editormaxinfo@gmail.com
TANJUNG RHU – Seramai 10 kru termasuk kapten Kapal MV KUM JIN terselamat selepas kapal berkenaan karam di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Tanjung Rhu dekat sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 3.35 pagi, 10 kru termasuk kapten kapal sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan berikutan kebocoran yang tidak dapat diatasi.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, maklumat berhubung kapal karam itu diterima melalui panggilan daripada VTMS Klang kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru.
“Sebuah kapal MV KUM JIN telah mengalami kebocoran di bahagian hadapan ballast tank sebelah kiri yang agak teruk.
“Dalam insiden itu BOT PERKASA 36 Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi walaupun dalam cuaca buruk.

“Setiba di lokasi, pasukan bot ronda Maritim Malaysia mendapati, kapal MV KUM JIN dalam keadaan tidak stabil dan kesemua kru dan kapten kapal sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota Maritim Malaysia telah membantu memindahkan kesemua kru termasuk kapten ke atas BOT PERKASA 36, sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan.
“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengenalan diri, kapten kapal adalah seorang warga Indonesia berusia 53 tahun.
“Manakala kru kapal lain adalah warga Indonesia dan Myanmar berusia 19 hingga 50 tahun, mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit yang sah,” katanya.

Maritim Malaysia ingin menasihati orang ramai terutamanya komuniti maritim agar sentiasa cakna dengan perubahan cuaca dan aspek keselamatan di laut.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 / Pusat Operasi Maritim Malaysia di talian 03-89957820 untuk maklum balas segera.

