28.7 C
Kuala Lumpur
Friday, May 23, 2025

UPMKB, UKAS perkukuh kerjasama strategik demi pemerkasaan komuniti Sarawak

editormaxinfo@gmail.com

KUCHING – Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) terus melangkah proaktif dalam memperkasa masyarakat Sarawak apabila menjalinkan kerjasama strategik bersama Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), dalam rangka memperluas impak inisiatif pembangunan komuniti yang holistik dan berimpak tinggi.

Kerjasama ini diterajui oleh Jabatan Sains Sosial dan Pengurusan, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMKB yang diketuai oleh Dr. Yasmin Yaccob.

Beliau berkata, UKAS sebagai rakan strategik yang amat penting dalam memperkukuh usaha universiti untuk menjadikan komuniti sebagai sebahagian daripada ekosistem pembelajaran dan pembangunan sosial.

“UKAS telah banyak membantu mempromosikan program-program kami sebelum ini, dan kini kami melihat potensi besar untuk membentuk kerjasama yang lebih menyeluruh dan berstruktur dalam memperkasakan komuniti.

“Melalui pendekatan ‘universiti untuk komuniti’, kerjasama ini bakal mengukuhkan lagi peranan UPMKB sebagai institusi ilmu yang dekat dengan rakyat,” kata Dr. Yasmin.

Katanya, inisiatif sebegini juga memberi ruang kepada mahasiswa untuk mendekati masyarakat secara langsung, menjadikan pengalaman di lapangan sebagai ‘bilik darjah terbuka’ yang amat berharga dalam melengkapkan pembelajaran mereka secara holistik dan praktikal.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat delegasi UPMKB ke atas Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan di Bilik Mesyuarat Utama UKAS di Kuching, semalam.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kolaborasi jangka panjang, terutamanya menerusi penglibatan UKAS dalam program iRandau 2025 anjuran UPMKB yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Julai ini di Sungai Asap, Belaga.

Dr. Yasmin berkata, iRandau adalah platform penting bagi mempertemukan suara akar umbi dengan penggubal dasar, sekali gus menjana wacana yang lebih tersusun dan bermakna mengenai isu-isu sosial yang dihadapi komuniti tempatan.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Awang Putrayusrie mencadangkan agar satu Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara UKAS dan UPMKB sebagai langkah rasmi untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang terjalin.

“Melalui MoU ini, kita dapat membuka ruang kerjasama dalam pelbagai aspek termasuk promosi, latihan, penyelidikan serta pengembangan komuniti.

“Ia akan menjadi langkah ke hadapan dalam menyumbang kepada pemerkasaan modal insan Sarawak,” katanya.

Beliau turut menyokong cadangan agar pemeteraian MoU itu dilaksanakan sempena program iRandau 2025, menjadikan majlis berkenaan simbolik kepada permulaan sinergi yang lebih luas antara dunia akademik dan agensi komunikasi kerajaan.

Turut hadir dalam pertemuan bersejarah ini ialah Timbalan Dekan Penyelidikan, Pendanaan dan Siswazah UPMKB, Dr. Shairil Izwan Taasim; Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Siti Rajanah Abdul Aziz; Pensyarah Kanan, Dr. Sawanah Mumin; serta Pegawai Eksekutif, Ainul Fikri Mohamad Pauzi.

Manakala delegasi UKAS turut diwakili oleh Ketua Penolong Pengarah Seksyen Talikhidmat, Joachim Paggang Jabong dan Ketua Penolong Pengarah Seksyen Pengurusan Transformasi, Dr. Charlie Dudang.

Kerjasama yang terjalin ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada gerakan komuniti berasaskan ilmu, dipimpin oleh institusi pendidikan tinggi dan disokong oleh kekuatan komunikasi strategik kerajaan.

Ia sekaligus menyumbang ke arah pembentukan sebuah Sarawak yang lebih inklusif, progresif dan berpaksikan pemerkasaan modal insan.

ARTIKEL BERKAITAN

1 COMMENT

Comments are closed.

Popular