editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Persatuan Penganjur Konvensyen dan Pameran Malaysia (MACEOS) mengumumkan penganjuran semula dua acara berprestij dalam kalendar industri acara perniagaan negara iaitu Anugerah Acara Perniagaan Malaysia (Malaysian Business Events Awards, MBEA) edisi ketiga dan EventXpo 2025 edisi kedua yang bakal berlangsung serentak dari 7 hingga 9 Ogos 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Gabungan dua acara utama ini bukan sekadar meraikan kecemerlangan dalam industri, malah turut menampilkan inovasi terkini serta perkembangan trend baharu yang terus mencorak masa depan sektor acara perniagaan di Malaysia.
Presiden MACEOS, Datuk Dr M Gandhi berkata, penganjuran ini sebagai platform penting yang menawarkan nilai luar biasa kepada seluruh ekosistem industri acara perniagaan.
“MBEA dan EventXpo adalah peluang besar kepada semua pemain industri untuk berkumpul, berkongsi ilmu dan menjalin kerjasama strategik.
“Ia bukan sekadar acara tahunan tetapi adalah medan eksklusif untuk mencipta hubungan berimpak tinggi dengan tokoh industri dan membuka ruang kepada pertumbuhan perniagaan yang signifikan,” katanya.

EventXpo 2025: Memacu Revolusi dalam Pasaran Acara Perniagaan
Menyusuli kejayaan penganjuran sulungnya, EventXpo kembali dengan tema dinamik “Smart Solutions, Smart Events”, menjanjikan pengalaman selama tiga hari yang sarat dengan peluang jaringan, perkongsian ilmu dan pertumbuhan perniagaan.
EventXpo 2025 akan menampilkan pelbagai teknologi dan trend terkini industri, selain menyajikan sesi ucap utama daripada tokoh-tokoh berpengaruh.
Aktiviti interaktif secara langsung dan sesi jaringan terpilih menjadikan expo ini destinasi utama kepada pemain industri yang ingin terus maju dan berinovasi.
Acara ini dijangka menghimpunkan penganjur acara, pembekal perkhidmatan, pengendali lokasi dan pembeli korporat di bawah satu bumbung, sekaligus merancakkan kolaborasi dan membuka pintu kepada peluang perniagaan baharu.
“Selama ini, pencarian pembekal bagi pembeli korporat banyak bergantung kepada cadangan rakan industri.
“EventXpo berperanan mengubah landskap ini dengan menyediakan platform menyeluruh yang mempertemukan pembeli dengan pembekal yang diyakini dalam satu tempat,” katanya.
Dr M Gandhi berkata, Malaysia telah lama membuktikan potensi global menerusi penyertaan dalam jelajah antarabangsa, namun kini tiba masanya untuk momentum itu dikembalikan ke tanah air melalui platform seumpama ini.
“EventXpo 2025 direka khusus bagi memperkasa pemain industri tempatan agar dapat menyerlah di peringkat serantau tanpa perlu ke luar negara.
“Ini selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan dalam industri acara perniagaan,” katanya lagi.
Bersempena penganjuran EventXpo 2025, industri turut melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial melalui Kind Malaysia, yang menyediakan ruang untuk pemain industri berkolaborasi dengan organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan nilai kebersamaan, pemerkasaan komuniti dan impak sosial jangka panjang dalam ekosistem acara perniagaan negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai EventXpo 2025, layari: www.eventxpo.my

MBEA 2025: Pengiktirafan Tertinggi buat Kecemerlangan Industri
Anugerah Acara Perniagaan Malaysia (MBEA) akan kembali memeriahkan pentas pada 7 Ogos 2025, bagi mengiktiraf organisasi dan acara yang menunjukkan kecemerlangan, kreativiti dan kepimpinan dalam landskap acara perniagaan negara.
Menurut Dr M Gandhi, beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan industri diuji hebat, namun pemain industri berjaya bangkit dengan semangat dan inovasi luar biasa.
“MBEA diadakan bagi menghargai usaha tersebut dan mengangkat standard penganjuran acara Malaysia ke tahap yang setanding destinasi global,” katanya.
Edisi kali ini bakal menyaksikan penambahan beberapa kategori baharu termasuk Business Catalyst Excellence dan Best Stage Design Excellence, yang mencerminkan perkembangan dinamik industri serta memberi penghargaan kepada pencapaian luar biasa dan inovasi yang memberi inspirasi.
Garis panduan pencalonan serta kriteria penilaian bagi setiap kategori akan diumumkan secara rasmi menerusi laman web MACEOS pada Mei 2025.
Orang ramai dan warga industri dijemput untuk mengambil bahagian dalam meraikan keunggulan industri acara perniagaan Malaysia di mana kreativiti bertemu ketahanan, dan kecemerlangan tidak mengenal batas.
Maklumat lanjut mengenai MBEA boleh didapati di: www.maceos.org.my