27.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, November 18, 2025

‘Segalanya Felda’ meriahkan lagi Sambutan Hari Peneroka FELDA 2024

editormaxinfo@gmail.com

SERDANG – Meraikan Sambutan Hari Peneroka FELDA 2024, ia dimeriahkan lagi dengan pelancaran lagu khas bertajuk “Segalanya FELDA” yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Lagu hasil ciptaan, lirik, dan nyanyian oleh Yabang Khalifah itu dipersembahkan secara duet bersama Ayie Lantana dan diiringi oleh Kumpulan Koir FELDA.

Lagu “Segalanya Felda” dihasilkan dengan penuh makna, mengisahkan perjuangan peneroka Felda dari awal penubuhan hingga kini.

Lirik lagu ini menggambarkan semangat dan dedikasi peneroka dalam mengharungi cabaran untuk mencapai kejayaan yang dikecapi hari ini.

Sebagai pencipta dan penyanyi, Yabang berjaya menyampaikan emosi dan jiwa peneroka melalui lirik dan melodi yang menyentuh hati.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam ucapannya berkata, lagu ini adalah penghormatan kepada bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein, yang banyak berjasa dalam memulihkan dan membangunkan Felda.

“Lagu ini juga mencerminkan transformasi Felda dari perspektif sawit dan getah kepada kehidupan peneroka yang kini lebih maju dan berkembang.

“Felda kini bukan dilihat dari segi perspektif sawit atau getah tetapi kehidupan peneroka yang sudah berkembang dengan jumlahnya mencecah sehingga tiga juta orang secara keseluruhannya,” katanya pada majlis pelancaran lagu berkenaan, semalam.

Turu hadir pada majlis pelancaran itu ialah Pengurusan Tertinggi FELDA, Kumpulan FELDA, Sekretariat, dan Ketua Setiap Kluster Hari Peneroka FELDA 2024 serta Kumpulan Exist yang terdiri daripada Ezad, Along, Ajai, dan Musa.

Persembahan “Segalanya Felda” yang disampaikan secara langsung oleh Yabang dan Ayie Lantana, diiringi oleh Kumpulan Koir Felda, berjaya memukau hadirin dengan gabungan vokal yang mantap dan harmonis.

Lagu ini mendapat sambutan hangat daripada hadirin yang terdiri daripada warga Felda dan tetamu jemputan, yang turut sama merasai semangat dan kebanggaan menjadi sebahagian daripada keluarga besar Felda.

“Segalanya Felda” bukan sahaja menjadi simbolik kepada semangat dan kesatuan warga Felda, tetapi juga sebagai satu cara untuk mengenang dan menghargai sumbangan besar peneroka dalam membangunkan negara.

Lagu ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda Felda untuk terus berusaha dan berbakti kepada masyarakat dan negara.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata, sambutan Hari Peneroka FELDA 2024 akan berlangsung selama tiga hari bermula esok, Jumaat dan dijangka menghimpunkan seramai 500,000 peneroka dan pengunjung dari seluruh tanah rancangan.

“Pelbagai program dan pameran telah diatur sepanjang tempoh terbabit, termasuk Felda Berselawat, Semarak Subuh, pameran 317 makanan seluruh rancangan, karnival pendidikan dan kerjaya, serta Himpunan Dua Roda yang membabitkan 50,000 peserta dan berpotensi memecahkan rekod Malaysia Book Of Records (MBOR),” katanya.

Penonton akan disajikan dengan persembahan nyanyian oleh artis-artis anak kelahiran Felda, termasuk konsert pada malam terakhir yang menampilkan Mawi, Siti Nordiana, Exists, dan band terkenal dari Indonesia, Ungu.

Sambutan Hari Peneroka FELDA tahun ini mendapat sokongan daripada 12 kementerian, agensi, dan rakan strategik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka merasmikan acara ini pada 14 Julai. Hari Peneroka yang jatuh pada 7 Julai setiap tahun, adalah penghormatan kepada peneroka FELDA yang telah menyumbang kepada pembangunan negara hampir 70 tahun lamanya.

Dengan pelancaran lagu ini, sambutan Hari Peneroka FELDA 2024 bertambah meriah dan bermakna, mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan dan semangat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular