editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Istana Negara menjadi saksi kepada detik bersejarah yang bukan sahaja mencerminkan hubungan diplomatik erat antara Malaysia dan China, tetapi turut menampilkan simbolik kemajuan teknologi global.
Dalam lawatan negara sulung beliau ke Malaysia selepas lebih sedekad, Presiden China, Xi Jinping, telah menyerahkan hadiah yang cukup istimewa kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telefon pintar HUAWEI Mate XT Ultimate Design, peranti tri-lipat pertama di dunia.
Hadiah berkenaan bukan sekadar pemberian teknologi terkini, malah membawa makna mendalam yang mencerminkan era baharu dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Lawatan Presiden Xi ke Malaysia ini diadakan sempena ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik Malaysia-China, sekaligus menjadi pentas penting dalam merancakkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, infrastruktur dan keselamatan serantau, khususnya membabitkan isu Laut China Selatan.
HUAWEI Mate XT Ultimate Design yang kini dilancarkan secara rasmi di Malaysia, merupakan antara inovasi terbaharu dan paling menonjol dalam dunia peranti mudah alih.
Keupayaan peranti ini yang boleh dilipat sebanyak tiga kali menjadikannya telefon pintar pertama di dunia yang menawarkan transformasi daripada skrin sebesar 6.4 inci kepada paparan luas bersaiz 10.2 inci – setanding dengan sebuah tablet.
Reka bentuk revolusioner ini membuka ruang baharu dalam penggunaan pelbagai aplikasi secara serentak, sesuai untuk tugasan produktiviti mahupun hiburan.
Lebih mengagumkan, peranti ini turut dilengkapi dengan sistem kamera XMAGE daripada Huawei yang menampilkan sensor 50MP dengan apertur boleh laras, menjadikan kualiti imej yang dirakam setaraf kamera profesional.
Gabungan prestasi hebat dan rekaan futuristik menjadikan HUAWEI Mate XT Ultimate Design bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga lambang status dan kecanggihan teknologi moden.
Kehadiran peranti ini dalam detik penting diplomasi antara dua negara besar mencerminkan betapa teknologi telah menjadi sebahagian daripada diplomasi moden di mana hadiah yang diberikan bukan sahaja membawa nilai simbolik, malah menggambarkan aspirasi masa depan yang penuh inovasi dan kemajuan.
Dengan langkah strategik seperti ini, hubungan Malaysia-China dijangka terus berkembang kukuh, bukan sahaja dalam sektor ekonomi dan politik, tetapi juga dalam kerjasama teknologi yang bakal membuka lebih banyak peluang kepada rakyat kedua-dua negara.