editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Mewarisi darah kerabat diraja Negeri Sembilan bukanlah penghalang buat penyanyi muda, Tunku Ines Najihah Raden, atau lebih mesra dikenali sebagai Ines, untuk mengejar impiannya dalam bidang seni.
Pada usia 21 tahun, Ines nekad menjadikan nyanyian sebagai kerjaya profesional, menyertai barisan artis muda yang tampil berani mengejar minat dan bakat dalam industri hiburan tanah air.
Ines, yang juga puteri kepada Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dan Tunku Dato’ Seri Mimi Wahida Raden, berkata, beliau sangat bersungguh untuk aktif dalam dunia muzik.
Lagu Radar, single kedua nyanyiannya selepas Andai yang diterbitkan pada September tahun lalu, adalah buah tangan terbaharu yang menampilkan sisi lebih matang dan mendalam dari segi emosi serta penceritaan.

Mengambil inspirasi daripada kisah kehilangan dan persoalan yang tidak terjawab, lagu berentak balada pop rock ini disifatkan Ines sebagai ekspresi solo sebenar pertamanya dalam dunia muzik.
“Radar tampil dengan genre balada pop rock, manakala liriknya adalah kisah seorang wanita muda yang berdepan dengan persoalan tidak terjawab setelah kehilangan insan yang dicintai,” katanya.
Lagu ini hasil ciptaan Shazriq Azeman, Omar K dan Iqie Hugh, dan dirakam dalam masa tiga hari di beberapa lokasi indah di Indonesia termasuk Kota Jakarta dan Pantai Goa Langir Sawarna di Banten.
Manakala, klip videonya pula dihasilkan dengan kerjasama syarikat produksi PT Lvcid Surya Kreatif.

Meskipun sedang meniti kerjaya seni, Ines tetap komited dalam pelajarannya.
Beliau kini berada di tahun akhir pengajian dalam bidang Sains Komputer di University of Nottingham, kampus Semenyih.
Ines berkata, mengimbangi tanggungjawab sebagai pelajar dan penggiat seni bukan sesuatu yang mudah, namun beliau percaya kepada disiplin dan kesungguhan dalam mengejar impian.
Sokongan keluarga, terutama daripada kedua-dua ibu bapanya, turut menjadi faktor penting yang mendorong Ines untuk berani melangkah ke dunia seni.

Majlis pelancaran lagu Radar berlangsung dengan meriah dalam suasana penuh glamor dan kehangatan sokongan rakan-rakan serta ahli keluarga.
Antara selebriti dan tetamu kehormat yang hadir termasuk Che Puan Sarimah Ibrahim selaku pengacara majlis, penyanyi tersohor Datuk Hattan dan Che Puan Jeslina Hashim.
Kemunculan Tunku Ines sebagai wajah baharu dalam industri muzik tempatan bukan sekadar memperlihatkan keunikan latar belakangnya, malah membuktikan bahawa darah seni boleh mengalir dalam sesiapa sahaja yang berani untuk mengejar impian dengan penuh dedikasi dan keikhlasan.