29.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, March 7, 2026

Sultan Ibrahim yakin potensi besar pelaburan China di Malaysia, seru perkukuh hubungan dua hala

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia dan China akan terus memperkukuhkan hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua negara, meskipun berdepan pelbagai cabaran geopolitik global masa kini.

Dalam titah baginda sempena pertemuan bersama Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping di Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda menegaskan Malaysia sentiasa menitikberatkan integrasi ekonomi yang lebih mendalam bersama rakan-rakan strategik, termasuk China.

Pendekatan ini merangkumi pengukuhan rantaian bekalan dan perindustrian, peningkatan tahap ketersambungan serantau, serta pelaksanaan prinsip saling menghormati dan menguntungkan dalam setiap bentuk kerjasama antarabangsa.

“Saya percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China meneroka pelbagai peluang pelaburan di Malaysia.

“Ini selari dengan matlamat pembangunan berkualiti tinggi dan ketersambungan serantau di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ yang diterajui China,” titah baginda yang turut dikongsikan menerusi laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim turut bertitah, Malaysia menawarkan pelbagai kelebihan strategik, termasuk lokasi yang strategik dan insentif pelaburan yang menarik, yang menjadikan negara ini destinasi ideal untuk pelabur asing.

Antara contoh jelas ialah Hab Kewangan Khas Forest City yang terletak dalam Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang kini muncul sebagai salah satu lokasi pelaburan utama di rantau ini.

Selain aspek ekonomi dan perdagangan, baginda turut menyeru agar kerjasama dalam bidang kebudayaan dan pendidikan turut diperkasakan.

Dalam hal ini, baginda menyatakan hasrat untuk melihat pertukaran pelajar antara Malaysia dan China ditingkatkan lagi, sebagai langkah memperkukuh hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

“Bahasa adalah jambatan penting dalam memupuk persefahaman dan mempererat hubungan dua hala.

“Justeru, saya menyambut baik usaha memperluas pertukaran bahasa dan budaya, termasuk melalui inisiatif Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University (BFSU),” titah baginda.

Lawatan rasmi Presiden Xi Jinping ke Malaysia ini adalah sebahagian daripada lawatan negara selama tiga hari yang bermula semalam atas undangan rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Ketibaan beliau di Istana Negara pada jam 10.30 pagi telah disambut penuh istiadat oleh Sultan Ibrahim dan disaksikan oleh pemimpin utama negara, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta barisan menteri Kabinet.

Lawatan ini turut dijangka menyaksikan perbincangan dua hala antara Xi Jinping dan Anwar Ibrahim, membabitkan pelbagai topik berkepentingan bersama termasuk kerjasama ekonomi, perdagangan, serta isu-isu serantau dan global.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman, perjanjian dan nota persefahaman antara Malaysia dan China, yang bakal mengukuhkan lagi asas kerjasama dua negara.

Untuk rekod, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut, dengan nilai dagangan dua hala yang mencecah RM484.12 bilion pada tahun 2024.

Kali terakhir Presiden Xi Jinping mengadakan lawatan ke Malaysia adalah pada Oktober 2013.

Lawatan terkini ini sekali lagi memperlihatkan betapa pentingnya hubungan diplomatik antara Putrajaya dan Beijing, bukan sahaja dalam konteks ekonomi, tetapi juga dalam memperkukuhkan ikatan kemanusiaan dan kebudayaan yang telah lama terjalin.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular