editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan luar biasa telefilem Pontianak 100KG dan menjadi pilihan nombor 1 di Tonton, Primeworks Studios dan Metrowealth dengan bangganya membawa filem ini ke layar perak menerusi tajuk Pontianak 200KG.
Filem kesinambungan daripada telefilem itu dihasilkan untuk menghiburkan penonton dengan penceritaan yang lebih menarik dan lebih lucu, sekali gus memperlihatkan kemajuan industri perfileman tempatan melalui kerjasama yang erat antara produksi.
Pontianak 200KG diarahkan oleh Shuhaimi Lua dan menampilkan Aya Amiruddin sebagai teraju utama bersama Dottie.
Ini adalah filem pertama di mana Aya Amiruddin diberi peranan utama, satu tanggungjawab besar yang pastinya dinantikan oleh peminatnya.

Filem Pontianak 200KG menampilkan barisan pelakon hebat seperti Ropie, Niezam Zaidi, Wanns Ahmad, serta pelakon-pelakon lain seperti Malia Baby dan Shaf Naufas.
Filem ini juga memperkenalkan Apich Lo sebagai salah satu watak utama, serta penampilan istimewa primadona Ziana Zain, yang pasti akan menjadi tumpuan setelah lama tidak beraksi di layar perak.
Proses penggambaran filem Pontianak 200KG telah dijalankan dengan teliti dan kebanyakan lokasi penggambaran dilakukan di Ijok, Selangor.
Lokasi ini dipilih untuk memberikan latar yang tepat, sesuai dengan elemen seram komedi yang dihidupkan dalam filem ini.
Selaku pengarah, Shuhaimi mengakui teruja dan bersyukur apabila diberikan kepercayaan oleh Primeworks Studios serta Metrowealth yang memilihnya untuk mengarahkan filem ini.

“Sudah lama saya impikan untuk mengarahkan filem dan Pontianak 200 KG adalah filem pertama yang saya arahkan.
“Besar harapan saya jika filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan di samping memberikan sebuah hiburan yang bermanfaat kepada masyarakat.
“Pelbagai elemen cuba saya selitkan dalam filem ini dan banyak babak yang saya jadikan inspirasi daripada idea Allahyarham Mamat Khalid.
“Saya juga turut mengambil beberapa pempengaruh sebagai salah satu cara untuk mempromosikan filem ini,” katanya selepas malam gala tayangan filem berkenaan, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, Nini Yusof berkata, Pontianak 200KG adalah hasil kerjasama menyeluruh antara Primeworks Studios dan Metrowealth, bertujuan untuk memperkayakan lagi genre dalam industri perfileman Malaysia.
“Dengan membawa elemen seram komedi yang segar, kami bukan sahaja menawarkan pengalaman baharu yang menghiburkan kepada penonton, tetapi juga membuka peluang bagi bakat-bakat baru untuk menyerlah dan berkembang dalam industri ini.
“Kami yakin bahawa usaha ini akan terus memacu perkembangan landskap perfileman tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, David Teo berkata, filem ini adalah bukti komitmen mereka untuk terus menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang sesuai untuk seisi keluarga.

“Kami berharap Pontianak 200KG akan mendapat sambutan hangat, seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan filem komedi seram dalam industri perfileman tempatan,” katanya.
Pontianak 200KG membawa kisah unik di mana dua Pontianak yang “comel” menjadi watak utama. Berbeza dengan stereotaip biasa, Pontianak dalam filem ini hanya lapar dan suka mengusik orang kampung dengan mencuri makanan mereka, menjadikan watak ini lebih mesra dan menghiburkan.
Dengan tagline “FILEM KOMEDI PALING BERAT ABAD INI” filem ini sudahpun menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai semalam, 5 September.

Sinopsis
Filem ini mengisahkan tentang Kampung Terbalik menjadi mangsa serangan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi yang mencari makanan kerana sentiasa kelaparan.
Keadaan menjadi lebih huru-hara apabila penduduk kampung menyangka mereka adalah pontianak yang menghisap darah hingga menyebabkan ramai penduduk kampung koma.
Kemunculan Bilal, lelaki ala Korea telah membuatkan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi jatuh cinta dan mula bersaing untuk menarik perhatian Bilal.
Namun keadaan masih belum reda dan penduduk kampung masih menjadi mangsa serangan pontianak.
Pak Akad, selaku ketua kampung menjadi semakin buntu untuk menghentikan jumlah penduduk yang semakin ramai koma.
Manakala, runut bunyi filem Pontianak 200KG ini juga adalah hasil kerjasama dengan Shiha Zikir Empire dan menampilkan buat pertama kalinya Aya Kamaruddin dalam dunia nyanyian.
Lagu tema filem ini berjudul, “Naik Hantu,” yang dicipta sepenuhnya oleh Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K, bakal menjadi daya penarik yang memikat hati penonton.
Dinyanyikan oleh Shiha Zikir dan Aya Amiruddin, ia telahpun dilancarkan di semua pelantar digital sejak 24 Julai, manakala versi rock oleh Buck dan Awas sudahpun dilancarkan pada 15 Ogos lalu.