam yang sejuk, yang akhirnya ditemui oleh Hajar, digambarkan sebagai penawar fizikal dan ketenangan rohani mendalam yang meresapi jiwa pendengar.

Korus “Zamzam” adalah simbol yang kuat sepanjang lagu. Ini adalah bukti kesetiaan Hajar, kesediaannya ditinggalkan sendirian di padang pasir yang luas, dan imannya yang akhirnya berserah kepada rezeki Allah.

Pengulangan “Zamzam” dalam lagu mencerminkan putaran ulangan proses sa’i antara Safa dan Marwah, yang juga melambangkan pencarian iman serta petunjuk Ilahi yang berterusan.

Lagu ini juga menyentuh sifat abadi air Zamzam, menggambarkannya sebagai sumber Ilahi yang tak berkesudahan dan terus mengalir dari syurga.

Imej ini menguatkan gagasan bahawa iman sejati dan berkat syurga adalah abadi serta tiada batasan.

Lebih dari itu, “Zamzam” juga menyentuh emosi serta melambangkan cubaan kemanusiaan abadi yang dihadapi Hajar, dalam menggambarkan kisah keberanian dan ketahanannya yang luar biasa.

Rujukan tentang rasa iri hati dan emosi di hati wanita pula menegaskan aspek-aspek yang dapat difahami dari pengalamannya, sekaligus menjadikan kisahnya bukan hanya sebuah anekdot agama tetapi juga saksi kekuatan dan iman yang dirasai semua orang.

Ulangan korus mencerminkan kepentingan simbolik Zamzam, yang menekankan kebersihannya dan kebijaksanaan mendalam.

Tema berulang tentang air Zamzam sebagai sumber yang jernih dan abadi dari syurga mengingatkan kita akan rahmat Ilahi dan sifatnya yang kekal serta tiada batasan.

Karya Hafiz Hamidun ini adalah perpaduan sebati antara lirik yang menyentuh perasaan serta melodi penuh jiwa yang mengungkap intipati perjalanan keimanan ini.

Interpretasi muziknya memberikan sentuhan kontemporari pada sebuah kisah dari masa lalu, sekaligus menjadikannya bukan hanya peristiwa bersejarah tetapi juga ilham hidup yang dapat dicapai dan dirasai pendengar masa kini.

Secara keseluruhan, “Zamzam” lebih dari sekadar sebuah lagu; ini adalah perjalanan keimanan yang mengundang pendengar untuk merenungkan iman mereka dan kebajikan abadi seperti kesetiaan, ketaatan, dan kepercayaan pada Ilahi.

Hafiz Hamidun berjaya menyulam kisah yang melampaui waktu, di samping menceritakan pengalaman mendalam dan membangkitkan semangat melalui kekuatan muzik.

Sudahpun dilancarkan sejak 5 Julai lalu, “Zamzam” boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Selepas 7 tahun, lagu Chentaku meletop dengan jumlah tontonan 1 billion di TikTok

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun dikeluarkan, lagu Chentaku nyanyian Zizan Razak bersama SonaOne terbitan Rocketfuel Entertainment telah berjaya meraih 1 billion tontonan di TikTok.

Lagu yang turut mendapat sentuhan Joe Flizzow ini juga telah tular sehingga menjadi trending pada laman media sosial berkenaan.

Menerusi perkongsian di laman sosial instagram Rocketfuel Entertainment, Zizan menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana lagu ini berjaya menambat hati peminat tanpa mengira latar belakang dan golongan biarpun sudah beberapa tahun dilancarkan.

“Walaupun dah bertahun-tahun lamanya, lagu Chentaku masih lagi relevan dan ianya diterima tak kira umur dan golongan.

“Terima kasih kepada semua yang telah menghasilkan kandungan dengan menggunakan lagu Chentaku sehingga berjaya meraih 1 Billion tontonan.

“Ini adalah satu angka yang sangat besar,” katanya.

Disamping itu, menerusi laman Instagram, Rocketfuel Entertainment turut berkongsi potongan klip video TikTok ‘influencer’ dan selebriti yang turut menggunakan lagu Chentaku dalam video mereka.

Antara yang menggunakan lagu itu ialah Mimi Lana, Syafiq Kyle, Merqeen, Leona, Imranbard, Sherry Alhadad, Nabila Razali malah Alan Walker dan ramai lagi.

Dalam masa yang sama, video lirik lagu ini juga sudah menghampiri 10 juta tontonan pada saluran YouTube Rocketfuel Network selepas 7 tahun dilancarkan.

Chentaku dilancarkan pada tahun 2017 dan ianya mengisahkan seorang jejaka yang telah jatuh cinta pandang pertama dan berusaha untuk mendekati gadis terbabit.

Bagaimanapun, cinta itu hanya dari jauh dan rasa malu menyelubungi diri masing-masing tatkala pertama kali bertemu.

Lagu ini telah dicipta oleh SonaOne dan Joe Flizzow bertindak sebagai penerbit eksekutif. Lirik lagu ini pula telah ditulis sendiri oleh Zizan Razak bersama Joe Flizzow.

Terus strim lagu Chentaku di semua digital platform seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music serta terus menghasilkan kandungan video pada TikTok dan Instagram Reels.