editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Dunia sukan tempur bakal digegarkan dengan penganjuran kejohanan berprestij, Fightnight Muaythai International (FMI) 2025, yang akan berlangsung pada 24 Mei ini di Dewan Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Kejohanan ini dianjurkan oleh Kelab Muaythai Kala Merah (KMKM) dengan kerjasama erat Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Persatuan Muaythai Kuala Lumpur (PMKL), serta pelbagai badan sukan tanah air.
FMI 2025 menghimpunkan lebih 250 atlet Muaythai amatur dan 18 atlet profesional dari enam buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Iran dan Yaman menjadikannya antara kejohanan terbesar seumpamanya di rantau ini.
Ia dijangka menarik kehadiran seramai 5,000 pengunjung, terdiri daripada atlet, pegawai teknikal, perubatan, pengadil, penaja, NGO serta peminat sukan dari seluruh negara.

Pengerusi Kelab Kala Merah, Dato’ Hairudin Yunos berkata, FMI bukan sekadar sebuah kejohanan sukan tempur, sebaliknya platform yang mengangkat nilai perpaduan, pembangunan sukan tanah air serta promosi pelancongan sukan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Kami beriltizam menjadikan Malaysia sebagai pusat tumpuan Muaythai bertaraf antarabangsa.
“FMI bukan hanya sekadar perlawanan ia adalah medan untuk mencungkil bakat baharu, mempamerkan keindahan sukan Muaythai dalam format amatur dan profesional, serta menyatukan rakyat pelbagai latar belakang melalui sukan,” katanya.

Kelab Muaythai Kala Merah yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia adalah entiti aktif dalam pembangunan Muaythai tempatan.
KMKM sebelum ini telah menganjurkan pelbagai kejohanan peringkat negeri dan kebangsaan, selain melatih ramai atlet muda yang kini mewakili negara di pentas antarabangsa.
FMI 2025 juga mendapat sokongan teknikal dan logistik daripada Persatuan Muaythai negeri-negeri, pihak berkuasa tempatan, NGO serta komuniti Muaythai tempatan.
Antara objektif utama penganjuran ini adalah untuk mencungkil dan mempromosikan bakat tempatan, memupuk integrasi kaum melalui penyertaan merentas negeri termasuk Sabah dan Sarawak, serta meletakkan Malaysia sebagai kuasa besar sukan Muaythai dunia.

Beberapa nama besar dalam arena Muaythai bakal tampil memperagakan aksi mantap mereka, termasuk Khuzairi Azim Mohd Kamal dari Respect Fighter KL7 (kategori 50kg), Nur Dhea Salsabila Saifulddin Yusof dari Respect Fighter Gym (kategori 45kg), dan Mohamad Rashid Mohd Redzuan dari Empire Akademi Singa Bersatu (kategori 63kg).
Mereka dijangka memberikan saingan sengit dan menjadi tumpuan utama kejohanan.
Barisan jawatankuasa penganjur diterajui oleh Pengarah Kejohanan, Mohd Razaki Mohamad Zin, dibantu oleh Timbalan Pengarah, Hasrul Najib Hasim serta Naib Timbalan, Ir. Ts. Mohd Sabri Mohamad Zin.

Turut memainkan peranan penting ialah Pengurus Kejohanan, Emrita Alias, dan Ketua Teknikal, Mohd Farid.
Dengan persiapan rapi dan sokongan padu pelbagai pihak, FMI 2025 dijangka menjadi detik bersejarah dalam kalendar sukan tempur negara satu acara yang bukan sahaja menjulang semangat juang atlet, malah mengukuhkan perpaduan dan membangunkan industri sukan tempatan secara holistik.

