editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Suasana kemuncak perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT FC) dan Sri Pahang FC disemarakkan lagi dengan sentuhan istimewa daripada Astro, peneraju kandungan dan hiburan negara, yang menghadirkan persembahan hebat daripada barisan artis terkenal tanah air.
Inisiatif ini adalah tahun kedua berturut-turut Astro memperkenalkan elemen hiburan secara langsung sebagai pelengkap kepada kehangatan bola sepak tempatan.
Menjangkakan kehadiran lebih 80,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, persembahan istimewa ini turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Arena dan Astro Arena Bola (saluran 801, 802 dan 803), membolehkan seluruh rakyat Malaysia turut sama menikmati kemeriahan acara tersebut dari kaca televisyen.
Acara pra-perlawanan dimulakan dengan persembahan bertenaga daripada penyanyi popular Hael Husaini dan Nadeera Zaini.
Persembahan pembukaan pula menampilkan legenda muzik tanah air, Dato’ M. Nasir, manakala pentas separuh masa digamatkan dengan kemunculan ratu rock Malaysia, Ella, yang dijangka menyuntik adrenalin tambahan kepada penyokong kedua-dua pasukan.
Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John, berkata pendekatan menggabungkan hiburan dan sukan ini adalah satu usaha untuk memberikan pengalaman yang lebih menyeluruh kepada peminat bola sepak tempatan.
“Kami teruja untuk berkongsi keterujaan di pentas akhir Piala Malaysia bersama rakyat Malaysia.
“Selain daripada aksi mendebarkan di atas padang, kami ingin menambahkan kemeriahan perlawanan dengan hiburan terbaik buat para penyokong.
Bola sepak dan hiburan sememangnya tidak boleh dipisahkan, dan apabila digabungkan, ia menjadi satu bentuk sambutan yang lebih menyeronokkan,” katanya.
Menambahkan lagi kehangatan acara, Astro Arena turut memperkenalkan segmen “Pesta Penyokong” yang menampilkan liputan secara langsung dari kawasan sekitar stadium, merakam gelagat dan semangat para penyokong.
Sementara itu, saluran Astro Arena 2 menyajikan ciri “Player Cam” yang memberi fokus kepada pemain-pemain pilihan peminat sepanjang perlawanan berlangsung.
Di luar stadium, pelbagai aktiviti interaktif turut disediakan untuk memeriahkan pengalaman peminat yang hadir lebih awal.
Antara tarikan termasuk persembahan artis baharu Dinda Dania, sesi ramah mesra bersama penyampai radio popular Sinar, Ray, dan Gegar, Shah, serta kemunculan istimewa Dina Nadzir.
Penonton juga berpeluang untuk mengunjungi booth Astro yang menyediakan informasi produk terkini dan peluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Sebagai hab sukan pilihan rakyat Malaysia, Astro terus komited dalam menyajikan kandungan sukan menyeluruh meliputi kejohanan tempatan dan antarabangsa.
Selepas tamatnya kempen Piala Malaysia, penonton boleh menantikan aksi-aksi dari Sepak Takraw League (STL), Kejohanan Badminton, perlumbaan Formula One (F1), MotoGP, pertarungan UFC, serta kempen Kelayakan Piala Asia AFC 2027 yang bakal menyaksikan pertembungan antara Harimau Malaya dan Vietnam pada 10 Jun ini.
Di samping itu, Astro turut bersiap sedia untuk menayangkan musim baharu saingan Liga Perdana Inggeris (Premier League) yang akan bermula Ogos 2025.
Dengan gabungan sukan dan hiburan yang mantap, Astro sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memperkasa pengalaman penonton dan menyatukan rakyat Malaysia melalui kecintaan terhadap bola sepak dan muzik.