32.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 1, 2026

Prasarana perketat proses semakan visual iklan demi jaga sensitiviti masyarakat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil langkah segera memperketat proses semakan kandungan iklan yang dipaparkan di aset kendaliannya susulan maklum balas orang ramai berkaitan visual iklan pada salah sebuah tren Rapid KL.

Sebagai pengendali utama perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang, Prasarana memandang serius pandangan masyarakat dan mengakui kepentingan menjaga sensitiviti awam, khususnya dalam konteks iklan yang berpotensi menimbulkan kekeliruan atau tafsiran yang tidak diingini.

Visual iklan yang dimaksudkan adalah sebahagian daripada kempen promosi produk penjagaan diri.

Ia direka bagi menggambarkan kepelbagaian masyarakat Malaysia dalam situasi harian mereka, termasuk ketika menggunakan pengangkutan awam.

Mesej utama kempen terbabit adalah untuk mengetengahkan kepentingan amalan penjagaan diri tanpa menyasarkan mana-mana individu atau komuniti tertentu.

Prasarana dalam satu kenyataan berkata, iklan berkenaan telah melalui prosedur semakan yang sewajarnya oleh pihak dalaman dan juga luaran, termasuk penilaian terhadap elemen sensitiviti kaum, agama dan sosial.

Namun demikian, mengambil kira maklum balas yang diterima daripada orang ramai, Prasarana telah bertindak segera dengan menarik balik visual berkenaan daripada tren perkhidmatan Laluan Ampang/Sri Petaling.

“Sebagai sebuah entiti pengangkutan awam yang bertanggungjawab, kami amat menghargai setiap pandangan dan teguran masyarakat, lebih-lebih lagi jika ia membabitkan kebimbangan terhadap persepsi atau tafsiran yang boleh mencetuskan rasa kurang selesa dalam kalangan pengguna,” kata kenyataan itu.

Prasarana turut menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan orang ramai terhadap perkhidmatan pengangkutan awam negara.

Pihaknya memberi jaminan bahawa proses semakan kandungan iklan akan terus diperketat bagi memastikan segala bentuk komunikasi visual yang dipaparkan kekal sensitif, inklusif dan selari dengan nilai masyarakat Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular