editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR- Terus berusaha dalam membantu memberikan pendidikan yang terbaik terutamanya buat anak-anak golongan B40, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) menganjurkan Program Pemantapan Solat dan Klinik Fatihah bagi pelajar terpilih tahun 5 dan 6 daripada kesemua sekolah rendah di Kuala Lumpur.
Pengurus Kanan Pembangunan Komuniti dan Komunikasi Strategik YWP, Datin Ts. Dr. Ida Harlina Ikhwan Nasir berkata, program itu bagi membantu pelajar dalam memantapkan bacaan dan amalan mereka dalam mengerjakan solat.

“Penganjuran ini dijangka akan mengurangkan kesalahan dan kesilapan tradisi pembacaan al-Fatihah terutama di kalangan golongan muda.
“Melalui sesi Pemantapan Solat pula, ia diharap dapat memberikan kesedaran agar solat 5 waktu mereka lebih sempurna,” katanya pada majlis pelancaran program berkenaan yang diadakan bagi daerah Pudu.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia WP Kuala Lumpur (IKPIM WPKL) Puan Seri Hanifat Harun yang juga rakan penganjur serta Pengerusi Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Taman Maluri, Datuk Kamaruddin Mohamed Shah.

Sebanyak empat program turut dilaksanakan mengikut daerah Pendidikan di Kuala Lumpur selain Pudu tiga lagi di daerah Sentul, Keramat dan Bangsar.
Setiap program dihadiri lebih 200 peserta terdiri daripada murid-murid dan guru pengiring.
Penerangan dan amali bermula daripada doa, wudhu dan kesempurnaannya sehingga selesai rukun solat.
Sesi ini memberi penekanan dalam menyempurnakan bacaan Al-Fatihah dalam Solat, melalui pembentangan digital dan peserta kemudian dibahagikan kepada kumpulan diketuai oleh Pembimbing yang akan membuat penilaian individu.

Program Pemantapan Solat dan Klinik Fatihah ini dianjurkan bersama oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Kuala Lumpur (LKPIM WPKL) dengan Jabatan Pendidikan WP Kuala Lumpur (JPWPKL), YWP dan Majlis Agama Islam WP (MAIWP).
Turut menjadi rakan strategik program itu adalah Pergerakan Puteri Islam Malaysia WPKL, Kumpulan Pengajian Al-Quran Mengejar Cinta Illahi (MCI) dan Tenaga Pembimbing Tajwid Akademi Yayasan Nasyrul Quran Putrajaya.
LKPIM WPKL adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan program dan aktiviti membabitkan pergerakan komuniti wanita Islam, dengan berperanan untuk menerapkan nilai-nilai Islam di kalangan wanita dan keluarga.
Ini menuju ke arah satu masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia, maju dan berbakti kepada masyarakat.

