editormaxinfo@gmail.com
BANGKOK – Malaysia dan Thailand terus memperkukuhkan hubungan dua hala menerusi pemeteraian rasmi Perjanjian Pembinaan jambatan kedua serta kerja-kerja menaik taraf jambatan sedia ada yang menghubungkan Rantau Panjang di Kelantan dan Su-ngai Kolok di wilayah Narathiwat, Thailand.
Majlis pertukaran dokumen perjanjian yang berlangsung di Bangkok itu disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Malaysia,c Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama rakan sejawatnya, Menteri Pengangkutan Kerajaan Thailand, Tuan Yang Terutama Encik Suriya Juangroongruangkit.
Acara ini turut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, sekaligus menandakan permulaan rasmi bagi projek infrastruktur berskala besar merentasi sempadan kedua-dua negara.
Projek pembinaan ini membabitkan pembinaan sebuah jambatan baharu sepanjang 117.3 meter yang terletak selari dengan jambatan sedia ada, serta kerja-kerja penaiktarafan menyeluruh terhadap struktur asal.
Dengan kos dianggarkan sebanyak RM40.54 juta, inisiatif ini akan dibiayai secara bersama oleh kerajaan Malaysia dan Thailand.
Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2028.

Perjanjian ini dianggap sebagai satu lagi langkah strategik ke arah pembangunan serantau yang mampan dan pertumbuhan inklusif, seiring dengan aspirasi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun ini yang membawa tema “Inklusiviti dan Kemampanan”.
Tema ini mencerminkan komitmen bersama negara-negara anggota untuk memastikan pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh, merentas komuniti tanpa ada yang tercicir.
Alexander Nanta Linggi berkata, kerjasama erat ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam merancakkan pembangunan serantau, mengukuhkan hubungan dua hala serta memastikan kemakmuran yang adil dan menyeluruh, terutamanya bagi komuniti yang tinggal di kawasan sempadan.
“Jambatan Rantau Panjang–Su-ngai Kolok yang mula dibina pada tahun 1971 telah menjadi penghubung penting antara kedua-dua negara, bukan sahaja dari sudut ekonomi dan perdagangan, malah turut memperkukuh hubungan antara masyarakat setempat.
“Berbekalkan warisan sejarah ini, kedua-dua negara kini bersepakat untuk meningkatkan kemudahan sedia ada demi manfaat yang lebih meluas kepada penduduk dan pengguna di kawasan terbabit.
“Usaha ini juga selaras dengan strategi pembangunan bersama sempadan (Joint Development Strategy, JDS) yang telah dipersetujui pada tahun 2012 oleh ketua-ketua negara kedua-dua pihak.
“Menerusi JDS, Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Lebuhraya Thailand di bawah Kementerian Pengangkutan Thailand bersetuju untuk meningkatkan kapasiti jambatan berkenaan bagi menampung keperluan yang semakin meningkat,” katanya.
Malaysia telah mengambil peranan utama dalam proses reka bentuk jambatan baharu, yang diinspirasikan daripada motif tradisional “Perahu” lambang signifikan peranan Sungai Golok sebagai penghubung semula jadi antara Rantau Panjang dan Su-ngai Kolok.
Apabila siap, projek ini dijangka akan merangsang pertumbuhan ekonomi rentas sempadan, mempertingkatkan interaksi antara masyarakat kedua-dua negara serta membuka lebih banyak peluang kerjasama di pelbagai peringkat.
Di samping itu, jambatan ini bakal menjadi simbol kekal persahabatan erat dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Thailand.

