27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 2, 2026

Penipuan 13 tahun babitkan warga asing, Dr Kalaivanar minta tindakan segera pihak berkuasa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Aktivis sosial Dato’ Dr Kalaivanar memohon tindakan pihak berkuasa diambil terhadap seorang warga asing dari Tamil Nadu, India yang didakwa melakukan penipuan hampir 13 tahun.

Mewakili Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Dr Kalaivanar berkata, pendedahan itu dibuat bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Malaysia agar tidak mudah terpedaya dengan individu yang dipercayai menyalahgunakan kepercayaan rakyat tempatan, terutamanya dalam urusan perniagaan membabitkan warga asing.

“Mangsa mendakwa dirinya diperdaya oleh seorang rakan warga India yang dikenalinya sejak 13 tahun lalu.

“Individu terbabit pada awalnya memujuk mangsa untuk menubuhkan sebuah syarikat yang diberi nama Everest Enterprise di atas namanya kerana rakan warga asing itu tidak memiliki kelayakan untuk membuka syarikat sendiri di Malaysia.

“Syarikat terbabit dilaporkan menjalankan perniagaan membaiki jentera berat seperti JCB, bulldozer dan eskavator,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, walaupun syarikat beroperasi atas nama mangsa, keseluruhan pengurusan, termasuk akaun bank dan akses kewangan syarikat telah diberikan kepada rakan warga India berkenaan atas dasar kepercayaan.

“Mangsa dijanjikan bayaran bulanan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebagai pemilik syarikat, namun bayaran terbabit dikatakan tidak pernah ditunaikan.

“Sebaliknya, beliau hanya menerima bayaran kecil secara tidak konsisten, termasuk pembayaran sekali sekala sebanyak RM200 hingga RM300, serta RM10,000 ketika individu berkenaan mahu ke Australia dan RM5,000 untuk pembelian kereta,” katanya.

Katanya, transaksi bulanan syarikat didakwa mencecah antara RM80,000 hingga RM100,000, namun segala keuntungan dikatakan tidak disalurkan kepada mangsa walaupun syarikat berdaftar atas namanya.

“Situasi terbabit menyebabkan mangsa menanggung implikasi undang-undang dan cukai kerana semua urusan rasmi terikat kepada pemilik berdaftar.

“Mangsa mula menyedari kedudukannya dieksploitasi selepas keluarga menegur keadaannya itu,” katanya.

Dr Kalaivanar berkata, mangsa kemudian bertindak membekukan akaun syarikat apabila mendapati baki sebanyak RM76,000 berada dalam akaun terbabit.

“Tindakan itu menyebabkan individu warga asing berkenaan menghubunginya semula, namun isu pembayaran yang dijanjikan masih tidak diselesaikan.

“Berikutan itu, mangsa telah membuat laporan polis pada 4 November 2025. SBKN kini sedang mengatur penyediaan notis saman melalui peguam bagi tindakan lanjut terhadap individu berkenaan.

“SBKN juga akan mengemukakan maklumat berkaitan kepada beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi siasatan lanjut,” katanya.

Beliau mengingatkan masyarakat Malaysia supaya tidak mudah menyerahkan akses kewangan, dokumen penting atau kuasa urus tadbir syarikat kepada individu luar tanpa kawalan yang sah, bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

“Ini adalah peringatan kepada seluruh rakyat Malaysia agar tidak menggadaikan hak dan maruah sendiri demi imbuhan kecil. SBKN akan terus membantu mangsa mendapatkan keadilan mengikut undang-undang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular