27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 16, 2026

Cik Pia tuntut jaminan kos RM75,000 susulan saman fitnah selebriti

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pempengaruh popular, Norsufia Johari, atau lebih dikenali sebagai Cik Pia, memfailkan permohonan jaminan kos sebanyak RM75,000 terhadap pasangan selebriti Azlan Komeng dan Nur Nilam Ortiz susulan saman fitnah yang difailkan terhadapnya.

Peguam yang mewakili Cik Pia, Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates, berkata permohonan terbabit difailkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi melindungi kepentingan anak guamnya.

Permohonan ini dibuat memandangkan Nur Nilam sebagai plaintif pertama adalah warganegara Thailand yang boleh meninggalkan negara pada bila-bila masa, manakala Azlan sebagai plaintif kedua telah diisytiharkan bankrap.

“Kes ini membabitkan dua plaintif terhadap defendan, iaitu Norhaslinda Abdullah (Nur Nilam) dan Mohd Azlan Kamiran (Azlan) berhubung beberapa isu termasuk kerjasama perniagaan, penjualan produk, kenyataan di media sosial serta isu reputasi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan untuk jaminan kos ini difailkan pada Disember 2025, dengan sasaran agar plaintif diarahkan membayar jumlah terbabit dalam tempoh ditetapkan oleh mahkamah.

Selain itu, peguam itu turut memfailkan permohonan bagi membatalkan writ saman dan pernyataan tuntutan plaintif kedua, dengan afidavit sokongan yang menegaskan bahawa plaintif kedua memfailkan tindakan mahkamah ketika masih berstatus ‘undischarged bankrupt’ tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Insolvensi.

Kes saman fitnah ini dijadualkan untuk mula dibicarakan pada 13 dan 14 Jun 2026 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tindakan saman asal difailkan pada Ogos lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas Cik Pia didakwa mengeluarkan kenyataan di media sosial yang dikatakan bersifat fitnah dan provokatif.

Menurut dokumen mahkamah, kenyataan yang dibuat Cik Pia didakwa mengandungi unsur fitnah, tuduhan melampau, provokasi, manipulasi serta buli siber, yang menyebabkan Nur Nilam mengalami tekanan emosi, terutamanya dalam keadaan hamil.

Pada 7 November lalu, mahkamah telah mengeluarkan perintah injunksi inter partes terhadap Cik Pia berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah, setelah meneliti hujahan dan dokumen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Kes ini menjadi perhatian ramai kerana membabitkan individu terkenal dalam industri hiburan dan media sosial, selain menekankan isu tanggungjawab digital, fitnah dalam talian dan hak individu dalam media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular