29 C
Kuala Lumpur
Friday, June 19, 2026
Home Blog Page 174

Pulang ke masa silam dalam suasana baharu bersama Exists & Masdo, Battle of Time Exists X Masdo bakal cetus gelombang kugiran dua era

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tidak ada yang lebih membangkitkan nostalgia selain kembali ke masa lalu menerusi banyaknya lagu-lagu malar segar yang pernah dihasilkan oleh pengkarya hebat belantika muzik tempatan.

Maka apabila Dennsa dan Sensorhythm dengan sokongan Kementerian Komunikasi bersama Kumpulan My Creative Ventures  menganjurkan Battle of Time Exists X Masdo yang dijadual berlangsung di Dewan Merdeka, WTCKL pada 10 November depan jam 8 malam, ini adalah sebuah pengalaman ‘pulang ke masa silam’ yang tidak harus dilepaskan.

Pemilihan nama Battle of Time sendiri sudah memberi indikasi transisi masa yang pernah dilalui kugiran legenda seperti Exists turut mempengaruhi perjalanan pemuzik-pemuzik generasi kini seperti Masdo.

Apabila kedua-dua nama besar yang telah mencetak kejayaan dan dipuja sehingga ke Indonesia ini bergabung di atas sebuah panggung, maka pengalaman yang akan dinikmati penonton adalah sesuatu yang tidak hanya bersifat hiburan ‘kosong’ sebaliknya akan dipenuhi dengan pengetahuan tambahan tentang hebatnya pengkarya lokal.

“Seperti yang semua sedia maklum Exists adalah sebuah kugiran legenda yang karya mereka telah didengar daripada generasi Millenial kepada generasi Alpha. 

“Lagu-lagu Exists dari Oh Ibu sehingga Julia malah Langkah Seiringin yang telah dihasilkan lebih sedekad lalu kini menjadi trending di Tik Tok. 

“Ini semua menjadi bukti karya Exists tidak mati ditelan zaman dan terus relevan meski era bertukar. Maka itu menjadi sebab utama kami selaku penganjur dengan bangga membawa Exists ke dalam Battle of Time Exists X Masdo.

“Sementara buat Masdo pula tidak dapat disangkal lagi betapa aura muzik yang mereka bawakan telah menimbulkan fenomena dan gelombang tersendiri dalam kalangan penggemar muzik Nusantara.

“Lantas pemilihan Exists dan Masdo menerusi  Battle of Time Exists X Masdo adalah perkahwinan era muzik lama dan baharu yang dibawa lalu disegarkan oleh mereka untuk diperdengarkan,” kata Dewi dari Dennsa selaku penganjur.

Memilih Dewan Merdeka, WTCKL, konsert itu akan menyaksikan kedua-dua kugiran ini tampil bersama untaian hit mereka yang disadur bersama penampilan dan susunan muzik baharu.

“Sebagai kugiran baharu Masdo teruja berkongsi pentas bersama Exists yang mana lagu-lagu mereka selalu menjadi siulan kami di waktu remaja.

“Dengan genre muzik yang sedikit berbeza tetapi tema Battle of Time yang dipilih signifikan bersama Masdo yang pekat aliran pop 60-an,” kata Putu Ceri dari Masdo.

Nikmati Battle of Time Exists X Masdo saat ini dalam suasana lampau dengan membeli kategori tiket dari Dia Pertama (RM159), Lempeng Twist (RM199), Anugerah Hati (RM219), Bunga Cemara (RM299), Teruna Juwita (RM399), Bidadari Pujaanku (RM599) Untukmu Puspita Royal Box (RM789).

Dapatkan tiket-tiket anda melalui myticket.com, Atome.

Zalif digugurkan dari Dang Anum (The Untold Story) dan Cinta Ahmad Mutawakkil

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Berbaki kurang dua minggu, Persatuan Seni dan Budaya Redholah (The Redholah) terpaksa menggugurkan pelakon Zalif Sidek dari dua judul teater yang bakal dipentaskan.

“Kami terpaksa mengambil keputusan ini demi memastikan kelangsungan dan perjalanan dua teater yang masih dalam proses latihan,” kata pengarah, Amirul Haswendy Ashari.

Amirul berkata, The Redholah telah memberi peluang kepada pelakon itu kerana percaya pada bakatnya namun atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, dia diganti dengan pelakon lain.

“Sebelum ini kami menawarkan pelakon itu untuk dua judul teater yakni Teater Cinta Ahmad Mutawakkil (CAM) dan teater Dang Anum (The Untold Story) (DATUS).

“Peluang itu ditawarkan atas dasar kepercayaan sebagai seorang rakan dan dia sendiri beberapa kali beritahu mahu menimba pengalaman bermain di pentas teater,” kata Amirul.

Susulan itu, Amirul telah menghubungi pelakon itu dan dia menerima keputusan pengguguran itu dengan hati terbuka.

“Sebelum ini, kami telah membawa nama Zalif ke peringkat pengurusan Perbadanan Putrajaya dan dipersetujui untuk menjadi salah seorang artis terbabit dalam CAM.

“Begitu juga untuk DATUS, kami telah melakukan sesi fotografi untuk poster promosi selain beberapa kali latihan bersama,” katanya.

Pun begitu, Amirul enggan berkongsi sebab utama pengguguran Zalif sebaliknya menganggap sebagai ‘tiada rezeki’ untuk bekerjasama pada masa ini.

Watak Zalif di dalam DATUS digantikan dengan Aman Salleh, pempengaruh Tiktok yang juga pelakon komedi sedang meningkat naik yang bakatnya dicungkil dari program Awesome Raja Lawak.

Manakala penyampai radio HotFM, AG Hafiz pula menggantikannya dalam Teater Cinta Ahmad Mutawakkil.

The Redholah bakal mementaskan dua judul teater yakni Cinta Ahmad Mutawakkil pada 20 sehingga 22 September terbitan Perbadanan Putrajaya bersempena Festival Budaya Putrajaya dan Dang Anum (The Untold Story) terbitan The Redholah pada 27 sehingga 29 September 2024.

Antara pelakon terbabit adalah Shah Iskandar, Mimi Enirda, Geoff Andre Feyarts, Adam Shahz, Along Eyzendy, AG Hafiz dan Ain Sufia.

Kedua-dua judul itu bakal dipentaskan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.

Jalani protokol kesihatan yang ketat antara kaedah bebas penyakit kronik

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Sentiasa menjaga pemakanan dan mengurangkan kandungan gula dalam setiap menu yang diambil antara resepi kejayaan seorang pesakit diabetes, Ustaz Wan Hamidi Wan Mat.

Wan Hamidi mengalami sakit diabetes lebih belasan tahun mengakui sudah menghabiskan ratusan ribu ringgit bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit komplikasi yang turut dihidapinya seperti serangan jantung, strok, masalah mata, serta kerosakan saraf pada kaki dan tangan.

“Saya mula menghidap diabetes disebabkan faktor genetik. Ayah, datuk dan nenek saya semua ada penyakit diabetes.

“Bertahun lamanya saya mengambil ubat, insulin, malah pernah menjalani pelbagai rawatan di hospital akibat komplikasi daripada penyakit yang dihidapi ini.

“Lebih teruk lagi saya hampir ditidurkan ketika terkena Covid-19 akibat komplikasi yang serius.

“Ketika mengalami serangan jantung, menjalani rawatan belon jantung, dan mengalami masalah mata yang memerlukan rawatan berulang kali, saya lihat tiada perubahan terhadap penyakit yang dialami,” katanya yang hampir berputus asa.

Namun begitu, selepas bertemu dengan Dr Siti Juariah Kusni, beliau kini tidak perlu bergantung dengan ubatan dan insulin.

“Segalanya berubah apabila saya bertemu dengan Dr Jue dari Jue Wellness. Walaupun pada awal saya ragu-ragu ketika beliau menyarankan agar saya berhenti mengambil insulin.

“Selepa melalui sesi kaunseling dan memahami bagaimana diabetes berlaku serta cara mengawalnya, saya mula mengikuti nasihat dan saranan beliau.

“Dr Jue mencadangkan saya mengikuti protokol kesihatan yang ketat, termasuk berpuasa, mengurangkan gula, mengelakkan protein haiwan, dan mengamalkan protein tumbuhan.

“Selain itu, saya juga disarankan mengamalkan kaedah memasak nasi dicampur minyak kelapa dara lalu menyimpan nasi dalam peti sejuk selama 12 jam sebelum dimakan,” katanya.

Wan Hamidi berkata, selepas mengikuti protokol berkenaan, beliau berhenti mengambil segala ubat dan insulin sepenuhnya.

“Bacaan gula darah saya yang dahulunya tinggi, kini berada pada tahap normal, malah doktor terkejut dengan perubahan ini,” katanya.

Sementara itu, Jue Wellness, yang diasaskan pada tahun 2018 oleh Dr Jue telah membantu lebih daripada 4,000 pesakit kronik untuk pulih melalui kaedah pemakanan sihat dan gaya hidup seimbang.

Dr. Jue sendiri turut pernah menghadapi penyakit kronik, dan berjaya sembuh sepenuhnya melalui perubahan diet yang ketat, sebelum menubuhkan pusat rawatan berkenaan.

Ramai pesakit yang mula mencuba rawatan ditawarkan oleh Jue Wellness sebagai alternatif kepada rawatan ubat-ubatan yang sedia ada.

Menerusi rawatan yang disediakan, Jue Wellness terus memberikan harapan dan semangat baharu kepada pesakit-pesakit diabetes dan penyakit kronik yang lain.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan rawatan alternatif D’Jue Wellness boleh hubungi 011-16329674 atau layari www.drjuemall.com.my.

Pontianak 200KG filem komedi paling berat tampil kisah ‘pontianak comel’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan luar biasa telefilem Pontianak 100KG dan menjadi pilihan nombor 1 di Tonton, Primeworks Studios dan Metrowealth dengan bangganya membawa filem ini ke layar perak menerusi tajuk Pontianak 200KG.

Filem kesinambungan daripada telefilem itu dihasilkan untuk menghiburkan penonton dengan penceritaan yang lebih menarik dan lebih lucu, sekali gus memperlihatkan kemajuan industri perfileman tempatan melalui kerjasama yang erat antara produksi.

Pontianak 200KG diarahkan oleh Shuhaimi Lua dan menampilkan Aya Amiruddin sebagai teraju utama bersama Dottie.

Ini adalah filem pertama di mana Aya Amiruddin diberi peranan utama, satu tanggungjawab besar yang pastinya dinantikan oleh peminatnya.

Filem Pontianak 200KG menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ropie, Niezam Zaidi, Wanns Ahmad, serta pelakon-pelakon lain seperti Malia Baby dan Shaf Naufas.

Filem ini juga memperkenalkan Apich Lo sebagai salah satu watak utama, serta penampilan istimewa primadona Ziana Zain, yang pasti akan menjadi tumpuan setelah lama tidak beraksi di layar perak. 

Proses penggambaran filem Pontianak 200KG telah dijalankan dengan teliti dan kebanyakan lokasi penggambaran dilakukan di Ijok, Selangor.

Lokasi ini dipilih untuk memberikan latar yang tepat, sesuai dengan elemen seram komedi yang dihidupkan dalam filem ini. 

Selaku pengarah, Shuhaimi mengakui teruja dan bersyukur apabila diberikan kepercayaan oleh Primeworks Studios serta Metrowealth yang memilihnya untuk mengarahkan filem ini.

“Sudah lama saya impikan untuk mengarahkan filem dan Pontianak 200 KG adalah filem pertama yang saya arahkan.

“Besar harapan saya jika filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan di samping memberikan sebuah hiburan yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Pelbagai elemen cuba saya selitkan dalam filem ini dan banyak babak yang saya jadikan inspirasi daripada idea Allahyarham Mamat Khalid.

“Saya juga turut mengambil beberapa pempengaruh sebagai salah satu cara untuk mempromosikan filem ini,” katanya selepas malam gala tayangan filem berkenaan, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, Pontianak 200KG adalah hasil kerjasama menyeluruh antara Primeworks Studios dan Metrowealth, bertujuan untuk memperkayakan lagi genre dalam industri perfileman Malaysia.

“Dengan membawa elemen seram komedi yang segar, kami bukan sahaja menawarkan pengalaman baharu yang menghiburkan kepada penonton, tetapi juga membuka peluang bagi bakat-bakat baru untuk menyerlah dan berkembang dalam industri ini.

“Kami yakin bahawa usaha ini akan terus memacu perkembangan landskap perfileman tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, David Teo berkata, filem ini adalah bukti komitmen mereka untuk terus menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang sesuai untuk seisi keluarga.

“Kami berharap Pontianak 200KG akan mendapat sambutan hangat, seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan filem komedi seram dalam industri perfileman tempatan,” katanya.

Pontianak 200KG membawa kisah unik di mana dua Pontianak yang “comel” menjadi watak utama. Berbeza dengan stereotaip biasa, Pontianak dalam filem ini hanya lapar dan suka mengusik orang kampung dengan mencuri makanan mereka, menjadikan watak ini lebih mesra dan menghiburkan.

Dengan tagline “FILEM KOMEDI PALING BERAT ABAD INI” filem ini sudahpun menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai semalam, 5 September.

Sinopsis

Filem ini mengisahkan tentang Kampung Terbalik menjadi mangsa serangan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi yang mencari makanan kerana sentiasa kelaparan.

Keadaan menjadi lebih huru-hara apabila penduduk kampung menyangka mereka adalah pontianak yang menghisap darah hingga menyebabkan ramai penduduk kampung koma. 

Kemunculan Bilal, lelaki ala Korea telah membuatkan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi jatuh cinta dan mula bersaing untuk menarik perhatian Bilal.

Namun keadaan masih belum reda dan penduduk kampung masih menjadi mangsa serangan pontianak.

Pak Akad, selaku ketua kampung menjadi semakin buntu untuk menghentikan jumlah penduduk yang semakin ramai koma. 

Manakala, runut bunyi filem Pontianak 200KG ini juga adalah hasil kerjasama dengan Shiha Zikir Empire dan menampilkan buat pertama kalinya Aya Kamaruddin dalam dunia nyanyian.

Lagu tema filem ini berjudul, “Naik Hantu,” yang dicipta sepenuhnya oleh Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K, bakal menjadi daya penarik yang memikat hati penonton.

Dinyanyikan oleh Shiha Zikir dan Aya Amiruddin, ia telahpun dilancarkan di semua pelantar digital sejak 24 Julai, manakala versi rock oleh Buck dan Awas sudahpun dilancarkan pada 15 Ogos lalu.

HONOR Malaysia lancar tablet flagship MagicPad 2 dikuasakan AI dan komputer riba MagicBook Art 14

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR Malaysia dengan bangganya mengumumkan pelancaran dua peranti flagship terkininya iaitu tablet HONOR MagicPad 2 dan komputer riba HONOR MagicBook Art 14.

Dikuasakan oleh AI, HONOR MagicPad 2 menampilkan 12GB + 8GB RAM dan 256GB ROM. Berharga RM2,799, tablet yang anggun dan tahan lasak ini didatangkan bersama pensil HONOR Magic Pencil 3 dan papan kekunci HONOR Magic Keyboard PERCUMA, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM898. 

HONOR MagicPad 2 kini boleh dibeli di laman sesawang HONOR Malaysia di https://www.honor.com/my/ dan akan berada di kedai seluruh negara pada 13 September 2024.

Komputer riba HONOR MagicBook Art 14, yang dikenali dengan rekaan ultra ringan dan nipis, beserta kamera magnetic AI berinovatif untuk privasi, juga akan dijual di pasaran Malaysia. Tersedia dalam RAM 16GB dan ROM 1TB, komputer riba ini akan berada di pasaran mulai 20 September 2024 pada harga RM5,999.

Ia didatangkan bersama pakej hadiah percuma yang mengandungi HONOR Backpack, Waranti Lanjutan 1+2 Tahun serta Langganan Percuma Satu Tahun Microsoft 365 dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1,106. 

HONOR MagicPad 2 

Paparan OLED 3K Peneraju Industri

Menampilkan Paparan Keselesaan Mata HONOR OLED 3K 12.3 inci dengan kadar segar semula tinggi pada 144Hz dan nisbah skrin ke badan menarik 92 peratus, HONOR MagicPad 2 memberikan pengalaman paparan terbaik bagi segmen tablet 12 inci dan ke atas. Sama ada untuk bekerja atau berhibur, pengguna boleh menikmati pengalaman menonton dengan visual yang menawan dan lancar.

Tambahan lagi, HONOR mengutamakan kesihatan pengguna dengan teknologi penjagaan mata termaju pada tablet berkenaan, termasuklah paparan AI Defocus Display yang pertama dalam industri, Pemalapan PWM 4320Hz, Paparan Malam Sirkadia, dan Pemalapan Dinamik.

Dengan pensijilan TÜV Rheinland Flicker-Free Certification dan TÜV Rheinland Hardware-level Low Blue Light Certification, HONOR MagicPad 2 memastikan perlindungan dan keselesaan yang optimum untuk mata walaupun dengan penggunaan yang lama.

Produktivit AI Yang Dipertingkatkan

HONOR MagicPad 2 menawarkan ciri-ciri pejabat dikuasakan AI yang termaju untuk pengurusan tugas yang lebih cekap dan lancar. Dengan HONOR Notes, pengguna boleh mengkategorikan nota mereka di beberapa tahap dan mendapat faedah daripada keupayaan AI Voice to Text, AI Realtime Translation, AI Handwriting Beautification, dan AI Formula Recognition, untuk meningkatkan produktiviti.

Ciri HONOR Docs meringkaskan pengendalian dokumen, menjadikannya lebih lancar bagi pengguna yang terlibat dengan tugasan secara bergerak atau pembelajaran atas talian. Tambahan kepada ciri AI ini adalah Background Noise Reduction, yang membolehkan bunyi di latar belakang disisihkan secara cekap agar suara penutur boleh didengari secara jelas semasa mesyuarat atas talian. 

Dengan perisian terkini MagicOS 8.0, HONOR MagicPad 2 memberikan pengalaman yang lebih pintar dan praktikal berbanding sebelum ini. Tambahan pula, pengguna boleh menikmati pengalaman tablet yang diperibadikan dan pintar dengan rangkaian ciri-ciri pintar termasuklah Magic Portal, Magic Capsule, Magic Ring, dan HONOR Global Favorites Space.

Ciri-ciri Flagship

Dengan profil ultra nipis hanya setebal 5.8mm dan rekaan ringan seberat hanya 555g, HONOR MagicPad 2 mendefinisikan semula pergerakan tanpa menjejaskan ketahanannya. Dibina dengan bahan-bahan gentian ringan yang termaju, ianya merupakan tablet pertama dalam industri yang telah memperolehi pensijilan Five-star Anti-bending Certification yang berprestij daripada SGS.

HONOR MagicPad 2 juga menetapkan standard baharu dalam kehebatan audio, menampilkan sistem persekitaran lapan pembesar suara berkuasa dengan pensijilan IMAX Enhanced Certification, memberikan pengalaman audio visual sinematik yang mengagumkan. Diperhebatkan oleh teknologi HONOR Spatial Audio Technology, tablet ini memiliki medan bunyian 25 peratus yang lebih luas untuk pengguna lebih menghayati pengalaman mendengar yang menghidupkan konten.

Prestasi dan Bateri

Dikuasakan oleh pemproses Snapdragon 8s Gen 3, HONOR MagicPad 2 menawarkan prestasi yang cemerlang. Dilengkapi dengan bateri besar 10050mAh dan pengecasan berwayar 66W Wired HONOR SuperCharge, HONOR MagicPad 2 memberikan pengguna penggunaan tanpa gangguan sepanjang hari. 

Tablet ini meningkatkan lagi produktiviti dengan pensil HONOR Magic-Pencil 3 dan papan kekunci HONOR MagicPad 2 Smart Bluetooth Keyboard agar pengguna boleh menulis dengan lancar dan menaip dengan selesa.

HONOR MagicBook Art 14 

Komputer Ultra Ringan dan Amat Nipis

HONOR MagicBook Art 14 ialah komputer riba dengan teknologi termaju yang mentakrif semula ciri ringan dan rekaan ultra nipis. Dengan hanya setebal 1cm dan seberat 1kg, ianya merupakan komputer riba HONOR yang paling nipis dan ringan pernah dihasilkan.

Menampilkan Struktur Ringan Topologi yang pertama dalam industri, HONOR MagicBook Art 14 menggabungkan badan aloi magnesium dengan papan kekunci titanium untuk binaan yang amat ringan tanpa menjejaskan ketahanannya. Sistem Penyejukan Vapour dan Rekaan Antena Bersepadu yang maju memastikan pelepasan haba secara cekap dan pengalaman atas talian yang lancar, meningkatkan lagi ciri mudah alih dan prestasinya.

Walaupun dengan profil menarik, HONOR MagicBook Art 14 dilengkapi dengan pelbagai jenis port termasuk USB-C, USB-A, HDMI, dan bicu headphone/mikrofon 3.5mm, memberikan pengalaman yang serba boleh dan mudah kepada pengguna.

Skrin Sentuh OLED 3.1K 14.6 inci Yang Pertama Dalam Industri

HONOR MagicBook Art 14 menetapkan penanda aras baharu dalam kecemerlangan visual dengan Skrin Sentuh OLED 3.1K 14.6 inci yang mengagumkan. Paparan ini bukan sahaja mempersembahkan teknologi penjagaan mata yang termaju dalam industri – Pemalapan Bebas Kerlipan PWM 4320Hz, Pemalapan Dinamik, dan Mod E-book – tetapi juga membawa pensijilan berprestij TÜV Rheinland Low Blue Light Certification dan TÜV Rheinland Flicker-Free Certification, bagi memastikan mata pengguna dilindungi dan pengalaman menonton yang tiada tandingan.

Bingkai ultra sempit komputer riba berukuran 2.2 mm ini dan nisbah skrin ke badan 97 peratus memberikan paparan FullView yang imersif dalam mentransformasikan kerja dan hiburan anda kepada satu perjalanan visual yang amat diingati. Setiap butiran dihidupkan dengan kejelasan nyata dan terperinci hebat, menjadikan HONOR MagicBook Art 14 peranti yang membawakan keajaiban bagi teknologi paparan.

Stesen Kerja AI Magic 

Dihasilkan untuk membuka potensi kreatif sambil mengutamakan privasi bertaraf tinggi kepada pengguna, HONOR MagicBook Art 14 menampilkan Kamera Magnetik AI yang pertama dalam industri yang boleh ditanggalkan dan diletakkan secara magnetic di atas skrin.

Selain itu, komputer riba dilengkapi dengan Perlindungan Privasi Pintar untuk Pencerminan Skrin (Screen Mirroring), membolehkan pengguna untuk memilih jendela yang ingin dipaparkan serta meningkatkan privasi semasa membuat pembentangan. 

Untuk kelancaran semasa bermesyuarat atas talian, ciri AI Bidirectional Noise Cancellation menyisihkan bunyian latar belakang dengan pintar, memastikan suara penutur kekal jelas dan boleh didengari. Bagi meningkatkan produktiviti, HONOR MagicBook Art 14 didatangkan dengan ciri-ciri pintar seperti Multi-screen Collaboration, HONOR Connect, AI HONOR Notes, dan AI Global Favorites. 

Di samping itu, HONOR MagicBook Art 14 disertakan dengan Microsoft Copilot, pembantu AI termaju yang membantu carian maklumat dengan lebih pantas, menulis emel, menghasilkan kesimpulan, mencipta imej daripada prompt teks, serta pengekodan. Ini menjadikan HONOR MagicBook Art 14 pilihan ideal bagi pekerja yang bertugas di luar pejabat dan pelajar atas talian yang memerlukan fungsi multitugas cekap dan kesambungan lancar merentasi peranti.

Untuk prestasi hebat semasa melaksanakan tugasan berat seperti bermain permainan maya dan membuat konten, HONOR MagicBook Art 14 dilengkapi dengan prosesor Intel® Core™ Ultra 5 125H dan kad grafik Intel® Arc™ Graphics. 

HONOR MagicPad 2 didatangkan dalam dua warna yang menawan iaitu Moonlight White and Black. Manakala warna Emerald Green untuk HONOR MagicBook Art 14.

HONOR Magic V3, telefon boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia kini dilancarkan di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR HONOR Malaysia dengan rasminya melancarkan telefon boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia, HONOR Magic V3, serentak dengan pelancaran global di IFA 2024 yang berlangsung di Berlin, Jerman.

HONOR Magic V3 yang berharga RM6,999 adalah telefon boleh lipat flagship yang menggabungkan teknologi termaju dengan rekaan ultra-nipis. 

Pra-pesanan HONOR Magic V3 Bermula Sekarang Sehingga 12 September 

HONOR Magic V3 kini sedia untuk pra-pesanan sehingga 12 September 2024 melalui laman sesawang rasmi HONOR, kedai HONOR Experience Store, Shopee, Lazada, TikTok Shop, dan pengedar sah Harvey Norman, Senheng, SenQ dan Urban Republic.

Bawa pulang hadiah eksklusif percuma dengan jumlah keseluruhan bernilai RM2,896 yang terdiri daripada HONOR Watch 4, HONOR Magic Pen, HONOR SuperCharge Wireless Charger Stand dan Perlindungan Skrin 365 Hari HONOR.

HONOR Magic V3 Pecah Rekod Sebagai Telefon Boleh Lipat AI Paling Nipis dan Ringan Di Dunia

HONOR Magic V3 mencatatkan rekod baharu sebagai telefon boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia dengan ketahanan, bateri, paparan, dan pengalaman AI yang dipertingkatkan kepada pengguna global. Peranti boleh lipat ini memiliki ketebalan lipatan hanya 9.2mm dan 4.35mm apabila dibuka, dengan berat 226g berbanding telefon bar flagship di pasaran.

Bahan Gentian Khas Aeroangkasa Yang Pertama Dalam Industri, Lebih Kukuh dan Tahan Lasak

Direka untuk ketahanan sepanjang penggunaan harian, HONOR Magic V3 menampilkan bahan badan yang diperbuat daripada Gentian Khas Aeroangkasa yang menyeimbangkan kenipisan dan ketahanan dengan sempurna.

Dengan ketahanan sehingga 5800MPa, gentian khas peneraju industri ini mengatasi bahan-bahan lain seperti Kevlar dan gentian karbon. Ia menawarkan ketahanan impak sehingga 40 kali lebih kuat dan mengurangkan ketebalan pelindung belakang peranti ini ke 30 peratus, agar telefon ini boleh bertahan walaupun dalam keadaan yang ekstrem.

Selain itu, HONOR Magic V3 juga menampilkan engsel paling nipis dan kukuh dalam industri yang diperbuat daripada HONOR Super Steel, dengan kekuatan ketegangan 2100 MPa. Bahan ini membolehkan bentuk engsel yang lebih nipis iaitu 2.84 mm, sekaligus memberikan lebih ruang untuk pengukuhan struktur. 

Di samping itu, HONOR Magic V3 juga menambah set tambahan lengan berayun kepada engsel tersebut, menguatkan lagi ketahanannya ke 1,250 peratus. Dengan penambah baikan ini, engsel tersebut boleh menahan ke sehingga 500,000 kali lipatan, dan telah mendapat pensijilan SGS Durability Certification.

Bagi memastikan skrin dalaman kekal jelas dan tahan penggunaan seharian, paparan 7.92 inci HONOR Magic V3 ini diperkuatkan dengan Skrin Dalaman Super Diperkuatkan HONOR (HONOR Super Armored Inner Screen).

Manakala paparan luaran semasa dilipat sebesar 6.43 inci pula diperbuat daripada Perlindungan NanoCrystal Anti-calar HONOR (HONOR Anti-scratch NanoCrystal Shield), menawarkan keupayaan menyerap hentakan sehingga ke 10 kali berbanding kaca biasa. Ini memberikan kekuatan peranti yang lebih kukuh daripada jatuhan yang tidak sengaja.

HONOR Magic V3 turut menerima penarafan kalis air IPX8, menjadikannya selamat untuk digunakan walaupun semasa hujan renyai, tumpahan air yang tidak sengaja atau terendam di dalam air pada kedalaman maksimum 2.5m. 

Telefoto Periskop Zum 100X – Merakam Saat Indah dengan Fotografi Boleh Lipat Yang Berkuasa

HONOR Magic V3 menampilkan Kamera Utama 50MP, Kamera Ultra-lebar 40MP, dan Kamera Telefoto Periskop 50MP dengan zum sehingga 100X untuk menangkap gambar objek jauh dengan jelas. Selain itu, paparan dalaman dan luaran peranti ini membawakan Kamera Hadapan 20MP, amat sesuai untuk swafoto dan panggilan video.

Paparan Keselesaan Mata HONOR Melindungi dan Menjaga Kesihatan Mata Pengguna

HONOR amat komited terhadap kesihatan mata pengguna dan telah membangunkan beberapa teknologi perlindungan mata yang termaju.

HONOR Magic V3 dilengkapi dengan teknologi Paparan Keselesaan Mata HONOR yang membantu mencegah kelesuan mata, mengurangkan cahaya biru yang memudaratkan serta kesakitan mata semasa penggunaan yang lama. Ini termasuk Pemalapan Bebas Risiko PWM 4320Hz, Pemalapan Dinamik, Paparan Tona Semula Jadi, Paparan Malam Sirkadia dan Teknologi Cahaya Biru Rendah Bertaraf Perkakasan.

MagicOS 8.0.1 Berdasarkan Android 14 untuk Pemperibadian AI Yang Lebih Pintar dan Selamat

HONOR Magic V3 dikuasakan oleh perisian MagicOS 8.0.1 yang berdasarkan Android 14 bagi menawarkan pengalaman pengguna yang lebih diperibadikan dan selamat.

Ciri Circle to Do More dengan Magic Portal membolehkan pengguna untuk membuka dua portal secara serentak pada kedua-dua belah skrin untuk berkongsi dan mencari maklumat dengan pantas. Hanya bulatkan teks, alamat, atau gambar menggunakan sendi jari anda dan seretkan ke aplikasi yang relevan melalui Magic Portal.

Dalam pada itu, ciri Parallel Space membolehkan pengguna untuk mengendalikan aplikasi dwi-ruang secara bebas pada desktop berasingan yang berfungsi seperti telefon kedua yang disepadukan ke dalam peranti boleh lipat mereka.

Magic Capsule pula membolehkan pengguna untuk melebarkan notifikasi hanya melalui sentuhan pada skrin, memberikan maklumat tambahan tanpa perlu melayari beberapa aplikasi sistem yang pelbagai.

Ciri-ciri HONOR AI Dikuasakan oleh Google Cloud 

HONOR bekerjasama dengan Google Cloud untuk memasukkan keupayaan AI ke dalam HONOR Magic V3. Dengan ciri AI Eraser, pengguna boleh membuang objek yang tidak dikehendaki dengan mudah menggunakan AI yang generatif.

Ciri Face to Face Translation membolehkan fungsi terjemahan masa sebenar kepada pengguna semasa berkomunikasi dengan orang yang bertutur dalam bahasa berbeza atau untuk memahami percakapan dalam bahasa asing. HONOR Notes pula mengandungi ciri-ciri AI Office yang termaju seperti pertukaran suara ke teks, terjemahan langsung, dan keupayaan mengenal pasti penutur semasa perbincangan berkumpulan.

Bateri Ultra Besar Generasi Baharu dengan Pengecasan Berwayar 66W dan Wayarles 50W HONOR SuperCharge

Menampilkan kapasiti ultra besar Bateri Karbon Silikon Generasi Ketiga 5150mAh, HONOR Magic V3 boleh memenuhi permintaan seharian walaupun dengan penggunaan yang tinggi.

Ia menyokong pengecasan berwayar 66W Wired HONOR SuperCharge yang hanya mengambil masa selama 45 minit untuk pengecasan penuh, dan pengecasan wayarles 50W Wireless HONOR SuperCharge.

Dikuasakan oleh cip pemprosesan Qualcomm® Snapdragon® 8 Gen 3, HONOR Magic V3 memberikan prestasi yang cemerlang. Peranti ini juga mengandungi cip C1+ bagi memastikan kesambungan yang terbaik walaupun di kawasan yang memiliki rangkaian telekomunikasi rendah serta meningkatkan prestasi rangkaian 5G.

HONOR Magic V3 didatangkan dengan 12GB RAM dan memori 512GB. Peranti ini tersedia dalam tiga warna yang menarik iaitu Mossy Green, Silk Brown dan Classic Black. 

Ops Viral, 19 kedai runcit di kompaun

editormaxinfo@gmail.com

KUALALUMPUR – Sebanyak 19 kedai runcit sekitar Kampung Segambut Dalam, di sini, diserbu hasil aduan orang ramai.

Seramai 60 anggota Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama KPDN Putrajaya dan KPDN Selangor telah membuat pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 11 kes kompaun telah diambil dari pelbagai kesalahan seperti tiada tanda harga, alat timbang yang tidak ditentusahkan dan menjual.

Jumlah sitaan bagi ke semua kedai runcit dianggarkan bernilai RM3,300 dengan pelbagai kesalahan.

Timbalan Pegawai Penguatkuasa KPDN WPKL, Nurul Syarina Md Anuar berkata, peniaga juga melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta723) kerana menjual harga terkawa lmelebihi harga ditetapkan oleh Pengawal Harga.

“Selain itu, kes ini juga disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menjual LPG secara runcit tanpa lesen yang sah.

“Rata-rata peniaga menjual barang-barang keperluan harian dan semakan mendapati pemilik premis adalah warga negara berdasarkan lesen PBT, namun pelanggan adalah warganegara asing yang tinggal disekitar kawasan berkenaan.

Walaubagaimanapun, ada juga premis yang telah tamat tempoh dan Diuruskan oleh warga asing.

Nurul Syarina memberi amaran kepada peniaga agar tidak menjual barang kawalan melebihi harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Syamsul Yusof, Ira Kazar sah cerai

editormaxinfo@gmail.com

KUALA SELANGOR – Pengarah sensasi, Syamsul Yusof dan Ira Kazar sah bercerai talak satu, hari ini.

Lafaz cerai itu disahkan kira-kira jam 10.30 pagi oleh Hakim Syarie Mohd Faizal Habib di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor.

Peguam Syarie yang mewakili Ira iaitu Afiq Fadhil berkata, mahkamah telah mengesahkan Syamsul dan Ira telah sah bercerai talak satu.

“Mahkamah putuskan penceraian sudah berlaku di luar mahkamah di antara Syamsul dan anak guam saya. Itu sahaja boleh saya katakan.

Manakala Peguam Syarie yang mewakili Syamsul iaitu Azmi Rais, berkata telah berlaku pelanggaran lafaz taklik yang dilakukan Ira membabitkan hantaran di media sosial bermula 14 Ogos lalu.

“Alhamdulillah kes perceraian dan lafaz taklik sudah selesai pada hari ini di mana mahkamah mendapati Ira sudah melanggar taklik.

“Ada pelanggaran taklik yang sudah dilakukan Ira dan mahkamah berpuas hati bahawa memang berlakunya lafaz taklik dan mendapati bahawa Ira melanggar taklik berkenaan sebanyak lima kali yang mana berlaku kali pertama pada 14 Ogos.

“Ia berlaku dalam keadaan rela tanpa paksaan mana-mana pihak. Idah juga bermula pada tarikh yang sama (14 Ogos),” katanya.

Hakim Syarie Mohd Faizal mensabitkan berlakunya perceraian dan memerintahkan Ira untuk menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula 14 Ogos lalu.

Terdahulu, Syamsul mengejutkan orang ramai apabila membuat keputusan memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada 16 Ogos lalu.

Peguam yang mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais berkata, pasangan itu sudah tiada persefahaman.

Untuk rekod, Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.

Berikutan daripada itu, pelakon Puteri Sarah pada ketika itu sebagai isteri pertama nekad memfailkan penceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.

Hitman Solutions bawa penyanyi ‘Playback’ terkenal Bollywood dalam sebuah konsert istimewa di Axiata Arena

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Hitman Solutions, bekerjasama dengan penganjur dari Australia, Cinestar Events membawakan penyanyi ‘playback’ terkenal Bollywood, Arijit Singh dalam konsert istimewa ‘Arijit Singh Live In Malaysia’ pada 16 November ini di Axiata Arena Bukit Jalil.

“Ini adalah kali ketiga Arijit Singh datang ke Malaysia untuk membuat persembahan setelah hampir 10 tahun, di mana konsert terakhirnya diadakan pada tahun 2014 yang lalu di Dewan Wawasan Convention & Exhibition Centre dengan sambutan yang luar biasa.

“Ramai peminat dari seluruh dunia terutamanya di Malaysia yang menantikan kepulangan beliau sejak sekian lama, dan saya jangkakan konsert kali ini pasti menjadi sebuah pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” kata Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group Rohit Rampal.

Cinestar Events adalah penganjur konsert Bollywood terkemuka di Australia, terkenal dengan kemahiran mereka dalam menganjurkan acara spektakular yang menampilkan nama-nama besar dalam industri hiburan Bollywood.

Dengan pengalaman lebih daripada 17 tahun dan lebih 100 pertunjukan, senarai acara mereka termasuk bintang-bintang Bollywood seperti Salman Khan, Sonakshi Sinha, dan ramai lagi.

Sementara itu, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Cinestar Events Yogesh Sharma berkata, Cinestar Events berjaya menganjurkan lebih daripada seratus acara Bollywood di Australia dan mereka komited untuk membawa keajaiban Bollywood ke kawasan baru.

“Bekerjasama dengan Hitman Solutions, yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam penganjuran acara Bollywood di Malaysia, membuktikan dedikasi kami untuk mencipta acara yang akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Bersama-sama, kami teruja untuk menggabungkan kepakaran dan semangat kami untuk menghasilkan konsert Bollywood paling spektakular di Malaysia setakat ini,” katanya.

Peminat-peminat filem hit Bollywood seperti ‘Dilwale’, ‘Brahmastra’ dan ‘Jawan’ pasti kenal dengan suara penyanyi lelaki kegemaran mereka melalui lagu ‘Janam Janam’, ‘Kesariya’, ‘Chaleya’ dan banyak lagi kini berpeluang mendengarnya secara langsung.

Berita terkini melalui petikan beberapa berita atas talian mengatakan bahawa Arijit Singh diiktiraf sebagai artis yang mempunyai paling ramai pengikut secara global di Spotify mengalahkan artis antarabangsa seperti Taylor Swift, Ed Sheeran dan Drake.

“Konsert kali ini bakal menjadi konsert Bollywood terbesar di Malaysia buat tahun 2024, dengan menampilkan lagu-lagu klasik dan popular daripada Arijit Singh sejak sedekad lalu.

“Kami ingin memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati setiap aspek konsert ini dari muzik sehingga ke produksi pementasan.

“Kami berharap kesemua peminat Arijit Singh bersedia untuk memenuhi setiap ruangan Axiata Arena demi menyaksikan artis fenomena Bollywood ini buat sekian kalinya dengan himpunan lagu-lagu terbaharunya di lokasi yang lebih besar, dan kami janjikan persembahan yang bertenaga dengan pengalaman yang istimewa,” kata Rohit lagi.

Tiket kini sudah pun dijual di laman web www.hitmanlive.com, dan tiket-tiket tersedia dalam kategori: Silver (RM298), Gold (RM398), Platinum (RM598), Diamond (RM698), VIP (RM788), VVIP (RM988) dan MIP (RM1,188).

Sebarang pertanyaan mengenai konsert ini boleh hubungi 012-2655783.