28.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 22, 2025

Kempen ganjaran BIZone bernilai RM3 juta perkasa pertumbuhan perniagaan SME F&B tempatan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memperkasakan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS), khususnya dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman (F&B), Astro menerusi inisiatif BIZone melancarkan kempen ganjaran khas bernilai RM3 juta.

Kempen ini bertujuan untuk membantu perniagaan tempatan meningkatkan pertumbuhan, keterlihatan dan bilangan pelanggan melalui strategi pemasaran yang lebih berkesan.

BIZone, yang diperkenalkan pada tahun 2024 sebagai pakej khusus untuk premis F&B dan komersial, terus mencatatkan pertumbuhan positif apabila merekodkan peningkatan pelanggan tahunan sebanyak 34 peratus jauh melepasi unjuran awal sebanyak 5 peratus.

Dengan potensi pasaran sebanyak 14,000 unit di seluruh negara, pakej ini dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan usahawan tempatan yang mahukan solusi hiburan dan pemasaran dalam satu platform.

Ketua Bahagian Segmen Korporat dan Perkhidmatan Jalur Lebar Astro, Tan Sian Tuang berkata, kempen baharu ini dirangka khusus bagi membantu usahawan F&B yang berdepan pelbagai cabaran dalam mencapai sasaran perniagaan mereka.

“BIZone telah menjadi antara tawaran perniagaan paling berkesan yang kami perkenalkan, dengan ribuan outlet F&B di Malaysia sudahpun menikmati manfaatnya.

“Namun kami juga sedar bahawa pemilik perniagaan ini memerlukan sokongan tambahan untuk terus berkembang. Kempen pemasaran bernilai RM3 juta ini hadir tepat pada masanya bagi membantu mereka menarik pelanggan baharu dan membina kesetiaan pelanggan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, kelebihan utama yang ditawarkan melalui kempen ini ialah penggabungan kandungan berkualiti tinggi Astro dengan platform pemasaran yang berskala luas suatu keistimewaan yang biasanya di luar jangkauan perniagaan kecil dan sederhana.

Kempen ini membolehkan usahawan F&B menyampaikan mesej jenama mereka melalui saluran televisyen, promosi selebriti, ulasan influencer, dan penyiaran radio secara meluas.

Kempen BIZone Rewards yang berlangsung dari 7 April hingga 17 Oktober 2025 ini terbuka kepada semua premis F&B dan outlet komersial yang mendaftar, memperbaharui atau menaik taraf langganan pek BIZone TV mereka sepanjang tempoh kempen.

Sebanyak 200 outlet akan dipilih secara bulanan melalui cabutan oleh wakil Astro untuk menerima pelbagai bentuk bantuan pemasaran yang ditawarkan.

Antara bantuan yang bakal diterima termasuk penganjuran pesta tontonan siaran langsung sukan di outlet terpilih, penampilan selebriti dan influencer, promosi eksklusif makanan melalui kandungan media sosial, serta liputan iklan melalui stesen radio Astro dan saluran TV utama seperti Buletin Awani dan Borak SeeNi.

Melalui pendekatan ini, Astro yakin bahawa impak kempen akan memberikan hasil yang signifikan kepada perniagaan yang terbabit.

Dengan hanya sedikit perubahan dalam strategi, pemilik premis F&B dapat membuka potensi sebenar perniagaan mereka dengan memanfaatkan kuasa hiburan sebagai alat pemasaran strategik.

“BIZone bukan sekadar hiburan, ia adalah pengganda perniagaan yang ampuh. Dengan setiap pelanggan yang hadir, nilai jenama meningkat.

“Dengan setiap siaran atau promosi, keterlihatan jenama melonjak. Kami percaya kempen ini mampu memberi impak besar bukan sahaja kepada perniagaan, malah kepada ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya.

Selain daripada sokongan promosi, BIZone juga membawakan liputan pelbagai acara sukan secara langsung seperti Liga Perdana Inggeris, Kejohanan BWF, Liga Malaysia, Liga Sepak Takraw, Formula 1, MotoGP, NBA, Kriket dan Tenis.

Pakej ini merangkumi 25 saluran tambahan termasuk hiburan dan gaya hidup yang direka khas untuk menarik lebih ramai pelanggan ke premis F&B yang melanggannya.

Semua pelanggan baharu BIZone akan menerima kit permulaan lengkap dengan bahan pemasaran dan barangan berjenama yang boleh digunakan untuk meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti jenama mereka di lokasi masing-masing.

Dengan pelancaran kempen ini, Astro meneruskan langkah proaktifnya sebagai rakan kandungan dan capaian utama dalam sektor F&B, bukan sahaja menyediakan hiburan berkualiti tetapi juga menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi usahawan tempatan melalui pendekatan bersasar dan inovatif.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular