28.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 22, 2025

Bincang Niaga Meriah Raya perkasa usahawan tempatan sempena Syawal

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sempena bulan Syawal yang penuh keberkatan, TV AlHijrah tampil meneruskan komitmennya dalam memperkasakan ekonomi ummah melalui pelancaran program khas Bincang Niaga Meriah Raya.

Program pengiklanan berkonsepkan nilai Islam ini bukan sekadar ruang promosi semata-mata, sebaliknya adalah platform strategik untuk membantu usahawan Muslim tempatan memperkenalkan jenama dan produk mereka kepada khalayak yang lebih luas.

Disiarkan secara langsung dari Studio TV AlHijrah bermula 16 April hingga 16 Mei 2025, Bincang Niaga Meriah Raya memberi tumpuan kepada pelbagai sektor perniagaan termasuk fesyen Muslimah, makanan halal, kesihatan dan kecantikan, pelancongan, teknologi, perkhidmatan digital, serta industri umrah dan haji.

Pendekatan ini mencerminkan usaha menyeluruh TV AlHijrah dalam menyediakan ruang promosi yang menyokong pertumbuhan keusahawanan secara mampan dan inklusif.

Tahun ini, program berkenaan turut menumpukan perhatian khusus kepada usahawan dalam sektor umrah dan haji, selari dengan usaha berterusan saluran Islam itu untuk memperluaskan jaringan sokongan ekonomi ummah.

Ia bukan sahaja memberi peluang kepada para pengusaha mempromosikan perkhidmatan mereka, tetapi juga mendidik masyarakat tentang pentingnya menyokong produk dan servis yang mematuhi prinsip syariah dan nilai Islam.

Ketua Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek berkata, program ini adalah bukti kesungguhan TV AlHijrah dalam membina platform yang bukan sahaja berinformasi, malah mampu memberi inspirasi dan membentuk jaringan ekonomi yang lestari.

Bincang Niaga Meriah Raya adalah inisiatif kami untuk menyediakan platform pengiklanan yang berpatutan bagi usahawan tempatan.

“Program ini bukan sahaja bertujuan memperkenalkan produk mereka, tetapi juga untuk menyemarakkan semangat keusahawanan dalam kalangan penonton,” katanya.

Beliau turut menekankan program ini bukan sekadar pengisian musiman.

Malah, ia sebahagian daripada strategi jangka panjang TV AlHijrah dalam membentuk ekosistem perniagaan Muslim yang berdaya saing, beretika dan berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan serta ketuhanan.

“Televisyen bukan sekadar medium untuk hiburan dan ilmu, tetapi juga alat untuk mencetus perubahan dalam masyarakat.

“Melalui Bincang Niaga, kami ingin menjadi jambatan yang menyatukan para usahawan dengan masyarakat, seterusnya mewujudkan sebuah ekosistem perniagaan yang progresif dan berlandaskan nilai-nilai Islam,” tambahnya.

Sepanjang sembilan tahun penganjuran, Bincang Niaga telah membantu ramai usahawan mikro dan kecil untuk menonjolkan jenama mereka di kaca televisyen nasional.

Kisah kejayaan pengusaha seperti Dilla Puzi, pengasas produk herba Nurrifa, membuktikan keberkesanan program ini dalam membina keyakinan pelanggan dan meningkatkan capaian pasaran.

“Saya amat berterima kasih kepada platform Bincang Niaga kerana memberikan ruang kepada kami memperkenalkan produk secara meluas.

Ia bukan sahaja membantu menaikkan jenama kami, malah berjaya meraih kepercayaan pelanggan baharu,” katanya.

Program ini juga mengandungi segmen-segmen perbincangan bersama tokoh industri dan pakar profesional yang menyentuh isu semasa dalam dunia keusahawanan, cabaran ekonomi, serta kisah-kisah kejayaan yang mampu memberikan motivasi kepada penonton dari pelbagai latar belakang.

Dengan pendekatan kandungan berteraskan hiburan, informasi dan nilai keislaman, TV AlHijrah terus komited dalam usaha memperkasa usahawan Muslim tempatan serta menyumbang ke arah pembinaan ekonomi ummah yang progresif dan inklusif.

Penonton boleh mengikuti program ini melalui saluran TV AlHijrah, media sosial rasmi serta portal digital AlHijrah Online.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan penyertaan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di https://tvalhijrah.com/bincangniaga.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular